Untuk frasa apa memper~(kan) ,(kan)tidak wujud | Soalan yang dikemukakan tidak jelas. Jika mengenai apitan memper- kan, apitan ini menerima golongan kata nama dan kata kerja untuk membentuk kata kerja. Contohnya, memperisterikan, mempersendakan, memperdengarkan, memperbandingkan. Kata kerja yang terbentuk dengan apitan memper-...-kan ini bersifat transitif, iaitu diikuti oleh objek. Manakala, akhiran -kan pula ialah akhiran yang membentuk kata kerja. Semua golongan kata utama, iaiatu kata nama, kata kerja, kata adjektif , dan beberapa jenis kata tugas boleh bergabung dengan akhiran -kan untuk membentuk kata kerja. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga untuk keterangan lanjut. | Tatabahasa | 31.05.2013 |
1. Mengapakah dalam buku Tatabahasa Dewan menyatakan bahawa kata terbitan yang menerima imbuhan apitan terdiri daripada 3 morfem, contohnya 'berkakikan' dikatakan terdiri daripada morfem ber+kaki+kan sedangkan jika diteliti imbuhan apitan beR-...-kan wujud sebagai 1 morfem. Oleh yang demikian saya inginkan kepastian bahawa adakah semua imbuhan apitan dikira sebagai 1 morfem ataupun 2 morfem? Sekian terima kasih. | Morfem ialah satuan terkecil dalam bahasa yang mempunyai erti atau fungsi tertentu, seperti perkataan perumahan terdiri daripada satu morfem bebas iaitu perkataan rumah dan dua morfem terikat iaitu pe(r)- dan -an. Bagi perkataan berperikemanusiaan, terdapat lima morfem , iaitu ber- + peri + ke- + manusia + -an; dua morfem bebas, iaitu peri dan manusia serta tiga morfem terikat, iaitu ber-, ke- dan -an. Semua imbuhan dikira satu morfem terikat kerana tidak dapat berdiri dengan sendiri dan tiada makna. Berkakikan mempunyai tiga morfem iaitu dua morfem terikat (ber dan kan) dan satu morfem bebas (kaki). | Tatabahasa | 11.01.2013 |
i dan kan bagaimana digunakan dan bila sesuail untuk digunakan | Akhiran -kan digunakan wujud atau digunakan dua jenis ayat tertentu sahaja, iaitu 1. dalam ayat pasif bagi kata ganti nama orang pertama dan orang kedua (Rencana-rencana itu saya bukukan), dan 2. dalam ayat suruhan (Belikan saya sepasang kasut). Seperti akhiran -kan akhiran -i juga wujud atau digunakan dalam dua bentuk ayat, iaitu 1. dalam ayat pasif bagi orang pertama dan kedua (Perangainya yang baik itu akan kami contohi), dan 2. dalam ayat suruhan (Contohilah teladan yang baik itu). Untuk maklumat lanjut sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, muka surat 183 hingga 190. | Tatabahasa | 21.02.2009 |
Apa penggunaan imbuhan -kan dalam ayat? | Kata kerja akhiran -kan wujud dalam ayat pasif, seperti Rencana itu saya bukukan; dan dalam ayat suruhan, seperti Belikan saya sepasang kasut. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 185. | Tatabahasa | 29.08.2016 |
Saya ingin minta bantuan pihak tuan: bagaimana saya dapat menerangkan penggunaan akhiran 'kan' kepada pelajar-pelajar saya dengan cara yang termudah. Terima kasih. | Akhiran -kan membentuk kata kerja transitif. Kata kerja yang menerima akhiran -kan tanpa awalan wujud dalam dua jenis ayat tertentu sahaja, iaitu: ayat pasif bagi kata ganti nama orang pertama dan kedua, contohnya Rencana itu saya bukukan; dan ayat suruhan, contohnya Belikan saya sebuah buku. Untuk maklumat lanjut, rujuk Buku Tatabahasa Dewan, halaman 183. | Tatabahasa | 11.01.2012 |
bagaimana saya ingin membezakan penggunaan imbuhan diper- dan diper-kan contoh; jalan itu diperbesar atau jalan itu diperbesarkan, memper- dan memper-kan contoh ayat pihak tentera telah memperkuatkan kubu pertahanan atau memperkuat kubu pertahanan, pe-an dan per-an contoh ayat, pelantikan dan perlantikan, ada yang mengatakan per-untuk menunjukkan proses perkara itu dilakukan. 2. bagaimana untuk membezakan perkataan yang menggunakan imbuhan per- an dan pe-an. jika pihak tuan boleh menunjukkan proses /formula untuk membezakan penggunaan per-an dan pe-an, ramai yang keliru termasuk saya. | 1. Awalan diper- dan apitan diper-...-kan ialah bentuk pasif bagi kata kerja memper- dan memper-...