BURUNG BAYAN | Burung bayan ialah anggota kecil dalam famili burung nuri. Burung bayan berwarna terang dengan bulunya berwarna hijau, merah, biru, jingga, kuning atau ungu. Ekornya sama ada pendek dan bersegi empat, atau panjang dan meruncing. Burung bayan biasanya merupakan haiwan kesayangan yang manja dan pandai. Burung ini ialah akrobat semula jadi dan dapat melakukan berbagai-bagai kepandaian di tangga dan jungkang-jungkit mainan. | UMUM | |
WARNA | WARNA, sesuatu yang mencerminkan struktur sosial secara simbolis dan mempunyai pengertian tertentu dari segi magis dan perubatan. Dalam budaya Melayu, warna sangat rapat dengan alam persekitaran semula jadi. Selain warna-warna dasar seperti putih, hitam, merah, biru atau kuning, terdapat beberapa cahaya warna yang menghampiri warna-warna dasar itu. Biasanya istilah cahaya adalah mengikut kepekatan dan kecairan warna itu, iaitu sama ada tua atau muda, maka terdapatlah warna seperti merah tua atau merah muda, dan kuning tua atau kuning muda. Di samping itu, terdapat cahaya warna yang diistilahkan mengikut apa yang dilihat pada alam semula jadi, terutamanya tumbuh-tumbuhan seperti merah pulasan daripada warna buah pulasan, kuning kunyit, daripada warna kunyit dan hijau pucuk pisang, cahaya yang menyerupai warna pucuk pisang. Lembayung, pinang masak, biji remia, biji asam, bunga keduduk dan kulit manggis adalah istilah bagi warna tertentu daripada tumbuh-tumbuhan. Unsur –unsur lain daripada alam semesta adalah seperti tanah liat (kuning), laut (biru), batu (merah), darah-darah ikan (merah) atau asap (kelabu). Semua istilah ini mencerminkan pandangan hidup orang Melayu. | BUDAYA | Konsep |
PANSI | Pansi ialah sejenis violet yang biasa ditanam. Bunganya yang cantik berwarna ungu, violet, biru, kuning, putih, perang, merah tua, atau campuran warna ini. | UMUM | |
NILAM | Nilam, sejenis batu permata yang keras dan jernih. Ia juga adalah sejenis mineral korundum. Nilam yang terkenal ialah nilam biru. Warnanya berpunca dari sejumlah kecil besi dan titanium yang berada di dalam batu. Nilam juga ada dalam pelbagai warna seperti kuning, hijau putih, hitam, ungu dan oren. Nilam bukan biru dinamakan nilam hiasan. Korundum berjenis merah dikenali sebagai delima. | UMUM | |
SALVIA | Salvia ialah sekumpulan tumbuhan yang tumbuh di kawasan sederhana dan kawasan panas di dunia. Salvia mempunyai bunga berbibir dua yang berbeza-beza warnanya daripada putih dan kuning pucat hingga kepada biru, ungu dan merah marak (scarlet). Pekebun menggunakan banyak jenisnya sebagai tumbuhan hiasan, termasuk sage merah marak, yang mempunyai bunga merah terang. Ia berasal dari Brazil, tetapi ditanam di bahagianbahagian lain di dunia. Sage taman yang digunakan untuk memperisa makanan ialah salvia. Lihat juga Sage. Pengelasan saintifik. Salvia adalah dalam famili pudina, Labiatae (Lamiaceae), genus Salvia . Sage merah marak ialah spesies S. splendens dan sage taman ialah S. officinalis . | UMUM | |
BALDU DEWANGGA | BALDU DEWANGGA, sejenis kain yang berasal dari India, Arab, Parsi dan China. Kain dewangga bererti kain yang indah untuk menutupi anggota badan dipakai oleh golongan bangsawan. Istilah dewangga umumnya merujuk kepada sejenis kain yang bercorak indah (biru atau kuning di atas kain natar merah). Dengan penggunaan bahan tertentu disebut lengkap sebagai sutera dewangga atau baldu dewangga. Kain ini juga dikenal sebagai ainulbanat atau kamkha. Misalnya pada abad ke-14, China pernah mengirim bingkisan ke Melaka iaitu sutera benang emas kamkha dewangga, yang bererti kain daripada benang sutera yang dihias dengan sulaman benang. | BUDAYA | Konsep |
MACAW | Macaw ialah nama bagi lebih kurang 18 spesies burung nuri yang besar dan berekor panjang yang hidup di kawasan berhutan di Amerika Selatan, Amerika Tengah dan Mexico. Macaw ialah burung nuri yang paling besar, dan panjangnya 30 hingga 100 sentimeter. Burung ini mempunyai sayap yang panjang runcing, dan paruh yang berat, kuat. Bulunya yang cantik berwarna biru, merah, kuning dan hijau meliputi badannya. | UMUM | |
MERPATI PEMBAWA UTUSAN | Merpati pembawa utusan ialah burung yang asalnya dibiakkan bakanya daripada merpati yang digunakan untuk membawa utusan dari satu tempat ke tempat lain. Walau bagaimanapun, bertahun-tahun lamanya merpati ini telah kehilangan naluri pulang ke sarangnya. Kini ia dipelihara sebagai burung pertunjukan. Merpati pembawa utusan ini berwarna biru, hitam, putih, perang kekelabuan, atau kuning. Ia lebih besar daripada merpatimerpati lain, dan ia tegak. Burung ini mempunyai sayap dan kaki yang kuat. Ia mempunyai ketumbuhan yang besar, berisi di sekeliling matanya yang besar,dan berwarna kuning pada paruhnya. Ketumbuhan ini mungkin meliputi hidung merpati tua. | UMUM | |
SWEDE | Swede ialah tumbuhan yang akarnya boleh dimakan yang rasanya seperti lobak putih. Ia juga dinamakan rutabaga dan lobak putih Rusia. Swede lebih keras daripada lobak putih, dan biasanya dituai pada akhir tahun. Akarnya yang berwarna kuning kaya dengan vitamin dan mineral. Ia dimakan rebus atau dibakar. Daunnya yang berwarna hijau-biru juga boleh dimakan. Pengelasan saintifik. Swede tergolong dalam famili mustard, Cruciferae (Brassicaceae). Ia adalah Brassica napobrassica. | UMUM | |
BENDERA NEGERI, | BENDERA NEGERI, Panji-panji yang menjadi lambang sesebuah negeri. Bendera Persekutuan Tanah Melayu (sebelum wujudnya Malaysia) mula diperkenalkan pada 19 April 1950, setelah diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan. Bendera ini direka khas sebagai lambang Persekutuan Tanah Melayu secara keseluruhannya, serta merangkumi sejarah setiap negeri. Bendera ini berukuran 180cm x 90 cm, mempunyai 11 jalur iaitu enam jalur merah dan lima jalur putih mewakili negeri-negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu iaitu Johor, Pahang, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Melaka. Di sudut atas sebelah kiri terdapat petak berwarna biru dengan bulan sabit dan bintang berwarna kuning. Bintang pecah 11 melambangkan perpaduan 11 buah negeri tersebut, serta warna kuning melambangkan kedalatan institusi beraja di sebahagian besar negeri di Tanah Melayu. Bendera Persekutuan Tanah Melayu berkibar megah buat pertama kalinya pada 26 Mei 1950, di perkarangan Istana Selangor, Kuala Lumpur. Upacara menaikkan bendera tersebut dilakukan oleh Sir Henry Gurney, Pesuruhjaya Tinggi British, pada ketika itu. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Konsep |