saya keliru dengan makna perumpamaan 'seperti pahat dengan penukul'. sama ada maknanya 'satu sama lain bantu-membantu' atau 'orang yg hanya bekerja apabila diperintah'. makna yang mana tepat bagi perumpamaan tersebut? | Puan Norsazila, Makan perumpamaan yang betul ialah orang yang hanya bekerja apabila disuruh atau diperintah. | Tatabahasa | 30.03.2010 |
Maaf, saya menghadapi keliruan apabila mencari maksud seperti pahat dengan penukul. Dalam khidmat nasihat tuan ditulis orang yang hanya bekerja apabila disuruh atau diperintah pada tahun 2010 tetapi satu sama lain bantu-membantu pada tahun 2013. Harap tuan boleh bantu untuk memberi penerangan. | Terdapat dua peribahasa berkaitan pahat. 1. Seperti pahat dan penukul bermaksud saling bantu membantu. 2. Bagai pahat, tidak ditukul tidak makan bermaksud orang yang hanya bekerja apabila disuruh atau diperintah. Semoga merungkai kekeliruan saudara. | Makna | 25.05.2018 |
Saya ingin bertanya, bagaimana untuk kita membezakan Dato' dan Datuk? Sekian, terima kasih. | Gelaran Dato' diterima daripada raja-raja Melayu, manakala gelaran Datuk diterima daripada DYMM Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong dan negeri-negeri yang tidak diperintah oleh raja, misalnya Pulau Pinang dan Sabah. | Lain-lain | 21.09.2007 |
Amir Azizi TUES 18:53 Asalamaualaikum Asalamualaikum Apa yang dimaksudkan dengan negara Mohon penjelasan | Salam, Negara bermaksud 1. suatu masyarakat yg menduduki kawasan tertentu dan diperintah oleh sebuah kerajaan; 2. kawasan yg di bawah kekuasaan kerajaan tertentu | Makna | 29.11.2016 |
apa maksud negeri, apa maksud wilayah persekutuan? adakah wilayah persekutuan dikira sebagai sebuah negeri dan berapa bilangan negeri di malaysia? | Salam sejahtera, Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat negeri bermaksud daerah tempat tinggal (kampung, negara, dll). Selain itu negeri juga beerti daerah yang di bawah perintah seorang sultan atau gabenor. Untuk mengetahui maksud yang lebih jelas mengenai perkataan 'negeri' sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat halaman 1075. Manakala maksud wilayah persekutuan pula ialah wilayah yang ditadbir secara langsung oleh kerajaan Persekutuan Malaysia dan ditadbir di bawah perundangan Kementerian Wilayah Persekutuan. Tidak seperti negeri-negeri lain bagi Malaysia, Wilayah Persekutuan tidak diperintah oleh kerajaan negeri, sebaliknya terletak di bawah pentadbiran Persekutuan dan diperintah oleh Yang di-Pertuan Agong">Yang di-Pertuan Agong. Terdapat tiga bahagian dalam Wilayah Persekutuan, iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Daripada ketiga-tiga bahagian ini, Kuala Lumpur merupakan ibu kota Persekutuan, Labuan merupakan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa (IBFC) manakala Putrajaya merupakan pusat pentadbiran Persekutuan. Malaysia terdiri daripada 13 buah negeri dan tiga Wilayah Persekutuan. Jadi Wiayah Persekutuan tidak dikira sebagai sebuah 'negeri' | Lain-lain | 01.12.2012 |
Assalamualaikum dan Salam perpaduan, Puan, PENGGUNAAN PERKATAAN "NASIONAL DAN "NEGARA" BAGI TUJUAN URUSAN RASMI KERAJAAN Dengan hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas. 2. Untuk makluman tuan, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) adalah sebuah agensi peneraju yang dipertanggungjawabkan untuk memelihara, meningkat dan memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian masyarakat di Malaysia. Selaras dengan itu, pelbagai program/aktiviti dianjurkan termasuklah penghasilkan penerbitan yang bertujuan mempromosikan keharmonian. 3. Jabatan pada masa kini menggunakan perkataan Negara dan Nasional bagi program/aktiviti dan penerbitan Jabatan. Sehubungan itu, Jabatan ini memohon pihak puan sebagai pakar rujuk untuk memberi pencerahan mengenai maksud perkataan "Negara" dan "Nasional", perbezaan serta kesesuaian penggunaan kedua-dua perkataan tersebut bagi maksud yang dinyatakan di atas. Ini bertujuan untuk memastikan agar jabatan dapat menggunakan perkataan tersebut mengikut kesesuaian maksud perkara yang hendak disampaikan. 4. Kami amat agar pihak puan dapat memberikan maklumbalas dengan kadar segera dan segala perhatian dan kerjasama pihak puan didahului dengan setinggi penghargaan dan terima kasih. Sekian. "BERKHIDMAT UNTUK NEGARA" Saya yang menurut perintah, Sharifah Rahimah Binti Syed Othman Bahagian Korporat Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) | Untuk makluman puan, dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan “nasional” bermaksud berkaitan dengan bangsa atau kebangsaan, manakala perkataan “negara” mempunyai beberapa maksud, iaitu i. sesuatu masyarakat yang menduduki kawasan tertentu dan diperintah oleh sebuah kerajaan, ii. kawasan yang di bawah kekuasaan kerajaan tertentu, negeri dan iii. yang berkaitan dengan negara (masyarakat dan kawasan di bawah suatu kerajaan). Dari segi peristilahan pula, nasional ialah padanan bahasa Melayu untuk istilah bahasa Inggeris national dan negara ialah padanan bahasa Melayu untuk istilah bahasa Inggeris nation, state dan country. Oleh itu, kedua-dua perkataan, iaitu nasional dan negara boleh digunakan bergantung pada maksud dan konteks ayat. Kami berharap penerangan yang diberikan dapat membantu pihak puan menggunakan perkataan yang betul dalam program, aktiviti dan penerbitan di jabatan puan. | Makna | 22.11.2016 |