-kan. Awalan mempeR- pembentuk kata kerja yang wujud hanya dalam satu bentuk. Dalam bahasa Melayu bentuk ini biasa juga dirujuk sebagai hanya awalan peR-. Namun demikian, dalam ayat aktif peR- tidak boleh wujud tanpa awalan meN- kecuali dalam ayat perintah. Bentuk ini berubah menjadi dipeR-dalam ayat pasif. Rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 177 - 183. Apitan memper-...-kan Hanya golongan kata nama dan kata kerja yang boleh bergabung dengan apitan memper-...-kan. Kata adjektif tidak boleh bergabung dengan apitan memper-...-kan. Apitan memper-...-kan akan menghasilkan kata kerja pasif diper-...-kan. Rujuk Tatabahasa Dewan, halaman 208 - 211. 2. Apitan pe-...-an dan peR-...-an membentuk kata nama. Apitan pe-...-an bergabung dengan kata dasar daripada golongan kata nama dan kata kerja untuk menandakan makna tempat atau kawasan khusus, seperti petempatan dan pesisiran. Apitan peR-...-an bergabung dengan kata dasar daripada golongan kata nama dan kata kerja untuk menandakan makna tempat, seperti perkampungan dan perhentian. Apitan peR-...-an membentuk kata nama yang membawa abstrak, Hasil gabungan apitan ini dengan kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas menandakan makna khusus, iaitu hal yang berkaitan dengan kata dasar atau hasil daripada melakukan maksud kata dasarnya seperti perakuan dan persengketaan. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewa, halaman 126 - 129.
| Tatabahasa | 30.03.2014 |
Tuan/Puan, Saya ingin bertanya berkenaan penggunaan akhiran -i dan -kan yang betul .Saya memahami bahawa akhiran -kan digunakan dalam contoh ayat yang objekj perbuatan itu berpindah tempat . Akhiran -i membawa erti objek perbuatan itu tidak bergerak ke mana-mana. sehubungan itu, dalam ayat berikut. Apakah penggunaan imbuhan yang betul: 1.Sila garisi perkataan yang susah difahami. 2.Sila gariskan perkataan yang susah difahami. Terima kasih. | 1. Akhiran kata kerja -i dan -kan diterangkan dengan jelas dalam buku Tatabahasa Dewan, mulai halaman 183. Akhiran -kan boleh bergabung dengan banyak golongan kata dan membentuk kata transitif. Biasanya kata kerja yang menerima akhiran -kan menerima juga awalan meN- atau di- dan hadir dalam ayat aktif transitif atau pasif. Kata kerja tanpa yang menerima akhiran -kan tanpa awalan wujud dalam dua jenis ayat sahaja, iaitu: ayat pasif bagi kata ganti nama orang pertama dan orang kedua dan dalam ayat suruhan. Kata Kerja akhiran -i juga membentuk kata kerja transitif. Terdapat dua pengertian khusus penggunaan akhiran -i, iaitu: memberi pengertian menyebabkan sesuatu dan menyatakan unsur tempat. Persamaan antara kedua-dua akhiran ini ialah kedua-duanya membawa maksud kuasatif. Perbezaannya pula ialah akhiran -kan mengandungi unsur benafaktif, manakala akhiran -i mengandungi unsur lokatif. Untuk melihat contoh ayat yang digunakan, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan. 2. Ayat yang betul ialah sila gariskan perkataan yang susah difahami. | Tatabahasa | 05.08.2015 |
Apakah perbezaan dan kegunaan antara imbuhan akhiran -i dan -kan serta digunakan serta peraturan tatabahasanya? Contoh: Tolong sudahi / sudahkan tugasan yang diberi oleh guru tadi. Perkataan yang manakah sesuai digunakan mengikut sistem tatabahasa? | Akhiran kata kerja -i dan -kan diterangkan dengan jelas dalam buku Tatabahasa Dewan, mulai halaman 183. Akhiran -kan boleh bergabung dengan banyak golongan kata dan membentuk kata transitif. Biasanya kata kerja yang menerima akhiran -kan menerima juga awalan meN- atau di- dan hadir dalam ayat aktif transitif atau pasif. Kata kerja tanpa yang menerima akhiran -kan tanpa awalan wujud dalam dua jenis ayat sahaja, iaitu: ayat pasif bagi kata ganti nama orang pertama dan orang kedua dan dalam ayat suruhan. Kata Kerja akhiran -i juga membentuk kata kerja transitif. Terdapat dua pengertian khusus penggunaan akhiran -i, iaitu: memberi pengertian menyebabkan sesuatu dan menyatakan unsur tempat. Persamaan antara kedua-dua akhiran ini ialah kedua-duanya membawa maksud kuasatif. Perbezaannya pula ialah akhiran -kan mengandungi unsur benafaktif, manakala akhiran -i mengandungi unsur lokatif. Untuk melihat contoh ayat yang digunakan, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan. | Tatabahasa | 13.01.2012 |
