Adakah wujud perkataan ‘pengkumur’ untuk menggantikan perkataan ‘mouthwash’? Saya terpanggil untuk menyemak setelah melihat penggunaan perkataan ini dalam satu iklan ubat kumur di media massa. Untuk imbuhan peng, apakah hukum (rules) imbuhan secara umum? Mengikut pemahaman saya, untuk perkataan bermula dengan k, huruf k digugurkan apabila imbuhan peng ditambah (prefix). Eg: kawal - pengawal. Adakah huruf k dikekalkan hanya untuk kata pinjaman? Eg: katalog - pengkatalogan. Bagaimana pula dengan perkataan kelas yang merupakan kata pinjaman inggeris ‘class’ namun menjadi pengelasan dan bukannya pengkelasan. Adakah terdapat faktor tambahan dalam kes ini? | 1. Kata pengkumur masih belum terakam dalam kamus terbitan DBP. Perakaman kata dan makna baharu dalam kamus akan diusahakan dari semasa ke semasa selari dengan perkembangan kosa kata bahasa Melayu dan berdasarkan bukti penggunaannya oleh masyarakat. Berdasarkan korpus, kata pengkumur mulut untuk ‘mouthwash’ adalah lebih tinggi kekerapannya berbanding pengumur. Dari segi semantik jika menggunakan perkataan pengumur, makna pertama yang muncul dalam minda masyarakat ialah perkaitan makna dengan kata akar umur, berbanding apabila menggunakan pengkumur, masyarakat akan terus mengaitkan makna bagi kata akar kumur. Berdasarkan Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2011) halaman 109, huruf p, t, k, s pertama pada kata dasar yang bercantum dengan awalan peN-, huruf pertama tersebut akan luluh dan digantikan dengan bentuk sengau yang dilafazkan pada tempat yang sama daerah artikulasinya dengan bunyi pertama pada kata dasar, iaitu m bagi p, n bagi t, ng bagi k, dan ny bagi s, seperti dalam contoh yang berikut. Contoh: pemukul (pukul), penahan (tahan), pengarang (karang) dan penyelam (selam). 2. Huruf pertama pada kata dasar yang bercantum dengan apitan peN-…-an tidak akan luluh untuk kata pinjaman seperti penkatalogan. Contoh lain: pemprosesan (proses), pengkateran (kater), dan pemvetoan (veto). (rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2011) halaman 107-111) 3. Walau bagaimanapun, kata asing yang telah terserap dalam bahasa Melayu, huruf pertama kata dasarnya akan luluh apabila menerima imbuhan apitan peN-…-an. Contoh: penyeteman (setem), pengelasan (kelas), penelefon (telefon). | Tatabahasa | 08.06.2024 |