| TELUK BELANGA | TELUK BELANGA, petempatan Temenggung Abdul Rahman dan pengikutnya selepas British menduduki Singapura. Teluk Belanga terletak di bahagian barat Sungai Singapura. Kawasan ini juga dinamakan Kampung Bahru atau Kampung Temenggung. Teluk Belanga pada mulanya ialah kawasan paya bakau, tetapi ia menjadi projek pertama pembangunan semula bandar di Singapura pada 14 Mac 1823, apabila Temenggung Abdul Rahman dan pengikutnya ditempatkan di sana. Namanya mengambil sempena nama ‘belanga’ yang kelihatan muncul di perairannya ketika Temenggung Abdul Rahman dan pengikutnya berpindah ke sana. Selain itu, dikatakan adanya sebuah busung dalam bentuk ‘belanga’ di kawasan tersebut. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Bandar/Negeri/Negara/Tempat |
| PERBADANAN PEMBANGUNAN BANDAR (UDA) | Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) ialah badan berkanun di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan. Badan ini lebih dikenali sebagai UDA iaitu singkatan daripada Urban Development Authority. UDA berfungsi sebagai pelaksana dasar-dasar kerajaan bagi menyusun semula masyarakat selaras dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) melalui pembangunan dan penyusunan semula bandar. | UMUM | |
| UDA | UDA, agensi berkanun. UDA ialah singkatan Urban Development Authority (Perbadanan Pembangunan Bandar). Ia berperanan sebagai pelaksana dasar-dasar kerajaan bagi menyusun semula masyarakat selaras dengan Dasar Ekonomi Baru melalui pembangunan dan penyusunan semula bandar. UDA ditubuhkan pada 1 September 1971 di bawah Akta Perbadanan Pembangunan Bandar 1971. Akta ini mengandungi fungsi-fungsi utama UDA iaitu bagi memajukan dan melaksanakan projek-projek di kawasan pembangunan bandar bagi pembangunan, pembangunan semula dan penempatan semula. Ia juga bertujuan supaya peluang dalam bidang perdagangan, perusahaan, perumahan dan lain-lain dapat diagihkan dengan sama rata dan adil antara berbagai-bagai kaum. Melalui program tindakan pembangunan yang dijalankan oleh UDA, diharapkan akan dapat membentuk dan menyusun semula masyarakat melalui pembangunan bandar. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |
| GETAH (RISDA) | Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Getah (RISDA) ialah agensi berkanun yang bertanggungjawab terhadap rancangan penanaman semula getah. RISDA adalah singkatan Rubber Industry Smallholder’s Development Authority atau Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Getah. RISDA ditubuhkan pada 1 Januari 1973 di bawah Undang-undang Malaysia (85) 1972, Akta Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah. Sebelum itu, ia dikenali dengan nama Lembaga Perusahaan Tanam Semula Getah (LPTSG) yang terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Perusahaan Utama. Pada tahun 1978, RISDA diletakkan di bawah Kementerian Kemajuan Tanah dan Wilayah. Manakala pada tahun 1992, pentadbirannya diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar. | UMUM | |
| RISDA | RISDA, agensi berkanun. RISDA ialah singkatan Rubber Industry Smallholder’s Development Authority atau Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah. RISDA ditubuhkan pada 1 Januari 1973 di bawah Akta Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah 1972 Bilangan 85. Sebelum RISDA diwujudkan, pentadbiran pekebun-pekebun kecil getah dikelolakan oleh Lembaga Perusahaan Getah Tanam Semula (LPGTS) yang diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Perusahaan Utama, sehingga nama LPGTS ditukar kepada RISDA menjelang tahun 1973. Pada tahun 1978, RISDA diletakkan di bawah Kementerian Kemajuan Tanah dan Wilayah. Kemudian sekali lagi RISDA berpindah pentadbiran ke Kementerian Pembangunan Luar Bandar pada penghujung tahun 1992. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |