KESATUAN ANTARA-PARLIMEN | Kesatuan Antara-Parlimen ialah sebuah organisasi yang terdiri daripada ahli parlimen di seluruh dunia. Objektifnya adalah untuk menggalakkan institusi perwakilan dan bekerja bagi keamanan dan kerjasama antarabangsa. | UMUM | |
SUZMAN, HELEN | Suzman, Helen (1917– ) ialah ahli politik wanita yang paling terkenal di Afrika Selatan. Dia berkhidmat selama 36 tahun sebagai ahli parlimen kawasan Houghton, dan menjadi terkenal di seluruh dunia kerana pendiriannya yang kuat menentang dasar aparteid. Lihat Aparteid. | UMUM | |
OGLETHORPE, JAMES EDWARD | Oglethorpe, James Edward (1696 –1785), orang Inggeris, merupakan pengasas tanah jajahan Georgia Amerika. Dia lahir di London dan mendapat pendidikan di Oxford University. Dia memasuki tentera British semasa berusia 14 tahun. Dia dipilih menjadi ahli Parlimen pada tahun 1722. Di sana, dia mula memberi perhatian kepada orang yang telah dipenjarakan kerana tidak melunaskan hutang mereka. Oglethorpe berharap dapat membantu mereka dengan menubuhkan sebuah tanah jajahan Amerika bagi penghutang ini. Pada tahun 1732, dia dan sekumpulan bersekutu menerima piagam daripada George II bagi tanah jajahan tersebut, yang bakal ditubuhkan di wilayah di antara Sungai Savannah dengan Sungai Altamaha. | UMUM | |
MOSLEY, SIR OSWALD | Mosley, Sir Oswald (1896–1980), menubuhkan Kesatuan Fasis British pada tahun 1930-an. Dia dan pengikutnya yang berbaju hitam terlibat dalam rusuhan terutamanya di kawasan East End, London. Dalam Perang Dunia II (1939–1945), Mosley ditahan kerana pandangannya yang pro- Jerman. Kemudian, dia cuba menghidupkan semula fahaman fasis di United Kingdom. Mosley lahir di London. Dia dipilih menjadi ahli parlimen Parti Konservatif bagi kawasan Harrow pada tahun 1918. Pada tahun 1926, dia dipilih pula sebagai ahli parlimen Parti Buruh untuk kawasan Smethwick. Dia bersara pada tahun 1930 dan menubuhkan partinya sendiri. | UMUM | |
ABRAHAM, WILLIAM | Abraham, William (1842–1922), tokoh politik dan pemimpin kesatuan sekerja dari Wales. Dia lahir di Cwmavon, Gwent, dan mula bekerja sebagai pekerja lombong semasa berusia sembilan tahun. Pada tahun 1871, dia menjadi wakil para pekerja lombong dan berusaha beberapa tahun untuk memperbaik kesatuan pekerja lombong. Sebagai wakil ahli radikal Parti Liberal, dia dilantik menjadi ahli parlimen pada tahun 1885. Abraham menyertai Parti Buruh selepas pertubuhan kebangsaan pekerja lombong bergabung dengan Parti Buruh pada tahun 1909. Dia kekal sebagai ahli parlimen sehingga tahun 1920. Abraham terkenal sebagai pemidato dan mengambil bahagian dalam pesta sastera budaya Wales yang dikenali sebagai eisteddfods. Dia terkenal di Wales dengan nama Mabon sempena kegiatannya dalam pesta eisteddfods. | UMUM | |
PARLIMEN RUMP | Parlimen Rump ialah nama yang diberikan kepada Parlimen Inggeris semasa perang saudara yang berlaku pada pertengahan tahun 1600-an. Ia mempunyai kurang daripada suku bilangan ahlinya. Ahli parlimen lain telah dikeluarkan daripada Parlimen oleh pasukan tentera di bawah pimpinan Puritan, Oliver Cromwell. | UMUM | |
SMITH, JAMES | Smith, James (1827–1897), yang dikenali sebagai Smith Ahli Falsafah, menjumpai lombong yang kaya dengan timah di Gunung Bischoff di negara pulau Australia, iaitu Tasmania pada tahun 1871. Dia menubuhkan Mount Biscnoff Tin Mining Company Bischoff pada tahun 1873. Dia menjadi ahli parlimen dari tahun 1886 hingga tahun 1888 sebelum bersara untuk berladang di Forth. Smith lahir di George Town, Tasmania dan bekerja sebagai perantis pengilang tepung dan mencari gali emas di Victoria. | UMUM | |
SOAMES, LORD | Soames, Lord (1920 –1987) ialah tokoh politik Konservatif Inggeris yang memegang jawatan sebagai presiden majlis bandaran dari tahun 1979 hingga tahun 1981. Pada tahun 1979 dan tahun 1980 dia memangku jawatan Gabenor Zimbabwe semasa negara tersebut melalui tempoh peralihan mendapat kemerdekaan yang sah. Soames mendapat pendidikan di Eton College dan Royal Military College, Sandhurst. Pada tahun 1950, dia menjadi ahli parlimen dan memegang jawatan kanan dalam kerajaan dari tahun 1958 hingga tahun 1964. Dia dilantik sebagai duta ke Perancis dari tahun 1968 hingga tahun 1972. Soames ialah Pesuruhjaya Kesatuan Eropah dari tahun 1973 hingga tahun 1977. | UMUM | |
SENIMAN | SENIMAN, persatuan untuk para seniman dan seniwati di Malaysia. SENIMAN ialah singkatan Persatuan Seniman Malaysia. Persatuan ini telah ditubuhkan pada tahun 1974 hasil usaha bersama Haji Idris Ibrahim, Ahli Parlimen Setapak, Zainuddin Zimbo dan beberapa orang seniman dan seniwati yang terlibat dengan Merdeka Studio di Hulu Kelang, Selangor. SENIMAN adalah sebagai ganti Persatuan Artis-Artis Malaya (PERSAMA) yang pernah dipimpin oleh P. Ramlee di studio Jalan Ampas, Singapura pada tahun 1960-an. PERSAMA dibubar bersama-sama Studio Malay Film Productions jalan Ampas yang ditutup pada 15 September 1967. | BUDAYA | Institusi/Organisasi |
PARLIMEN | Parlimen ialah badan penggubal undang- undang nasional bagi negara Australia, Kanada, Jepun, United Kingdom (UK), dan negara demokratik yang lain. Sesetengah Parlimen terdiri daripada wakil-wakil yang dipilih keseluruhannya, manakala sesetengah Parlimen mempunyai ahli yang dipilih dan dilantik atau ahli melalui keturunan. | UMUM | |