Surah Taha ialah salah satu daripada surah Makkiyyah, surah ke-20 mengikut susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi 135 ayat. Terdapat pelbagai pendapat mengenai sebab nama surah ini diberikan. Pendapat pertama mengatakan bahawa ia seperti surah yang lain yang pada permulaannya terdapat ungkapan Ha Mim atau Lam Mim dan lain-lain. Pendapat kedua mengatakan bahawa suatu ketika Rasulullah s.a.w. sembahyang dengan mengangkat sebelah kakinya dan menetapkan yang sebelah lagi, maka Allah S.W.T. menurunkan ayat, Taha, bermakna “Rendahkanlah dirimu ke bumi dengan kedua belah kakimu”. Pendapat ketiga mengatakan Taha adalah perkataan daripada bahasa ‘ajam (bukan Arab) yang bermaksud “Wahai lelaki”. Pendapat yang akhir mengatakan bahawa Taha merupakan salah satu daripada nama-nama Nabi s.a.w. |