Khat Arab ialah seni penulisan kaligrafi Arab. Ia  banyak dibantu oleh keunikan struktur bahasa Arab  yang agak fleksibel, lembut, boleh dipanjangkan  dan dipendekkan, boleh dipusingkan, boleh ditulis  secara berasingan, bahkan boleh disambungkan,  digabungkan dan disusun. Keadaan sedemikian  menjadikan khat Arab sebagai satu seni yang indah  dan bersesuaian dengan sebarang perubahan  dan perkembangan. Jadi, satu hubungan yang  kuat terbentuk antara setiap jenis khat dengan  bahan yang digunakan untuk penulisannya. Khat  Arab agak lembut, sesuai dengan keindahan  dan keseniannya. Kita juga dapat melihat ia  agak kukuh dan mempunyai keseimbangan,  dengan mengambil sepenuhnya ruang yang luas  di segenap sudutnya. Kita melihat kekukuhan  dan kelembutan, sering bertukar ganti dan  berkesinambungan dalam penulisan khat ini. Pada  setiap keadaan, ia akan melekakan pemerhatinya  dengan keindahannya yang unik serta keistimewaan  bentuknya yang unggul dan menawan. Keadaan  ini menempatkannya di kedudukan yang istimewa  dalam bidang seni reka bentuk.  Khat Arab bergantung pada seni dan keindahan  berdasarkan kaedah tersendiri, hasil kesesuaian  antara khat, titik dan bentuk bulat. Corak  penampilan unsur khat ini digunakan secara seni,  seperti seni reka bentuk yang lain. Contohnya,  khat dan susunannya tidak memberi makna dari  sudut luaran sahaja, tetapi ia juga memberi makna  keindahan yang lahir daripada corak unik yang  memberikannya satu bentuk keindahan. Pada masa  yang sama, bentuk keindahan ini terpisah daripada  unsur-unsur khat dan bersambung dengan corak-coraknya  yang unik.  |