Khat Arab ialah seni penulisan kaligrafi Arab. Ia banyak dibantu oleh keunikan struktur bahasa Arab yang agak fleksibel, lembut, boleh dipanjangkan dan dipendekkan, boleh dipusingkan, boleh ditulis secara berasingan, bahkan boleh disambungkan, digabungkan dan disusun. Keadaan sedemikian menjadikan khat Arab sebagai satu seni yang indah dan bersesuaian dengan sebarang perubahan dan perkembangan. Jadi, satu hubungan yang kuat terbentuk antara setiap jenis khat dengan bahan yang digunakan untuk penulisannya. Khat Arab agak lembut, sesuai dengan keindahan dan keseniannya. Kita juga dapat melihat ia agak kukuh dan mempunyai keseimbangan, dengan mengambil sepenuhnya ruang yang luas di segenap sudutnya. Kita melihat kekukuhan dan kelembutan, sering bertukar ganti dan berkesinambungan dalam penulisan khat ini. Pada setiap keadaan, ia akan melekakan pemerhatinya dengan keindahannya yang unik serta keistimewaan bentuknya yang unggul dan menawan. Keadaan ini menempatkannya di kedudukan yang istimewa dalam bidang seni reka bentuk. Khat Arab bergantung pada seni dan keindahan berdasarkan kaedah tersendiri, hasil kesesuaian antara khat, titik dan bentuk bulat. Corak penampilan unsur khat ini digunakan secara seni, seperti seni reka bentuk yang lain. Contohnya, khat dan susunannya tidak memberi makna dari sudut luaran sahaja, tetapi ia juga memberi makna keindahan yang lahir daripada corak unik yang memberikannya satu bentuk keindahan. Pada masa yang sama, bentuk keindahan ini terpisah daripada unsur-unsur khat dan bersambung dengan corak-coraknya yang unik. |