saya tidak pasti penggunaan ialahvs adalah; dalam vs di dalam;dari vs daripada, atas vs di atas: bawah vs di bawah: sebutharga: berkuatkuasa dll seperti yang bertanda merah pada dokumen yang disertakan. Oleh kerana pekeliling begini sering diulang-ulang, saya berharap segala kesilapan dapat diperbetulkan dan kesilapan tidak diulang-ulang juga. Terima kasih. | Ialah dan adalah tergolong dalam kata pemeri. Ialah digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama, manakala adalah digunakan di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi. Di dalam digunakan untuk menunjukkan tempat yang boleh dilihat secara fizikal ruang dalamnya, seperti di dalam kereta, di dalam rumah dan di dalam dewan. Dalam pula menunjukkan kedudukan sesuatu yang abstrak sifatnya, seperti dalam fikiran, dalam bidang sains dan dalam kehidupan. Dari dan daripada ialah kata sendi nama yang letaknya di hadapan frasa nama. Kata sendi nama 'dari' digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat atau waktu atau masa. Sementara kata sendi nama 'daripada' hanya digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan atau benda, asal kejadian dan sumber atau unsur perbandingan atau perbezaan. Kata arah "atas" hadir sebelum frasa nama untuk menunjukkan hala atau jurusan. Untuk maklumat lebih lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Ejaan yang betul ialah sebut harga, berkuat kuasa, alat tulis, mengenal pasti, mengambil kira, walau bagaimanapun, tanggung rugi, ganti rugi, dan walaupun. Puan boleh juga merujuk ejaan perkataan melalui laman web www.prpm.dbp.gov.my. | Tatabahasa | 24.09.2012 |
Salam sejahtera. Apakah perbezaan perkataan-perkataan berikut: 1) Diagram vs Figure - bolehkah diagram diterjemah kepada 'gambar rajah' manakala figure kepada 'gambar' atau kedua-duanya sama? 2) Boulder vs Rock vs Stone - bagaimana hendak bezakan terjemahannya dalam BM kerana semuanya bermaksud batu. 3) Bats vs Clubs - bukankah kedua-duanya bermaksud kayu pemukul? Adakah terjemahan lain yang boleh membezakan antara dua perkataan ini? | Dalam data rujukan kami, perkataan diagram boleh digunakan atau gambar rajah manakala figure diterjemah kepada rajah. Perkataan boulder pula diterjemah sebagai batu tongkol, rock diterjemah sebagai batu manakala stone melempar dengan batu. Perkataan bats diterjemah sebagai kayu pemukul manakala club sebagai kayu golf. Puan bolehlah melayari www.prpm.dbp.gov.my bagi carian padanan bahasa Melayu. | Penyemakan dan penterjemahan | 07.09.2016 |
Salam sejahtera, 'Surgery' vs 'Pembedahan' vs 'Bedah': Laman web Hospital UKM mempunyai "Department of Oral and Maxillofacial Surgery" yang dalam versi Bahasa Melayu ditulis sebagai: 'Jabatan Bedah Mulut dan Maksilofasial'. Kamus Istilah Malaysia pula menyatakan "Vascular Surgery" sebagai 'Pembedahan Vaskular", tetapi "Transplantation Surgery" sebagai "Bedah Transplantasi". Manakala Kamus Inggeris-Melayu Dewan menyatakan "Thoracic Surgery" adalah 'Pembedahan Torasik', tetapi Kamus Istilah Malaysia menyatakannya sebagai 'Bedah Toraks'. Soalan saya: Menurut rumus/kaedah/cara DBP, bila boleh saya menggunakan 'surgery' (BI) sebagai (a) pembedahan, dan (b) bedah? Adakah mengikut konteks (apakah konteks tersebut)? 2) Antara 'pembedahan torasik' dan 'bedah toraks', adakah kedua-dua ini betul dan boleh digunakan? Sekiranya kedua2nya betul, apakah rasionalnya? 3)Dalam konteks 'pembedahan mulut', adakah 'pembedahan' kelas kata nama? Manakala dalam 'bedah mulut', adakah 'bedah' itu kelasnya kata kerja? Khidmat nasihat dari pihak DBP terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih. | Menurut istilah perubatan, surgery diberi padanan sebagai pembedahan atau bedah/surgeri bergantung pada konteks dan penggunaan yang bersesuaian. Selain sebagai kata kerja, kata bedah boleh menjadi kata nama apabila bergabung dengan kata lain yang membentuk kata nama mengikut konteks penggunaan, misalnya bedah torasik atau pakar bedah saraf (neurosurgeon). | Istilah | 03.02.2012 |
