TAMAN NEGARA BANFF | Taman Negara Banff, didirikan pada tahun 1855, merupakan taman negara tertua di Kanada. Pemandangannya yang menakjubkan telah menjadi daya tarikan pelancong yang paling popular di Kanada. Taman ini mempunyai banyak lembah yang dalam, glasier, tasik dan gunung yang diliputi ais. Ia terletak di bahagian timur Pergunungan Rocky di barat daya provinsi Alberta. | UMUM | |
TAMAN NEGARA KRUGER | Taman Negara Kruger di Afrika Selatan merupakan taman negara yang terbesar di dunia. Ia terletak di sebahagian provinsi utara dan sebahagian di Mpumalanga. Ia juga bersempadan Sungai Crocodile di selatan, Sungai Limpopo dan Luvuvhu di utara, Mozambique dan pergunungan Lebombo di timur dan kawasan selebihnya di provinsi utara dan Mpumalanga di barat. Panjang taman ini kira-kira 350 kilometer dan lebarnya 60 kilometer. Kawasannya seluas 19 455 kilometer persegi. | UMUM | |
TAMAN NEGARA | Taman negara ialah kawasan yang disimpan oleh kerajaan sesebuah negara untuk melindungi keindahan alam semula jadi, hidupan liar atau ciri-ciri luar biasa yang lain. Taman negara juga melindungi kawasan-kawasan yang penting dari segi budaya, sejarah, atau sains. Sesetengah taman melindungi keseluruhan persekitaran seperti terumbu karang, padang pasir, padang rumput, banjaran gunung, atau hutan hujan. | UMUM | |
TAMAN NEGARA CARLSBAD CAVERNS | Taman Negara Carlsbad Caverns, di tenggara New Mexico, Amerika Syarikat terkenal kerana terdapat banyak gegua atau gua. Gegua yang paling besar ialah gua carlsbad Caverns. Gegua ini merupakan salah sebuah gegua bawah tanah yang terbesar di dunia. Dalam ruang gegua ini, stalaktit dan stalagmit terbentuk menyerupai kuil Cina, tiang besar, dan isikel seperti renda (lihat Stalagmit; Stalaktit ). Satu ruang besar yang dikenali sebagai Big Room, panjangnya 500 meter dan lebarnya 335 meter. Di satu tempat, tinggi silingnya 78 meter. Haiwan seperti musang, gopher , jack rabbit , mule deer , dan ular orok-orok terdapat di taman ini. Taman Negara ini dibina pada tahun 1930. Untuk mengetahui keluasannya, lihat Taman negara. | UMUM | |
TAMAN NEGARA YELLOWSTONE | Taman Negara Yellowstone di Wyoming, Amerika Syarikat ialah taman negara yang tertua di dunia. Taman ini terkenal kerana terdapat banyak keajaiban semula jadinya. Taman ini mempunyai lebih banyak geiser dan kolam air panas daripada mana-mana tempat di dunia. Antara tarikan pemandangan yang menakjubkan di Yellowstone ialah ngarai yang dalam, air terjun yang menderam, tasik yang berkilauan, dan kawasan rimba yang sentiasa menghijau, saujana mata memandang, yang diselang-seli dengan padang rumput yang luas. Taman ini meliputi kawasan seluas 900 000 hektar. Yellowstone juga ialah hutan simpan hidupan yang terbesar di Amerika Syarikat. Beruang, rusa, dan kerbau liar, bebas merayau-rayau di taman itu, helang botak, angsa, dan burung undan putih bersarang di sana. | UMUM | |
TAMAN NEGARA BRYCE CANYON | Taman Negara Bryce Canyon, yang terletak di selatan Utah, Amerika Syarikat, merupakan salah satu kawasan di dunia yang mengandungi batuan yang berbentuk aneh dan warna yang cantik. Ia meliputi 14 500 hektar wilayah Grand Canyon di Dataran Tinggi Colorado. Namanya adalah sempena nama Ebenezer Bryce, perintis yang menetap di wilayah ini pada tahun 1875. | UMUM | |
TAMAN NEGARA KAKADU | Taman Negara Kakadu terletak antara Sungai Alligator Selatan dengan Sungai Alligator Timur di Wilayah Utara, Australia. Taman ini berada 220 kilometer di timur Darwin dan mempunyai keluasan 6000 kilometer persegi. | UMUM | |
TAMAN NEGARA GRAND CANYON | Taman Negara Grand Canyon, di Amerika Syarikat, meliputi sebahagian besar Grand Canyon, sebuah daripada ngarai yang paling hebat di dunia. Sungai Colorado mengalir melalui ngarai yang terbentang seluas 446 kilometer di barat laut Arizona. Sebahagian daripada ngarai tersebut sedalam 1.5 kilometer dan 29 kilometer lebar. Taman ini juga meliputi bukit yang curam dan puncak menara batu yang tinggi. | UMUM | |
TAMAN NEGARA YOSEMITE | Taman Negara Yosemite ialah kawasan tanah gersang yang luas di bahagian tengah-timur California, Amerika Syarikat. Taman ini terletak di pergunungan Sierra Nevada, kira-kira 320 kilometer di timur San Francisco. Terdapat kira-kira 1100 kilometer jalan denai yang kebanyakannya menuju ke “High Sierra”, iaitu kawasan tasik yang airnya berkilauan, penuh dengan jeram berarus deras, dan dikelilingi oleh puncak gunung yang berceranggah. Muzium Yosemite yang terletak di dalam taman ini mempamerkan koleksi Orang Asli Amerika dan hidupan liar di kawasan ini. | UMUM | |
TAMAN NEGARA MESA VERDE | Taman Negara Mesa Verde ialah satu kawasan taman di Amerika Syarikat. Ratusan tahun dahulu, Orang Asli Amerika membina tempat tinggal di tebing kawasan penara tinggi di sepanjang tembok ngarai, yang merupakan sebahagian daripada dataran tinggi terbesar di barat daya Colorado, Amerika Syarikat. Sebahagian daripada kawasan petempatan cenuram masih lagi wujud sehingga kini. Pada tahun 1906, Kongres Amerika Syarikat telah memperuntukkan kawasan ini sebagai taman negara. Taman ini dinamakan Mesa Verde (perkataan Sepanyol bererti meja hijau ), kerana ia dipenuhi oleh hutan pokok juniper dan pokok pain piñon. | UMUM | |