SULTAN MAHMUD SYAH | SULTAN MAHMUD SYAH ( ? – 1773), Sultan Perak yang ke-16 (1765-1773). Nama sebenar baginda ialah Raja Kimas. Baginda adalah putera Sultan Mahmud dan adinda Sultan Iskandar Zulkarnain. Baginda dilantik sebagai Raja Muda antara tahun 1752 hingga tahun 1765. Raja Kimas ditabal sebagai Sultan Perak pada 20 Julai 1765 setelah kemangkatan Sultan Iskandar dengan memakai gelaran Sultan Mahmud Syah. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
TUNKU KUDIN | TUNKU KUDIN ( ? -1905), pentadbir dan pemimpin di Selangor. Nama sebenarnya ialah Tunku Thiauddin atau Dhiauddin, putera Sultan Zainal Rashid dan adinda Sultan Ahmad Tajuddin. Ketokohannya menonjol selepas berkahwin dengan Tunku Arfah (Tunku Chik) puteri Sultan Abdul Samad, pada tahun 1868. Selepas perkahwinan itu, Sultan Abdul Samad melantiknya sebagai wizurai, atau wakil raja Selangor memandangkan kebolehan dan kecekapan kepimpinan serta latar belakang pendidikan Inggerisnya. Sebagai wizurai dia diberi kuasa mentadbir Selangor bagi pihak Sultan Abdul Samad. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
SULTAN HUSIN SYAH | SULTAN HUSIN SYAH ( ? -1835), Sultan Johor-Singapura (1819-1835) dan putera sulung Sultan Mahmud Syah Johor. Nama sebenar baginda ialah Tengku Long Husin. Pada tahun 1803, baginda berkahwin dengan Raja Bulang, anak Engku Muda Muhammad. Ketika ayahandanya Sultan Mahmud Syah mangkat di Lingga pada tahun 1812, Tengku Long Husin berada di Pahang kerana berkahwin dengan Wan Esah, adik Bendahara Wan Ali. Dengan desakan Yamtuan Muda Raja Jaafar, adinda Tengku Long Husin, Tengku Abdul Rahman, dilantik sebagai pengganti. Pelantikan ini tidak disetujui oleh Raja Hamidah (Engku Puteri), balu Sultan Mahmud Syah dan Bendahara Wan Ali. Namun pertempuran tidak berlaku antara kedua-dua pihak. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
RAJA ALI HAJI | RAJA ALI HAJI (1809-1871/72), penulis dan cendekiawan Melayu Riau, Indonesia. Nama sebenarnya ialah Raja Ali bin Raja Haji Ahmad. Dia lahir di Pulau Penyengat, Riau, Indonesia. Raja Ali Haji adalah daripada keturunan Daeng Bugis. Ayahandanya, Raja Ahmad (Engku Haji Tua), adalah adinda Raja Jaafar, Yang Dipertuan Muda Riau yang keenam (1805-1834). Dia dan keluarganya berpindah ke Pulau Penyengat. Dia digelar Engku Tua kerana jasanya kepada Raja Jaafar. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
SULTAN ABDUL HAMID HALIM SYAH | SULTAN ABDUL HAMID HALIM SYAH (1864 – 1943), Sultan Kedah yang ke-25 (1882 - 1943). Baginda diputerakan pada 4 Jun 1864. Baginda adalah putera Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Syah dengan isteri pertama baginda, Wan Hajar (lebih dikenal dengan gelaran Kadam Wan Besar). Walaupun Tengku Abdul Hamid adalah putera sulung, tetapi baginda mempunyai dua orang adinda yakni Tengku Zainal Rashid dan Tengku Kassim, putera ayahanda baginda dengan isteri keduanya, Wan Jah. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
SULTAN ABDUL GHAFUR | SULTAN ABDUL GHAFUR (? – 1614), Sultan Pahang yang ke-12 berketurunan Sultan Melaka. Baginda adalah putera Sultan Abdul Kadir ibni Sultan Zainal Abidin. Baginda menggantikan adindanya, Sultan Ahmad sebagai Sultan Pahang dengan memakai gelaran Sultan Abdul Ghafur Muhiyuddin Syah. Baginda berkahwin dengan Raja Ungu, adinda Raja Patani, dan baginda juga berkahwin dengan kerabat di raja Brunei. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
SULTAN ABDUL JALIL RIAYAT SYAH IV | SULTAN ABDUL JALIL RIAYAT SYAH IV (? – 1721), Sultan Johor-Riau-Lingga-Pahang (1699 – 1718). Nama sebenarnya ialah Tun Abdul Jalil. Baginda menjadi bendahara dengan gelaran Bendahara Paduka Raja Johor semasa pemerintahan Sultan Mahmud Syah II (1685 – 1699). Sultan Mahmud mangkat dibunuh oleh Megat Seri Rama pada tahun 1699 tanpa meninggalkan zuriat. Justeru itu, Bendahara Tun Abdul Jalil melantik dirinya sebagai Sultan Johor dan memakai gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV. Adinda baginda, Tun Mahmud, dilantik sebagai Raja Muda dan Tun Mas Anom sebagai Bendahara Seri Maharaja. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |