KELENJAR ADRENAL | Kelenjar adrenal ialah organ kecil dalam badan yang merembeskan banyak hormon penting. Terdapat dua kelenjar adrenal di dalam badan, satu di atas setiap ginjal. Adrenal, yang juga dikenali sebagai suprarenal, mempunyai garis pusat kira-kira lima sentimeter setiap satu. Setiap kelenjar adrenal terdiri daripada medula (teras dalam) dan korteks (lapisan luar). | UMUM | |
ADRENALIN | Adrenalin ialah hormon yang dirembes oleh kelenjar adrenal. Ia juga dikenali sebagai epinefrina. Adrenalin membantu badan menyesuaikan diri dengan tekanan yang tiba-tiba. Apabila seseorang menjadi marah atau takut, kelenjar adrenal melepaskan adrenalin ke dalam darah. Hormon ini menyebabkan perubahan dalam badan untuk menjadikannya lebih cekap untuk “berlawan atau lari”. Contohnya, adrenalin meningkatkan kekuatan dan kadar denyutan jantung dan menaikkan tekanan darah. Ia juga mencepatkan penukaran glikogen kepada glukos yang memberikan tenaga kepada otot. | UMUM | |
KORTISON | Kortison adalah satu daripada kumpulan penting hormon yang dihasilkan dalam korteks (bahagian luar) kelenjar adrenal. | UMUM | |
PROGESTERON | Progesteron ialah hormon yang dikeluarkan terutamanya oleh ovari dan plasenta pada haiwan betina dalam tempoh haiwan ini boleh melahirkan anak. Sejumlah kecil hormon ini juga dikeluarkan oleh kelenjar adrenal pada kedua-dua haiwan jantan dan betina, dan oleh testes pada haiwan jantan. | UMUM | |
TESTOSTERON | Testosteron ialah satu kumpulan hormon yang merangsangkan perkembangan jantina lelaki. Hormon ini dikenali sebagai androgen, dikeluarkan terutama sekali oleh testikel, sepasang kelenjar seks lelaki (lihat Testikel ). Ovari wanita dan kelenjar adrenal dalam kedua-dua jantina juga mengeluarkan sedikit hormon testosteron dan androgen. | UMUM | |
ACTH | ACTH ialah kependekan bagi bahan kimia adrenocorticotrophic hormone (hormon adrenokortikotrofik). Hormon ini dihasilkan, disimpan dan dilepaskan ke dalam darah oleh kelenjar pituitari, organ sebesar kacang pis yang terletak di pangkal otak. ACTH diperlukan untuk pertumbuhan dan fungsi yang normal bagi kelenjar adrenal, dua organ yang terletak di atas ginjal. ACTH merangsang kelenjar adrenal untuk mengeluarkan pelbagai hormon, termasuk kumpulan yang dikenali sebagai glukokortikoid. Glukokortikoid mengawal penggunaan makanan yang dihadam dan membantu badan menyesuaikan diri dengan tekanan. | UMUM | |
ADDISON, THOMAS | Addison, Thomas (1793–1860) ialah doktor British yang terkenal kerana pemeriannya tentang penyakit Addison. Addison melaporkan dalam satu kertas penyelidikan pada tahun 1855, bahawa dalam keadaan penyakit ini, kulit menjadi kuning tembaga berserta kelenjar adrenal yang berpenyakit. Dia juga memerikan anemia Addison, yang kini dikenali sebagai anemia pernisius (lihat Anemia ). Semasa hayatnya, reputasi Addison terletak pada kebolehannya yang terkemuka sebagai doktor dan guru. Ketelitiannya melakukan pemeriksaan pada pesakit dan ketepatan diagnosisnya menjadi terkenal. | UMUM | |
ABDOMEN | Abdomen ialah rongga badan di antara toraks (dada) dengan rongga pelvik. Dinding otot yang kuat, dikenali sebagai diafram, memisahkan abdomen dari toraks. Tetapi tidak ada struktur yang memisahkan abdomen dari rongga pelvik. Organ abdomen terdiri daripada perut, hati, pankreas, usus, ginjal, kelenjar adrenal dan limpa. Membran nipis yang dikenali sebagai peritoneum melapisi seluruh rongga abdomen dan melitupi kebanyakan organ abdomen. | UMUM | |
STEROID | Steroid ialah sebarang kelas sebatian kimia yang penting dalam bidang kimia, biologi, dan perubatan. Steroid memainkan peranan yang utama dalam proses tubuh benda hidup. Steroid dihasilkan secara semula jadi oleh tumbuh-tumbuhan dan haiwan dan juga secara komersial. Jenis steroid termasuk sterol, seperti kolesterol; asid hempedu daripada hati; hormon adrenal; hormon seks; dan racun di dalam kodok tertentu. (lihat Hati; Kolesterol). | UMUM | |