Andalus, Pembukaan. Musa ibn Nusayr dilantik sebagai pemerintah Maghribi (Barat Laut Afrika) pada tahun 89 H bersamaan dengan tahun 707 M. Dia dilantik menggantikan Hassan ibn al-Nu‘man yang dipecat kerana kes perselisihannya dengan Gabenor Mesir. Pada permulaan zaman pemerintahan Musa ibn Nusayr, orang Barbar telah memberontak menentangnya, tetapi dia dapat menghapuskan pemberontakan itu dengan kekerasan. Seterusnya dia berjaya membuka Tangier yang merupakan kubu terakhir puak Barbar tersebut, lalu melantik Tariq ibn Ziyad menjadi gabenor di situ. Musa menggunakan dasar yang sangat bijaksana untuk menghentikan pemberontakan Barbar yang sering berulang, iaitu dengan mengislamkan seluruh negeri itu. Musa berjaya mengajak kaum Barbar memeluk Islam dan melatih beribu-ribu orang dalam kalangan mereka menjadi tenteranya. Kemudian dia menyediakan armada laut yang besar untuk melindungi sempadan kawasan pantai daripada serangan tentera Rom. Di samping itu dia memulakan serangan ke atas pulau-pulau dan markas tentera Rom yang berhadapan dengan pantai Afrika Utara, iaitu Kepulauan Balearic, Sicily dan Sardinia, sehingga daerah kekuasaannya meliputi semua kawasan persisiran kecuali Ceuta, di timur Tangier yang merupakan kubu kuat Rom. |