NEGERI | NEGERI , sebuah masyarakat yang agak besar dengan seorang ketua atau raja yang mendiami satu kawasan lembahan sungai dengan pusatnya di muara sungai berkenaan. Muara sungai itu turut menjadi pusat perdagangan. Negeri adalah istilah bahasa sanskrit. Sesebuah negeri hanya boleh wujud apabila terdapat seorang ketua atau raja yang mempunyai kuasa atau pengaruh tertentu ke atas rakyat yang berada di wilayahnya. Dalam kegunaan sehari-hari, istilah negeri digunakan secara agak longgar yang bermaksud sebuah petempatan termasuk bandar atau kota, dan juga sebuah wilayah tanah air (misalnya, negeri China). | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Konsep |
MERANTI | Meranti ialah sejenis pokok hutan yang tinggi, besar, berdaun tunggal dan agak kecil, tetapi bahagian hujungnya, biasanya kembang, dan batang bawahnya berbanir. Kayu meranti digunakan untuk membuat rumah dan bangunan. Manakala sesetengah jenis meranti pula dapat menghasilkan damar dan tengkawang. | UMUM | |
AVOIRDUPOIS | Avoirdupois ialah sistem timbangan untuk barang dagangan biasa yang agak besar, seperti batu arang, bijirin, atau bahan makanan. Sistem ini telah digunakan di Komanwel British dan Amerika Utara, tetapi sebahagian besarnya telah digantikan dengan sistem metrik. Perkataan avoirdupois berasal dari perkataan Perancis bermakna barang-barang berat . Asas sistem ini ialah paun, yang bersamaan dengan 0.45 kilogram. Satu paun avoirdupois mengandungi 7000 grain. Ia dibahagikan kepada 16 auns, setiap auns bersamaan dengan 16 dram. Paun Troy dan apotekari, digunakan untuk menimbang logam berharga dan permata, yang bersamaan dengan 0.37 kilogram, dan mengandungi 5760 grain. Paun ini dibahagikan kepada 12 auns. Dalam sistem yang menggunakan paun, berat grain adalah sama – 65 miligram. Rencana berkaitan dalam Ensiklopedia Dunia termasuk: Auns Paun Berat Timbangan dan ukuran | UMUM | |
MUZIK POPULAR | Muzik popular ialah muzik yang mendapat tempat di hati orang ramai iaitu muzik yang dinikmati oleh sebilangan besar penduduk. Istilah ini sering digunakan untuk membezakannya daripada muzik klasik. Muzik klasik adalah satu bentuk seni yang dipelajari, dan ciptaan yang agak rumit dipersembahkan oleh pemain instrumental solo, kuartet bertali, orkestra simfoni, dan sebagainya. Sesetengah orang merasakan bahawa muzik popular mudah dan menghiburkan sementara muzik klasik pula serius, begitu halus, atau sukar dinikmati. Walau bagaimanapun lagu popular seperti “Eleanor Rigby” oleh John Lennon dan Paul McCartney, adalah serius dan agak rumit, dan banyak karya klasik seperti Eine Kleine Nachtmusik karya Mozart, simfoni-simfoni Tchaikovsky, atau Bolero karya Ravel dikenali dan digemari oleh berjuta-juta pendengar. Malah sesetengah muzik klasik seperti beberapa karya piano Chopin telah diadaptasikan sebagai lagu popular. | UMUM | |
PANDA | Panda ialah nama dua jenis haiwan Asia. Kedua- duanya agak tidak serupa dengan satu sama lain. Panda raksasa ialah haiwan yang besar dan berwarna hitam-putih. Panda Merah yang juga dikenali sebagai panda kecil berwarna perang kemerahan dan lebih kecil. Kedua-duanya hidup dalam hutan buluh di cerun tinggi gunung di barat dan di barat daya China. Panda merah juga tinggal di Nepal, utara India, dan utara Burma. Panda raksasa ialah haiwan nadir dan dilindungi oleh undang- undang di China. Tabung Antarabangsa bagi Alam Semula Jadi (dahulunya Tabung Hidupan Liar Dunia), sebuah pertubuhan antarabangsa bagi perlindungan hidupan liar telah menerima pakai panda raksasa sebagai simbolnya. | UMUM | |
MUTIARA | Mutiara ialah satu daripada permata yang paling berharga. Mutiara yang besar, berbentuk sempurna setara nilainya dengan batu permata yang paling berharga. Tetapi, mutiara berbeza daripada permata-permata lain. Kebanyakan permata adalah mineral yang dilombong dari bawah bumi. Tetapi mutiara terbentuk di dalam cangkerang tiram. Permata mineral adalah keras dan biasanya memantulkan cahaya. Bagaimanapun, mutiara adalah agak lembut dan menyerap serta memantulkan cahaya. | UMUM | |
PULAU KARIMUN | PULAU KARIMUN, kepulauan di dalam kerajaan Johor-Riau pada abad ke-19. kepulauan ini terletak di Selatan Selat Melaka. Kepulauan Karimun iaitu Karimun Besar dan Karimun Kecil merupakan sebahagian daripada beberapa buah pulau besar dan pulau kecil. Pantai utara Pulau Karimun Besar jelas menganjur ke laut, manakala pantai barat dan selatan dikelilingi batu dan batu karang. Bahagian utara pulau agak bergunung-ganang dengan Gunung Jantan merupakan kemuncak tertinggi. Tanah-tanih di Pulau Karimun Kecil terdiri daripada granit, pasir dan tanah liat, tetapi subur. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Bandar/Negeri/Negara/Tempat |
SALIM III | Salim III (1175–1223 H./1761–1808 M.), putera Sultan Mustapha III ibn Sultan Ahmad III. Baginda merupakan sultan ke-28 dalam salasilah Kesultanan Kerajaan Uthmaniyyah. Salim III menduduki takhta menggantikan bapa saudaranya Sultan Abdul Hamid I pada tahun 1203 H./1789 M. Sewaktu mengambil alih tampuk pemerintahan, keadaan negara agak huru-hara sehingga Rusia dan Austria menguasai kerajaan Uthmaniyyah sebanyak dua kali, iaitu sekitar tahun 1203 H./1789 M. Rusia juga menguasai bandar al-Hasinah yang terletak di tepi laut dan sebahagian besar negeri Aflaq, Baghdan (Molavia) dan Busarabia pada tahun 1205 H./1791 M. Persengketaan itu berakhir dengan perdamaian antara kedua-dua negara tersebut pada tahun 1206 H./1796 M. Akhirnya Rusia berkuasa di negeri al-Qaram dan sebahagian negeri Quban, Busarabia dan beberapa negeri lain. Bandar Otshakov juga diserahkan melalui Perjanjian Yash. | UMUM | |