Smith, Adam (1723–1790), pengasas ekonomi moden. Buku Smith yang terpenting ialah The Wealth of Nations (judul penuh: An Inquiry into the Nature and Causes of the Wealth of Nations). Buku yang diterbitkan pada tahun 1776 ini ialah karya lengkap yang pertama tentang ekonomi politik. Buku ini membincangkan perhubungan antara kebebasan dan ketenteraman, menganalisis proses ekonomi, dan menyelar sekatan yang dibuat oleh sistem merkantil British terhadap perdagangan bebas (lihat Merkantilisme). Ketiga-tiga aspek ini disulam bersama untuk membentuk teori sosial yang seragam. |