SENOI PRAAQ, satu pasukan bantuan dalam Pasukan Polis Hutan (PPH). Pasukan ini ditubuhkan pada tahun 1956 untuk menghadapi ancaman komunis terhadap masyarakat Orang Asli. Senoi Praaq bermakna Orang Perang atau Orang lawan Orang Asli. Sejarah penubuhan pasukan ini bermula pada masa Darurat (1948-1960), ketika komunis menghasut masyarakat Orang Asli supaya menyertai perjuangan mereka menentang kerajaan. Pengganas komunis telah memperalatkan Orang Asli untuk mendapatkan bekalan makanan dan memberikan maklumat tentang pergerakan pasukan keselamatan. Untuk menjaga kepentingan masyarakat Orang Asli, pihak British menubuhkan satu unit Praaq pada bulan Mei 1956. Pasukan tersebut diketuai oleh Lt. Kol. R.O.D. Noore, penasihat Orang Asli di Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA). Pasukan ini diberi latihan senjata api dan taktik berperang oleh Rejimen 22, Special Air Service (SAS). Kumpulan pertama pasukan ini terdiri daripada 40 orang yang dibahagikan kepada empat seksyen, iaitu 10 orang setiap seksyen. Sebahagian besar anggota terdiri daripada bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) yang kembali menyokong kerajaan.
Thanks for clicking. That felt good.