Serapis ialah dewa yang tiba-tiba menjadi popular di Mesir pada tahun 300-an S.M. Pemerintah Ptolemaic di Mesir bermula dengan Ptolemy I pada tahun 323 S.M., telah membina sebuah kuil yang sangat indah untuk Serapis dan menggalakkan penyebaran fahamannya di seluruh dunia Mediterranean. Serapis menggabungkan watak Mesir dan Yunani. Di Alexandria, dia digambarkan sebagai dewa yang menduduki takhta yang merupakan lambang diraja seperti Zeus, raja segala dewa Yunani. Serapis ialah dewa alam ghaib, dikaitkan dengan Isis, dewi Mesir yang popular. Selain itu, Serapis bertindak sebagai pemilik Sungai Nil yang memberikan kesuburan. Dia melindungi golongan yang bekerja di laut, memberikan ilham tentang ramalan, menyembuhkan pesakit, dan memerintah seluruh alam semesta seperti Zeus. Serapis memiliki banyak watak Mesirnya daripada fahaman Osiris-Apis di Memphis. Nama Serapis mungkin merupakan gabungan antara Osiris dengan Apis. Osiris, suami Isis, ialah dewa kesuburan dan dewa alam ghaib. Apis pula merupakan bentuk duniawi Osiris dalam lambang lembu jantan. |