| Perkataan seperti Yang Tetap Hidup, Yang Kekal, Yang tidak mengantuk dalam ayat di bawah perlu ditulis dengan huruf besar atau kecil? Maksudnya: “Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. | Dari aspek penulisan bahasa Melayu, terdapat beberapa garis panduan yang lebih terperinci mengenai penggunaan huruf besar, terutamanya apabila merujuk sifat-sifat Tuhan atau Allah. Yang berikut merupakan penjelasan lanjut berdasarkan ayat yang diberikan: 1. Yang Tetap Hidup dan Yang Kekal Kedua-dua istilah ini merujuk sifat-sifat Allah yang mulia. Mengikut kaedah penulisan rasmi, apabila menyebut sifat-sifat Allah, kita menulisnya dengan huruf besar untuk menunjukkan penghormatan kepada-Nya. Contoh: Yang Tetap Hidup, Yang Kekal (huruf pertama bagi setiap kata besar kerana frasa khusus yang merujuk sifat Allah). 2. Yang tidak mengantuk Sifat Allah yang tidak pernah mengantuk ini juga merujuk kebesaran-Nya. Oleh sebab itu, turut ditulis dengan huruf besar pada perkataan “Yang” dan “tidak mengantuk” sebagai satu ungkapan khas yang merujuk sifat Allah. Contoh: Yang tidak mengantuk. | Ejaan | 19.11.2025 |
| Salam, ayat yang manakah betul? 1. Antara berikut, yang manakah nombor perdana? 2. Antara yang berikut, yang manakah nombor perdana? 3. Antara nombor berikut, yang manakah nombor perdana? Mohon terangkan penggunaan kata hubung yang dalam suatu ayat. Terima kasih. | Ayat yang betul ialah “Antara nombor yang berikut, yang mana satukah nombor perdana?” Kata Hubung tergolong di bawah kata tugas yang berfungsi sebagai penyambung ayat. Kata penyambung ayat ialah sejumlah perkataan yang bertugas menghubungkan dua binaan ayat atau lebih sehingga menjadi satu bentuk ayat yang berlapis, yang dikenali sebagai ayat majmuk. Terdapat dua jenis ayat majmuk yang terbentuk, iaitu ayat majmuk gabungan dan ayat majmuk pancangan. Untuk keterangan dan maklumat lebih lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2015), halaman 249 - 254. | Tatabahasa | 12.06.2025 |
| "Pada masa sama" atau "pada masa yang sama"?Yang manakah yang betul? TQ. | Ayat yang betul ialah “pada masa yang sama”. Penggunaan “yang” merupakan kata hubung pancangan relatif yang berfungsi menghubungkan klausa utama dengan klausa kecil. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014), halaman 252. | Tatabahasa | 21.10.2025 |
| "Yang" pada ayat di bawah perlu menggunakan huruf besar atau kecil? Kita sedang menyahut panggilan Yang Maha Agung | Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, maksud "yang" ialah kata penghubung utk menyatakan bahawa kata keterangan berikutnya dipentingkan atau menunjukkan kelainan. Contoh ayat: rumah yang besar itu atau orang yang sakit itu. Maka jika kita merujuk contoh ayat yang diberikan pula ialah "Kita sedang menyahut panggilan Yang Maha Agung". Yang yang digunakan dalam ayat ini merujuk kepada penggunaan kata nama Khas. "Yang" yang digunakan dalam ayat ini merupakan sebahagian daripada nama atau gelaran khas sesuatu entiti, dalam hal ini, Tuhan. Maka "Yang" perlu dieja dengan huruf besar dalam ayat yang diberikan.(Kita sedang menyahut panggilan Yang Maha Agung) | Ejaan | 16.11.2025 |
| YANG MANA SATUKAH EJAAN YANG BETUL PREMIS ATAU PERMIS? ADAKAH KEDUA PERKATAAN INI MEMBAWA MAKSUD YANG BERBEZA. | Ejaan yang betul ialah premis. Tiada perkataan permis ditemukan. Berdasarkan Kamus Dewan Perdana (2020), maksud premis adalah seperti yang berikut: 1. pernyataan atau perkara yang dianggap sebagai sesuatu yang benar atau pasti untuk tujuan membuat huraian atau perbincangan yang membawa kepada sesuatu kesimpulan, penyelesaian dan sebagainya 2. bangunan, tanah dan kawasan persekitarannya untuk menempatkan kedai atau menjalankan perniagaan | Ejaan | 02.07.2025 |
