S.O.K. Ubaidullah, Tan Sri (1918- ) ialah tokoh Maal Hijrah 1989 dan Pengerusi Tetap Malaysian Indian Congress (MIC) semenjak 1 Januari 1994. Dia juga dikenali sebagai ahli perniagaan, pendakwah, dermawan, penulis, ahli akademik, dan ahli politik. S.O.K. Ubaidullah berhijrah ke Tanah Melayu pada tahun 1938 sewaktu berusia 20 tahun. Ketika itu dia baru sahaja menamatkan pengajian di Universiti Madras, India. Dia bekerja dengan abang iparnya dari tahun 1939 hingga tahun 1949. Keluarganya tinggal di Sungai Ujong, Negeri Sembilan (kini kawasan tersebut dikenali sebagai Seremban), dan mengambil kontrak memberi perkhidmatan lampu pada waktu malam di bandar tersebut. Kemudian pada penghujung tahun 1949, dia berpindah ke Kuala Lumpur dan membuka cawangan perniagaan keluarganya di bandar tersebut dan memberi perkhidmatan yang sama di sepanjang Jalan Tun Perak (dahulu dikenali sebagai Jalan Mountbatten dan sebelumnya dikenali sebagai Java Street). |