Salam sejahtera. Apakah perbezaan perkataan-perkataan berikut: 1) yang mana vs di mana 2) jaringan vs penjaringan 3) akhbar vs suratkhabar | 1. Perkataan yang mana dan di mana tidak digunakan kerana frasa ini lebih merupakan terjemahan langsung bagi perkataan which dan where dalam ayat penyata bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu.Kata 'di mana' hanya sesuai digunakan sebagai kata tanya, contoh : Di mana awak tinggal? Frasa "yang mana" pula tidak digunakan memandangkan bahawa frasa ini lebih merupakan terjemahan langsung bagi perkataan where dalam bahasa Inggeris. 2. Dalam data kami jaringan bermaksud sesuatu yang menyerupai jaring, jala-jala; 2. Id bahagian-bahagian hidupan yang terdiri daripada sel-sel yang serupa (tela); ilmu ~ tubuh ilmu bkn jaringan; 3. bilangan gol yang telah masuk (dlm) jaring; Jaringan bagi maksud ini merupakan padanan bagi shooting dalam bahasa Inggeris. Manakala jaringan yang kedua merupakan padanan juga bagi perkataan networking yang membawa maksud jajaran atau hubungan dalam sesuatu. Manakala penjaringan pula ialah perbuatan (hal dsb) menjaring atau menjaringkan. 3. Perkataan surat khabar bermaksud naskhah (lembaran kertas) yang mengandungi berbagai-bagai berita dan diterbitkan tiap-tiap hari, manakala akhbar (Arab) (jamak bagi khabar) berita, warta; . | Penyemakan dan penterjemahan | 07.09.2016 |
Salam sejahtera, Saya merujuk kepada jawapan pihak KNDBP bertarikh 16/3/2010 kepada soalan saya tentang 'black sheep' vs 'scapegoat' vs kambing hitam yang mana pihak KNDBP menyatakan akan menyemak huraian istilah untuk pembetulan. Setakat hari ini masih dapat dilihat huraian dalam Kamus Dewan mahupun Kamus Inggeris-Melayu Dewan adalah tetap sama: 'black sheep' adalah kambing hitam. Soalan saya: 1) Adakah pihak DBP telah menyemak huraian tersebut dan memutuskan pembetulan tidak perlu dibuat kerana tiada kesilapan? 2) Sekiranya tiada kesilapan, bolehkah kita katakan bahawa guru-guru BI di Malaysia perlu memberikan DUA makna untuk penggunaan 'black sheep' di Malaysia: (a) penggunaan di Malaysia, DAN (b) penggunaan di luar Malaysia (yang tidak membawa maksud 'kambing hitam')?. Terima kasih. | Untuk makluman saudara, Kamus Inggeris - Melayu (KIMD) Dewan disusun dengan kerjasama pelbagai pihak termasuklah pihak Australian National University. Oleh sebab DBP tidak mempunyai korpus bahasa Inggeris, maka DBP sangat bergantung pada kamus ekabahasa Inggeris untuk mendapatkan maklumat tentang bahasa tersebut. Ketika kamus ini disusun (diterbitkan pada 1991) hanya terdapat makna kiasan bagi perkataan black sheep dalam kamus ekabahasa (bahasa Inggeris) rujukan, maka entri kata tersebut hanya memberi terjemahan makna yang ada. DBP sentiasa membuat penambahbaikan dalam buku terbitannya. Pada setiap kali terbitan edisi baharu bagi mana-mana kamus peluasan makna bagi setiap entri akan dimasukkan. Hal ini telah dimaklumkan kepada Bahagian Perkamusan, dan KIMD Edisi Baharu masih dalam peringkat manuskrip. Pada pandangan kami tidak salah untuk memaklumkan maklumat terkini entri kamus yang diketahui kepada khalayak, malah pemberian maklumat ini dialu-alukan untuk manfaat bersama. | Istilah | 19.10.2011 |
perkiraan vs pengiraan? | "Perkiraan" bermaksud hal berkira-kira; perhitungan; jangkaan. Manakala "pengiraan" bermaksud hal atau perbuatan mengira.
| Makna | 21.02.2020 |
MAKNA AYAT DAN SN YANG Apa beza maksud e.g. hal lain vs hal yang lain orang lain vs orang yang lain TK | Yang ialah kata hubung pancangan relatif, berfungsi menghubungkan klausa utama dengan klausa kecil yang lain seperti Budak yang sedang membaca itu adik saya. Frasa yang lazim diungkapkan ialah 'hal lain' atau 'hal-hal lain'. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 252. | Tatabahasa | 02.03.2012 |
Salam sejahtera. Saya memerlukan khidmat tuan/puan dalam memberikan pencerahan tentang perbezaan dari segi konteks pengguna dan prosedur yang berkaitan : i. memohon sumbangan vs memohon taja ii. memohon sumbangan vs memohon derma iii. bagi perkara (i) & (ii), yang manakah memerlukan prosedur kelulusan daripada pihak berkuasa? Sekian, terima kasih. | Salam sejahtera, i. Taja bermaksud membiayai rancangan radio atau televisyen sebagai ganjaran masa tayangan iklan. Sumbangan bermaksud sesuatu yang diberikan sebagai bantuan. Derma bermaksud bantuan yang berupa wang atau pemberian yg ikhlas, sedekah. ii. Soalan tuan sudah keluar daripada bidang kepakaran kami iaitu perkhidmatan bahasa dan sastera. Mohon tuan dapat mengajukan soalan tersebut kepada pihak yang lebih arif. Sekian, terima kasih. | Istilah | 28.10.2017 |
Salam. 1) Boleh tolong jelaskan penggunaan adalah vs ialah. 2) Dalam contoh ayat berikut, adakah penggunaan 'ialah' betul? "Apa yang tuan katakan ialah tuan akan batalkan perjanjian itu tak kira sama ada mereka langgar undang-undang atau tidak." Terima kasih. | Untuk makluman, ialah dan adalah merupakan kata pemeri. Kata pemeri ialah menunjukkan persamaan dan hadir di hadapan frasa nama, manakala kata pemeri adalah menunjukkan huraian dan hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Dalam ayat contoh di atas, penggunaan kata pemeri yang betul ialah kata pemeri ialah. Walau bagaimanapun, penggunaan kata pemeri tersebut boleh digugurkan seperti ayat yang berikut: "Apa-apa yang tuan katakan akan membatalkan perjanjian itu tidak kira sama ada mereka langgar undang-undang atau tidak." | Tatabahasa | 27.08.2017 |
1) apakah tatacara penggunaan kata kerja diberi vs diberikan? 2) bilakah penggunaan kata sendi dibenarkan? cth: diberi kepada Ali atau diberikan kepada Ali? | Perkataan memberi dan memberikan merupakan kata kerja transitif aktif. Perkataan memberi hendaklah diikuti oleh kata nama objek bernyawa, manakala memberikan hendaklah diikuti oleh kata nama objek tidak bernyawa. Diberi dan diberikan adalah bentuk pasif memberi dan memberikan. Contoh: Ayah memberi saya dua helai baju baru. (ayat aktif) Saya diberi dua helai baju baru oleh ayah. (ayat pasif) Ayah memberikan dua helai baju baru kepada saya. (ayat aktif) Dua helai baju baru diberikan kepada saya oleh ayah. (ayat pasif) | Tatabahasa | 16.01.2014 |