TBILISI | Tbilisi (pend. 1 140 000) ialah ibu negara Georgia. Georgia ialah sebuah republik dalam Kesatuan Soviet sehingga tahun 1991, apabila Georgia mengisytiharkan kemerdekaannya. Pada akhir tahun tersebut, Kesatuan Soviet telah runtuh. Nama Tbilisi bererti musim bunga yang panas dalam bahasa Georgia. Bandar ini dahulunya dikenal sebagai Tiflis , namanya dalam bahasa Rusia. Ia terletak di Sungai Kura di bahagian timur Georgia (lihat Georgia [peta]). Sebahagian bandar Tbilisi sudah moden dan sebahagian lagi kelihatan seperti kota Timur purba. Hasil keluaran Tbilisi meliputi bahan kapas, sakhlat, barangan kulit, jentera, hasil logam, dan minyak. Tbilisi ialah persimpangan rangkaian jalan raya dan landasan kereta api. | UMUM | |
SAND, GEORGE | Sand, George (1804–1876) ialah nama pena Amantine-Aurore-Lucile Dupin, seorang penulis wanita Perancis pada tahun 1800-an. Karyanya dikagumi oleh para penulis agung zamannya. Tulisan Sand sudah tidak lagi disukai selepas dia meninggal dunia dan dia dikenang hanya kerana cara hidupnya serta percintaannya yang mengejutkan dengan penggubah Frédérick Chopin dan penyair Alfred de Musset. Dia melanggar tatasusila sosial dengan menghisap cerut dan memakai pakaian lelaki. Semenjak gerakan wanita muncul pada pertengahan tahun 1900- an, karya Sand telah dijumpai semula dan dia menarik perhatian yang kritis sebagai novelis dan penulis autobiografi. | UMUM | |
KELANG | Kelang, bandar dan daerah di negeri Selangor. Sejarah perkembangan penempatan Kelang dapat dikesan pada abad ke-15 dan abad ke-16, iaitu pada zaman Kesultanan Melaka. Tun Perak dilantik sebagai penghulu untuk mentadbir Kelang. Meskipun begitu, Kelang telah ada seorang ketua tempatan yang dikenal dengan nama Tuk Engku Kelang, iaitu satu jawatan tradisi yang sudah pun ada sebelum kemunculan kuasa Bugis di Selangor. | UMUM | |
ANABAPTIS | Anabaptis merupakan bentuk sayap radikal Reformasi tahun 1500-an. Mereka percaya bahawa gereja merupakan perkumpulan manusia yang disatukan oleh kepercayaan, penyesalan, ketaatan, dan disiplin. Oleh itu, pembaptisan sebagai pembukaan kepada komuniti ini harus dibataskan kepada pengikut yang sudah cukup matang untuk memilih menjadi ahli. Orang menamakan mereka anabaptis ( pembaptis semula ) kerana mereka membaptis orang dewasa yang telah dibaptis semasa bayi. Anabaptis mengutuk penglibatan kerajaan dalam agama, yang akhirnya mencetuskan idea pemisahan gereja dan negeri. | UMUM | |
TUK LUKUS | TUK LUKUS, orang yang dianggap berwibawa, dihormati dan berpengaruh dalam masyarakat Iranun. Perkataan ‘lukus’ bererti tua atau sudah tua. Oleh itu telah menjadi satu tradisi dalam budaya Iranun, untuk menjadikan orang tua tempat mengadu dan menyelesai masalah yang timbul dari semasa ke semasa dalam masyarakat. Biasanya, masalah yang dirujuk kepada tuk lukus untuk penyelesaian adalah yang berkaitan dengan hukum adat, jenayah, pertengkaran suami isteri, pembahagian harta pusaka dan harta sepencarian dan sebagainya. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Jawatan/Gelaran |
SUNAN KALIJAGA | SUNAN KALIJAGA ( ? - ? ), ulama dan pendakwah Indonesia. Nama sebenarnya ialah Raden Said atau Saka Setia. Dia adalah anak Tumanggung Wilatika, Adipati Tuban. Datuknya, Aria Teja III, sudah memeluk agama Islam. Oleh sebab itu, dia telah menerima didikan Islam sejak kecil lagi. Malah masa remajanya banyak dihabiskan dengan menelaah kitab suci al-Qur’an serta mendalami ilmu agama. Sunan Kalijaga adalah salah seorang ahli Walisongo Tanah Jawa yang berusaha mengembangkan agama Islam di Jawa pada abad ke-15. Dia adalah ulama yang sezaman dengan Sunan Bonang dan Sunan Ampel yang kedua-duanya adalah gurunya. Dia juga pernah berguru kepada Syekh Sutabaris, seorang ulama di Palembang. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
ORANG TUA | ORANG TUA, gelaran kepada ketua kampung di Sabah dan Sarawak. Gelaran ini merujuk kepada orang yang telah dilantik sebagai pemimpin dan wakil kerajaan sesebuah kampung. Lazimnya orang yang dilantik oleh penduduk sesebuah kampung sebagai ‘orang tua’ ialah orang lelaki yang sudah berkahwin, arif tentang adat resam tempatan dan berasal daripada keluarga pemimpin. Sebagai satu konsep ‘orang tua’ membawa erti kebajiksanaan serta mempunyai pengetahuan yang luas dan mendalam tentang adat resam anak buah dan kampung lain. | BUDAYA | Jawatan/Gelaran |
TAMSIL | TAMSIL, bahasa kiasan yang memberikan perbandingan dengan jelas, dipersembahkan dalam ungkapan yang panjang dan mengandungi pengajaran. Tamsil mempunyai persamaan dengan bidalan, pepatah dan perumpamaan. Tamsil boleh diambil daripada peribahasa yang sudah terkenal, atau daripada ciptaan sendiri. Dalam beberapa contoh, tamsil lebih mendekati `kiasan asal’, tetapi telah diluaskan dengan kata-kata yang bernas, bersifat simbolik serta mengandungi fikiran yang bijaksana. | SASTERA | Konsep |
CIUNG WANARA | CIUNG WANARA, salah satu cerita pantun yang dianggap keramat oleh masyarakat Sunda, terutama daerah Galuh-Ciamis, di samping Lutung Kasarung dan Mundinglaya di Kusumah. Tidak ada seorang pun jurupantun yang berani mengisahkannya, kecuali mereka sudah ‘membersihkan diri’ dan memohon perkenan daripada nenek moyang mereka. Cerita pantun Ciung Wanara telah disusun kembali oleh Ajip Rosidi dan diterbitkan pada tahun 1972 oleh Pustaka Jaya, Indonesia. | SASTERA | Drama/Filem/Teater/Persembahan |
PERSATUAN BAHASA MELAYU | PERSATUAN BAHASA MELAYU, persatuan yang memperjuangkan status bahasa Melayu agar terus berkembang setaraf dengan bahasa maju di dunia. Kelahiran sesuatu persatuan bahasa Melayu di negara ini berkait rapat dengan sejajar pergerakan kebangsaan di kalangan orang Melayu. Golongan yang berpendidikan tinggi sudah mula merasakan bahawa kegemilangan bahasa Melayu yang selama ini menjadi lingua france telah mula menurun. Jika perkara ini dibiarkan berlanjutan mereka khuatir bahasa Melayu akan mengalami zaman kemerosotannya. Tempat bahasa Melayu akan diganti oleh bahasa-bahasa lain terutamanya bahasa Inggeris. Menyedari akibat buruk yang akan menimpa ini, maka lahirlah beberapa persatuan bahasa Melayu sejak tahun 1888 bagi memperjuangkan bahasa Melayu. | BAHASA | Persatuan |