PEMINJAMAN BAHASA TIMUR TENGAH | PEMINJAMAN BAHASA TIMUR TENGAH, penyerapan unsur bahasa yang berasal daripada bahasa-bahasa di Timur Tengah atau Asia Barat. Unsur bahasa Timur Tengah yang meresap ke dalam bahasa Melayu datangnya daripada bahasa Arab, parsi dan Turki. Proses peminjaman itu bermula dari zaman kedatangan Islam ke Asia Tenggara yang bermula pada abad ke-3 H. tetapi mula berkembang pada abad ke-5 H (abad ke-11 M). | BAHASA | Konsep |
SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU | SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU, sejarah perkembangan bahasa Melayu dari zaman dahulu hingga kini. Bahasa Melayu dari segi sejarah telah wujud pada abad ke-2 M. di Vietnam. Prasasti berbahasa Melayu (yang tertua setakat ini) ditemui di Dong Yen Chau, Teluk Touraine, Vietnam yang bertarikh pada abad ke-4 M. Prasasti Muara Kaman, Kutai , Kalimantan Timur pula bertarikh pada 400 M. tetapi masih menggunakan bahasa dan tulisan Sanskrit. Hanya nama raja di tempat itu yang menggunakan nama Melayu. Kemudian terdapat juga sebuah prasasti yang bertarikh pada awal abad le-7 M. Yang ditemui di Sajamerta, Jawa Tengah. Selepas itu terdapat prasasti yang ditemui di daerah induk bahasa Melayu iaitu di Kedukan Bukit, Talang Tuwo, Kota Kapur dan Karang Brahi. Kesemua prasasti ini bertarikh pada akhir abad ke-7 M., dan tempat-tempat tersebut terletak di Palembang, Jambi dan Pulau Bangka. | BAHASA | Konsep |
BOROBUDUR | BOROBUDUR, candi terbesar di Indonesia, dibina di kaki Gunung Menoreh yang terletak di wilayah Desa Bumisegoro, dekat Kota Magelang, Jawa Timur. Borobudur yang bererti ‘Himpunan Kuil-kuil di atas Bukit’ atau ‘Himpunan Kebajikan dalam 10 Tingkatan Bodhisatwa’ mula dibina sekitar tahun 800 M. oleh kerajaan Sailendra, yang memerintah Jawa Tengah dari pertengahan abad ke-8 M hingga tahun 830 M. Kekuasaan wangsa itu lenyap pada pertengahan abad ke-9 M. Seabad kemudian kegiatan politik dan budaya berpindah dari Jawa Tengah ke Jawa Timur. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Bangunan/Kota |
PAJANG | PAJANG, kerajaan tua di pedalaman Jawa Tengah, Indonesia. Pajang terletak di antara Solo dan Kartosuro, lebih kurang 5 km dari pusat kota Surakarta sekarang. Di Pajang ditemui ribuan serpihan artifak tembikar buatan China dan Asia Tenggara. Artifak ini adalah peninggalan abad ke-13 hingga abad ke-17. Pada taun 1940, ketika dilakukan panggalian pada tempat tersebut, ditemui sebuah fondamen yang diperbuat daripada batu-bata yang besar ukurannya, dan batu-bata yang disusun tanpa perekat kapur ataupun simen. Selain itu ditemui sebuah batu berbentuk kubus (kiub) tanpa hiasan, yang disebut ‘yoni’. Penduduk tempatan menganggap batu tersebut sebagai alas sebuah tiang pendapa. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Bandar/Negeri/Negara/Tempat |
ISLAM DI CAMPA | ISLAM DI CAMPA, perkembangan agama Islam di Campa yang bermula pada tahun 953 M. Kerajaan Campa wujud sejak abad ke-2 M. hingga abad ke-19 di kawasan yang sekarang dikenal sebagai Vietnam Tengah. Sepanjang sejarah kerajaan Campa, ibu kotanya sering dipindahkan iaitu di Indrapura, Amarawati, Vijaya, Kauthara dan Panduranga. Sesudah Vietnam menduduki kerajaan Campa, ramai orang Campa melarikan diri ke Kemboja, Thailand, serta ke kawasan lain di Nusantara seperti Melaka, Jawa dan Aceh. Sebahagian daripada mereka merantau ke bahagian selatan iaitu Panduranga yang sekarang dikenal sebagai Phanrang di Vietnam. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Konsep |
FUNAN | FUNAN, kerajaan Melayu tua yang ditubuhkan pada abad pertama Masihi. Funan merupakan sebuah kuasa besar di Asia Tenggara pada masa itu. Batu bersurat Funan yang pertama ditemui dalam bahasa Sanskrit selepas satu abad setengah daripada atrikh penubuhannya oleh seorang brahmin yang berkahwin dengan seorang puteri Funan. Nama asal Funan tidak diketahui tetapi perkataan tersebut disesuaikan dengan sebutan Cina daripada perkataan Khmer “bnam” atau “phnom” yang bermaksud gunung. Pusat kerajaan Funan terletak di kawasan delta Sungai Mekong. Pada masa kemuncak kekuasaannya wilayah Funan meliputi Vietnam Selatan, bahagian tengah Mekong, sebahagian besar lembah Sungai menam dan Semenanjung Melayu. Seperti Campa, Funan merupakan sebuah persekutuan daripada beberapa buah negeri kecil yang berpengaruh Hindu. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Kesultanan/Kerajaan/Pemerintahan |
SENOPATI | SENOPATI ( ? -1601), pengasas Kesultanan Mataram (1582-1601). Mataram muncul selepas keruntuhan kerajaan Majapahit pada abad ke-16. Mataram pada asalnya adalah sebuah daerah di Jawa Tengah dan menjadi sebahagian daripada kerajaan Majapahit. Kelemahan pemerintahan kerajaan Majapahit pada penghujung abad ke-16, menyebabkan banyak tanah jajahannya seperti Pajang, Jipang, Surabaya dan Demak membebaskan diri. Antara negeri yang terbesar ialah Pajang dan Jipang. Kedua-duanya bersaing hebat dan bermusuhan. Dalam proses pertelingkahan itu, Pajang yang dipimpin oleh Pangeran Adiwijoyo telah dibantu oleh Kiai Gadai Pemanahan. Sebagai menghargai jasanya mengalahkan Jipang, Mataram telah dihadiahkan kepadanya. Sejak itu, Mataram mula berkembang dan membangun menjadi sebuah negeri yang kuat. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
LASEM | LASEM, salah sebuah kerajaan tua di pantai utara Jawa Tengah yang merupakan salah satu daripada ‘tanah-tanah raja’ milik kerajaan Majapahit hingga abad ke-14. Lasem terletak di antara Tuban dengan Jepara tetapi lebih dekat dengan Rembang. Lasem juga nama sebuah gunung dengan ketinggian 807 m. Kedudukan Lasem hanya beberapa kilometer dari pantai dan berhampiran Sungai Lasem. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Kesultanan/Kerajaan/Pemerintahan |
SRIWIJAYA | SRIWIJAYA, kerajaan Melayu-Buddha di Sumatera pada abad ke-7 M. Kerajaan ini berpusat di Palembang. Antara tahun 671 M. hingga 695 M. Sriwijaya berjaya mengembangkan pengaruhnya di kerajaan-kerajaan di Selat Melaka berdasarkan penemuan prasasti Sriwijaya yang terdapat di Palembang, Bangka, Karang Brahi dan Palas Pasemah yang bertarikh 683/684 M. Pada tahun 776 M. kuasa Sriwijaya dipercayai sampai ke selatan Thailand sehingga ke Chaiya dengan merujuk prasasti Ligor. Antara kerajaan yang ditaklukinya ialah Chieh-cha, Pan-pan, Langkasuka dan Takuapa. Pada abad ke-9 M. Sriwijaya menjalin hubungan keluarga dengan dinasti Sailendra yang memerintah di Jawa Tengah. Bukti hubungan kekeluargaan ini dapat dirujuk kepada prasasti Ligor, inskripsi Leiden dan inskripsi Chola. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Kesultanan/Kerajaan/Pemerintahan |
GRESIK | GRESIK, kota pelabuhan di Jawa Timur sejak abad ke-14. Gresik menghadap Selat Madura dan membelakangi daerah subur di sepanjang sungai Bengawan Solo. Sungai besar itu pernah menjadi jalan penghubung yang penting di antara daerah pedalaman Jawa Tengah dengan Jawa Timur, iaitu Pajang, kemudian Kartasura dan Surakarta, dengan daerah-daerah pesisir di pantai timur laut. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Bandar/Negeri/Negara/Tempat |