| MUHAMMAD BUKHARI LUBIS | MUHAMMAD BUKHARI LUBIS (1953- ), penulis dan sarjana kesusasteraan bandingan sufi Inggeris-Arab-Parsi-Turki. Dia lahir pada 16 Ogos 1953 di Makkah. Dalam penulisan, dia menggunakan nama pena H.M. Bukhari Lubis, Rizi S.S. dan A.S. Bagindo. Muhammad Bukhari Lubis mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Temoh, Perak, kemudian menyambung pelajaran di Madrasah Tarbiyah Islamiyah, Sekolah Izzuddin Shah dan Kolej Islam Kelang sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Dia memperoleh Sarjana Muda Pengajian Islam dan Diploma Pendidikan dari UKM pada tahun 1977, ijazah Sarjana Perbandingan Sastera Arab-Parsi dari University of Chicago pada tahun 1980 dan ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Perbandingan Sastera Sufi Arab-Parsi-Turki dari University of California, Berkeley pada tahun 1989. Dia bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, UKM sejak tahun 1977. | SASTERA | Tokoh |