Salam, Harap berikan sedikit tip tentang penggunaan imbuhan "kan'. Saya perhatikan bahawa sama ada imbuhan itu ada ataupun tidak ada, perkataan masih berbentuk kata kerja. Jadi, saya sedikit keliru sama ada nak tambah "kan" ataupun tidak. Terima kasih. | Kata kerja tidak semestinya mempunyai imbuhan kerana kata kerja terdiri daripada empat bentuk, iaitu kata kerja tunggal, kata kerja terbitan, kata kerja majmuk dan kata kerja ganda. Kata kerja tunggal ialah kata yang terbentuk tanpa imbuhan. Contohnya, terbang. Kata kerja terbitan ialah kata kerja yang terhasil daripada proses pengimbuhan, sama ada awalan, akhiran, apitan atau sisipan. Contohnya, memasak, bukukan, membesarkan dan menggeletar. Kata kerja majmuk terdiri daripada rangkaian dua morfem bebas atau lebih. Contohnya, kenal pasti. Kata kerja ganda pula merupakan proses yang hanya menggandakan kata dasar tanpa melibatkan sebarang imbuhan. Contohnya, geleng-geleng. Berdasarkan bentuk kata kerja tersebut, akhiran -kan membentuk kata kerja terbitan. Golongan kata yang boleh bergabung dengan akhiran ini ialah kata nama, kata kerja tak transitif, kata kerja transitif, kata adjektif dan kata tugas. Akhiran –kan membentuk kata kerja transitif yang biasanya menerima juga awalan meN- atau di- dan hadir dalam ayat aktif transitif atau pasif. Kata kerja yang menerima akhiran –kan tanpa awalan wujud dalam dua jenis ayat, iaitu dalam ayat pasif dan ayat suruhan. Akhiran –kan boleh juga hadir dalam beberapa imbuhan lain, iaitu meN-…-kan, beR-…-kan, mempeR-…-kan, di-…-kan dan dipeR-…-kan. Untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 143-223. | Tatabahasa | 28.06.2021 |
Menurut tatacara pembentukan kata terbitan yang kata dasarnya bermula dengan deretan huruf “sy”, imbuhan yang terlibat antaranya “men-“, “men-…-kan”, “pen-“, dan “peN-…-kan” untuk membentuk kata seperti “mensyampu”, “mensyaratkan”, “pensyarah”, dan “persyarikatan”. Namun, didapati tatacara ini tidak dipatuhi sepenuhnya bagi kata dasar “syair”; kata terbitan yang dirakamkan dalam Kamus Dewan Ke-4 (KD4) antara lain; “mensyairkan”, “pensyair”, “penyair”, “kepenyairan”. Hanya dua kata terbitan pertama sahaja menurut tatacara tersebut, sementara yang lain nampaknya kekecualian. Persoalannya, adakah kata terbitan yang tidak/belum dirakamkan dalam KD4, iaitu “menyair”, dan “kepensyairan” dapat gunakan? Mungkin “menyair” diterbitkan dengan asas bahawa kata ini berupa kekecualian sebagaimana “kepenyairan”, manakala “kepensyairan” pula diterbitkan dengan asas bahawa pengimbuhan inilah yang menurut tatacara sebenar. Sudah tentu yang lama boleh dikekalkan supaya terdapat pilihan, sama ada “menyair” atau “mensyair”, dan “kepenyairan” atau “kepensyairan”, sebagaimana ada pilihan bagi kata terbitan “jawaban” atau “jawapan”, “pelibatan” atau “penglibatan”, “pembelajaran atau pemelajaran” dsb. Pada pendapat saya, supaya “pensyair” dapat digunakan dengan “rasa baku” berbanding “penyair”, kata terbitan “kepensyairan” juga harus wujud dalam Kamus Dewan Keempat. Sekian. Qiu Syah Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad | Seperti yang tuan maklumi kata penyair dan kepenyairan ialah kekecualian dalam pembentukan kata bahasa Melayu. Merujuk pangkalan data kami tidak ada contoh penggunaan perkataan kepensyairan dan ada satu contoh penggunaan menyair oleh penerbit bukan DBP. Cadangan tuan agar kata menyair dan kepensyairan diamasukkan dalam entri kamus yang akan diterbitkan akan kami kemukakan kepada pihak yang berwenang dalam hal ini, iaitu Bahagian Perkamusan. Hal ini akan ditangani oleh Bahagian Perkamusan, sama ada menerima cadangan tuan atau sebaliknya perlu ada justifikasi yang mewajarkannya. | Istilah | 27.11.2012 |