| Salam, Yang manakah penggunaan yang lebih tepat dan mengapa? Menubuhkan satu/suatu jawatankuasa Terima kasih. | Ayat yang lebih tepat adalah “Menubuhkan satu jawatankuasa”. Satu bermaksud 1 angka yang dilambangkan dengan 1, i dan I, yang merupakan angka terkecil yang boleh dibilang, dan hadir sebelum angka 2, ii dan II, 2 yang paling tinggi bagi pangkat, kelas dan sebagainya, 3 yang kedudukannya, penarafannya pada tingkat permulaan atau paling rendah, 4 yang itu sahaja, 5 kurang daripada dua jumlahnya, 6 merujuk pada sesuatu atau seseorang daripada jenis, kumpulan atau kelompok yang sama, 7 sekalian yang ada, seluruh atau semua sekali, 8 merujuk pada tempat, waktu dan sebagainya yang sama. Suatu bermaksud 1 merujuk masa, hari, peristiwa dan lain-lain yang tidak dinyatakan secara tepat, 2 merujuk sesuatu atau seseorang daripada jenis, kumpulan atau kelompok yang sama, 3 satu sahaja, 4 tiap-tiap satu, 5 pertama-tama atau yang pertama. Sila rujuk pangkalan data https://prpm.dbp.gov.my/ melalui Khidmat Bahasa DBP. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 1972 dan 2157. | Lain-lain | 05.06.2025 |
| Adakah perkataan seperti "tidak" dan "bukan" perlu menggunakan huruf kecil dalam tajuk. Contoh: "Sejarah yang Tidak boleh Diabaikan" atau "Sejarah yang tidak boleh Diabaikan" Yang manakah yang lebih tepat? | Tajuk yang lebih tepat ialah: “Sejarah yang Tidak Boleh Diabaikan” Huruf pertama bagi setiap perkataan dalam tajuk mestilah menggunakan huruf besar kecuali kata sendi dan kata hubung seperti yang, di, ke, dan dan lain-lain. Perkataan tidak dan bukan ialah kata nafi dan perlu ditulis dengan huruf besar pada huruf pertama perkataan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Modul Asas Tatabahasa dan Asas Penulisan Dokumen Rasmi (DBP, 2017), halaman 37-38. | Tatabahasa | 05.09.2025 |
| Saya perlu pengesahan ejaan yang betul bagi penulisan di dalam surat & rasmi YA (singkatan Yang Arif) YAA (singkatan Yang Amat Arif) untuk YA mana yang betul adakah perlu ada titik noktah. Contoh Y.A. Y.A.A. Misalnya untuk gelaran nama yang penuh YA atau Y.A. Datuk Dr Shahnaz (perkataan di akhir Dr perlu tanda noktah atau tidak) | Penulisan singkatan yang betul adalah seperti yang berikut: 1. YA untuk Yang Arif 2. YAA untuk Yang Amat Arif 3. Dr. untuk Doktor Sila rujuk buku Gaya Dewan Edisi Keempat (DBP, 2023), halaman 114 dan 169-174.
| Lain-lain | 28.08.2025 |
| Selamat Sejahtera encik/puan, 1. Yang mana yang betul? peralatan jahit atau peralatan menjahit 2. Adakah sunyi sepi / resah gelisah ialah kata majmuk? 3. Cerita yang disampaikan oleh Helmi ialah cerita yang ada pengajaran. Adakah ayat no. 3 ini betul? Terima kasih. | 1. Penggunaan yang betul ialah peralatan menjahit. 2. Sunyi sepi dan resah gelisah bukan kata majmuk, sebaliknya frasa nama. 3. Ayat yang betul ialah Cerita yang disampaikan oleh Helmi mempunyai pengajaran. | Tatabahasa | 26.08.2025 |
| Assalamualaikum. Pertanyaan, (1) Adakah "k" huruf besar untuk ejaan Komander Ahmad? Adakah sama seperti Inspektor Ali, yang menjadi kata nama khas? (2) Yang manakah yang betul, "rejim zionis" atau "Rejim Zionis" atau "rejim Zionis"? (3) Yang manakah yang betul, "tentera zionis" atau "Tentera Zionis" atau "tentera Zionis"? Terima kasih. | “Komander Ahmad” dan “Inspektor Ali” merupakan kata nama khas dan perlu dieja dengan menggunakan huruf besar pada pangkal perkataan, manakala “rejim Zionis” dan “tentera Zionis” merupakan gabungan antara kata nama am dengan kata nama khas. Hanya perkataan “Zionis” dieja menggunakan huruf besar pada pangkal perkataan kerana “Zionis” merupakan kata nama khas. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014) halaman 96 - 97. | Tatabahasa | 22.05.2025 |