ARKITEK | Arkitek, seorang profesional yang dilatih dengan kemahiran merancang, mereka bentuk, mengatur dan menyelia kerja-kerja pembinaan bangunan. | KEJURUTERAAN | Disiplin Ilmu |
ARKEOLOGI | Arkeologi ialah kajian saintifik tentang tinggalan budaya manusia pada zaman lampau. Ahli arkeologi menyelidik kehidupan manusia awal dengan mengkaji objek yang mereka tinggalkan. Objek ini termasuk bangunan, kerja seni, perkakas, tulang-belulang dan barang tembikar. Ahli arkeologi mungkin membuat penemuan yang menarik, seperti makam yang berisi emas atau runtuhan puing-puing kuil yang indah di tengah- tengah hutan. | UMUM | |
PERALATAN PEMBINAAN | Peralatan pembinaan merupakan jentera yang digunakan untuk membina dan merobohkan jambatan, bangunan, dan struktur-struktur lain. Jentera ini biasanya dapat menjimatkan tenaga kerja, wang, dan masa. Sebuah jentera dapat melakukan kerja yang lebih banyak dalam masa satu jam berbanding seratus orang pekerja yang menggunakan peralatan tangan dalam satu hari. Jentera utama untuk membina bangunan termasuk (1) jentera korek tanah, (2) mesin angkat dan kendali bahan, dan (3) mesin pam. | UMUM | |
PETRIE | Petrie ialah nama sebuah keluarga peneroka di Australia . Andrew Petrie (1798–1872) ialah pembina bangunan dan salah seorang peneroka yang pertama di Brisbane, Queensland, Australia. Dia lahir di Fife, Scotland. Dia tiba di Sydney dan bertugas sebagai pekerja bebas pada tahun 1831. Selepas bekerja sebagai kerani di jabatan kelengkapan, Petrie menjadi penyelia kerja di Teluk Moreton (kini Brisbane) pada tahun 1837. Apabila stesen banduan dipindahkan pada tahun 1839, Petrie tinggal di tempat yang sama sebagai peneroka bebas. Dia mereka bentuk dan membina banyak bangunan yang penting di sekitar tempat tersebut. Perjalanannya memberi banyak pengetahuan mengenai kawasan sekitar. Petrie ialah orang yang pertama mendaki Gunung Beerwah, di Pergunungan Glasshouse. Dia membawa balik ke Brisbane contoh-contoh pertama pain bunga. Pada tahun 1842, dia menemui Sungai Mary. | UMUM | |
METALURGI | Metalurgi ialah sains untuk mengasingkan logam daripada bijihnya dan menyediakannya untuk digunakan. Semua objek logam yang kita gunakan adalah hasil kerja metalurgi. Logam mengalirkan elektrik ke rumah dan kilang, dan menjadi rangka bangunan pencakar langit. Kereta, kereta api dan kapal terbang dibuat daripada terutamanya logam. Begitu juga kebanyakan peralatan. Industri dan pembuatan tidak mungkin wujud tanpa menggunakan logam. Metalurgi terbahagi kepada dua bahagian utama, iaitu metalurgi ekstratif atau metalurgi proses; dan metalurgi fizikal atau metalurgi aloi. | UMUM | |
BIG BEN | Big Ben ialah loceng besar di menara jam Bangunan Parlimen di London. Big Ben beratnya 12 tan metrik. Diameternya 2.7 meter dan tingginya 2.3 meter. Big Ben mula bergema pada tahun 1859. Menjelang malam Tahun Baru 1923, loceng ini buat pertama kali didengari di radio, dan menjelang Tahun Baru 1949, loceng ini dan menara loceng yang terang-benderang muncul di kaca televisyen. Ia dipasang semasa Sir Benjamin Hall yang tinggi lagi gempal menjadi pesuruhjaya kerja raya. Benjamin digelar Big Ben dan anggota Parlimen menamakan loceng Big Ben sempena namanya. | UMUM | |
PEREKAT | Perekat ialah bahan yang melekatkan permukaan. Perekat, yang termasuk bahan seperti simen, epoksi, glu dan pes, digunakan dengan meluas dalam industri dan di rumah. Ia memainkan peranan penting dalam pembuatan kapal terbang, kereta, buku, dan perabot dan dalam pembinaan bangunan dan jalan raya. Ramai orang menggunakan epoksi dan glu untuk melakukan kerja pembaikan mudah di rumah. | UMUM | |