MEXICO | Mexico merupakan negara paling utara di Amerika Latin dan terletak di selatan Amerika Syarikat. Rio Grande membentuk lebih kurang dua per tiga sempadan di antara Mexico dengan Amerika Syarikat. Antara negara di Hemisfera Barat, hanya Amerika Syarikat dan Brazil mempunyai lebih ramai penduduk daripada Mexico. Mexico City ialah ibu negara dan bandar terbesar di Mexico. Mexico City ialah satu daripada bandar yang mempunyai jumlah penduduk kawasan metropolitan paling ramai di dunia. | UMUM | |
PERANG MEXICO | Perang Mexico (1846–1848) ialah pertempuran antara Amerika Syarikat dengan Mexico kerana perselisihan yang berterusan selama dua dekad. Selama perang tersebut, pasukan tentera Amerika Syarikat telah menyerang Mexico dan menduduki ibu kotanya, Mexico City. Mengikut Perjanjian Guadalupe Hidalgo, Amerika Syarikat memperoleh wilayah California, Nevada dan Utah, hampir seluruh Arizona dan New Mexico, serta bahagian Colorado dan Wyoming daripada Mexico . Namun, kebanyakan ahli sejarah berpendapat bahawa perang itu merupakan serangan yang tidak sepatutnya dibuat terhadap sebuah negara yang lemah. | UMUM | |
MEXICO CITY | Mexico City ialah ibu negara Mexico dan salah satu daripada bandar raya yang terbesar di dunia. Lebih daripada lapan juta penduduk tinggal di Mexico City. Kawasan metropolitannya menampung seramai 15 juta penduduk. Mexico City merupakan bandar utama antara kawasan pusat bandar dunia yang paling pesat penduduknya (lihat Bandar raya: [jadual: bandar terbesar di dunia]). Bandar ini merupakan pusat perdagangan, pengajian tinggi, industri, kebudayaan, dan pengangkutan. | UMUM | |
NETZAHUALC´OYOTL | Netzahualc´oyotl (pend. 1 256 115) ialah bandar raya ketiga terbesar di Mexico. Netzahual´coyotl terletak di negeri Mexico dan sempadan Mexico City di sebelah timur. Untuk mengetahui lokasinya, lihat Mexico (peta politik). Netzahual´coyotl ditubuhkan pada tahun 1900 sebagai subbandar Mexico City. Ia tidak digabungkan sebagai bandar sehingga tahun 1963. Sejak tahun 1970, jumlah penduduk Netzahual´coyotl meningkat dua kali ganda. Perkembangan bandar yang cepat ini menimbulkan masalah. Antaranya termasuk kekurangan perumahan yang baik, kekurangan perkhidmatan asas di bandar, dan pencemaran. Penduduk bandar ini kebanyakannya golongan kelas pekerja. Beberapa buah kilang pengeluar tanam-tanaman beroperasi di sini. | UMUM | |
TASIK XOCHIMILCO | Tasik Xochimilco, tasik yang menyerupai paya di Mexico City, Mexico, terkenal kerana terdapat “taman terapung”. Menjelang waktu wilayah tersebut ditakluki oleh Sepanyol pada tahun 1521, Orang Asli Amerika sudah pun membuat lima buah tasik cetek daripada sebuah tasik yang lebih besar dengan cara membina daik. Mereka menimbunkan lumpur lembut di atas ranting yang berjalin dan membentuk batas untuk menanam bunga dan sayur-sayuran. Saiz “taman terapung” ini beransur-ansur menjadi lebih besar dan akhirnya dipenuhi tumbuhan yang akarnya berjalin antara satu sama lain. Ramai pelancong berperahu di terusan-terusan yang memisahkan pulau-pulau buatan tersebut. | UMUM | |
TELUK MEXICO | Teluk Mexico ialah sebahagian daripada Lautan Atlantik yang melengkung dan besar. Ia hampir dikelilingi oleh Amerika Syarikat dan Mexico. Teluk ini membentuk satu lembangan lautan yang luas dan meliputi hampir 1 800 000 kilometer persegi. Panjangnya dari utara ke selatan ialah 1300 kilometer dan lebarnya 1770 kilometer. Selat Yucatán menyambungkan Teluk Mexico dengan Laut Caribbean, dan Selat Florida mencantumkannya dengan Lautan Atlantik. Air teluk yang suam mengalir melalui Selat Florida menjadi arus Atlantik yang penting yang dikenali sebagai Arus Telukan (lihat Arus Telukan) . | UMUM | |
NEW MEXICO | New Mexico (pend. 1 521 779) ialah negeri di barat daya Amerika Syarikat. Ia dikenali sebagai Taman yang Mempesonakan kerana pemandangannya yang indah dan kaya dengan sejarah. New Mexico pernah diperintah oleh Sepanyol, dan pengaruh Sepanyol jelas kelihatan pada nama tempat, makanan, dan budaya percutian. | UMUM | |
PERJANJIAN GUADALUPE HIDALGO | Perjanjian Guadalupe Hidalgo. Amerika Syarikat dan Mexico menandatangani perjanjian pada 2 Februari 1948 yang secara rasminya menamatkan Perang Mexico (1846–1848) yang berlaku kerana pertikaian terhadap status Mexico dan wilayah-wilayah lain. Perundingan perjanjian ini berlangsung di Villa de Guadalupe Hidalgo, pekan kecil yang kini sebahagian daripada Mexico City. | UMUM | |
TIJUANA | Tijuana (pend. 698 752) ialah bandar di negeri Baja California Norte, Mexico. Ia terletak di sempadan Mexico dan Amerika Syarikat, kira-kira 25 kilometer ke selatan San Diego, California (lihat Mexico [peta politik]). | UMUM | |
OBREGÓN, ÁLVARO | Obregón, Álvaro (1880–1928) ialah askar, negarawan, dan peladang ternakan Mexico yang menggantikan Venustiano Carranza sebagai presiden Mexico, pada tahun 1920 (lihat Carranza, Venustiano ). Obregon adalah salah seorang pemimpin Revolusi Mexico yang paling berkebolehan. Dia dipilih semula menjadi presiden pada tahun 1928, tetapi dibunuh sebelum sempat menjawat jawatan itu. | UMUM | |