PEMIMPIN WARITA | PEMIMPIN WARITA, akhbar Melayu bertulisan Jawi yang diterbitkan di Pulau Pinang pada penghujung abad ke-19. Akhbar yang dicetak secara cap batu (litograf) ini mula diterbitkan pada 4 November 1895. Harga langganannya ialah $4.00 setahun. Pada tahun 1897, harga akhbar ini diturunkan kepada $3.00 setahun. Akhbar ini diterbitkan oleh Khor Teow Han, yang menerbitkannya melalui percetakan Kim Saik Hean, yang dimilikinya sendiri. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Penerbitan |
PERSATUAN MELAYU SELANGOR | PERSATUAN MELAYU SELANGOR, persatuan negeri. Persatuan ini ditubuhkan pada 5 Jun 1938 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Mesyuarat penubuhannya telah dihadiri oleh lebih kurang 400 orang dan sebanyak $108.00 telah dikumpulkan sebagai yuran daripada 108 orang ahli walaupun persatuan ini belum terdiri daripada golongan pentadbir berdarah bangsawan dan golongan wartawan. Presidennya ialah Tengku Ismail bin Tengku Muhammad Yasin, Raja Bon ialah Raja Yahya (naib presiden), Ramli bin Mohd. Tahir (setiausaha) dan Mahmud Haji Abdul Rahman (bendahari). Ahli Jawatankuasa yang penting ialah Raja Yaakub bin Raja Alang, Mohd Yunus Hamidi, Abdul Rahim Kajai dan Osman Kalam. Keanggotaan ahli jawatankuasa persatuan ini memperlihatkan kesedaran kebangsaan yang menyeluruh di kalangan orang Melayu Selangor. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Persatuan |
BAHRAIN | Bahrain, negara kepulauan yang terletak di Timur Tengah pada garis lintang 26° 00’ U, dan garis bujur 50° 33’ T. Bahrain terdiri daripada 30 buah pulau di Teluk Parsi. | GEOGRAFI DAN GEOLOGI | Bandar/Negeri/Negara/Tempat |
UTUSAN MELAYU PRESS LTD. | UTUSAN MELAYU PRESS LTD., organisasi media yang terulung di Malaysia. Utusan Melayu Press Ltd. ditubuhkan pada tahun 1938 di Singapura. Penerbit ini ditubuhkan untuk menerbitkan akhbar Utusan Melayu sebagai wadah perjuangan orang Melayu menentang penjajahan dan menyemarakkan perjuangan bagi kepentingan bangsa, agama dan negara. Pejabat Utusan Melayu Press Ltd., pada mulanya terletak di sebuah bangunan kedai tiga tingkat di Queen Street dan kemudiannya berpindah ke Cecil Street. Antara pengasas Utusan Melayu adalah Yusof Ishak, Daud Mohammad Shah, Haji Embok Soloh, Haji Abdul Hamid Haji Mohammad, Tengku Abdul Kadir Mohamad, Haji Ismail Haji Mohamad Taib, Embok Abdul Ghani, Haji Omar dan Abdul Jalil Haji Harun. Dengan modal permulaan sebanyak $12,290.00, lahirlah Utusan Melayu Press Ltd., pada 19 Mei 1939. | SASTERA | Institusi/Organisasi |