TELUK | Teluk ialah sebahagian daripada laut, tasik, atau kumpulan air yang sama yang membentuk satu lekuk di garis pesisir dan disempadani oleh tanjung atau tanjung tinggi. Teluk biasanya terjadi apabila paras air bagi sesuatu kumpulan air naik melebihi paras tanah yang bersebelahan dan menenggelamkannya. | UMUM | |
AIR PANCUT | Air pancut ialah satu arus air yang naik memancut secara semula jadi atau tiruan hasil daripada tekanan. | UMUM | |
TELAGA ARTOIS | Telaga artois ialah telaga yang menyadap air dalam tanah yang berada di bawah tekanan. Air ini naik ke permukaan tanpa bantuan pam jika tekanan yang cukup wujud. Istilah telaga artois juga merujuk kepada sebarang air telaga yang sangat dalam. Kebanyakan telaga artois menyadap selapisan bahan poros yang penuh dengan air bawah tanah. Lapisan ini, dikenali sebagai akuifer , mungkin terletak di antara dua lapisan tanah liat atau bahan-bahan lain yang tidak menyimpan air. Akuifer itu mungkin senget, dan oleh itu, ia menyerap air pada sebelah hujungnya yang di atas. Air ini menyerap turun ke dalam akuifer dan membekalkan air bawah tanah. Telaga artois mengalir secara semula jadi disebabkan oleh tekanan yang dikenakan pada air di dalam akuifer oleh air yang masih berada di hujung atas akuifer. | UMUM | |
PASANG SURUT | Pasang surut ialah turun naik paras air di kawasan perairan yang luas mengikut jadual masa yang tetap. Pasang surut mengawal kehidupan orang yang tinggal di sepanjang kawasan pantai dunia. Pasang surut juga penting bagi kanak-kanak yang berenang di tepi pantai. Kanak-kanak akan berenang semasa air sedang pasang dan mencari kepah di pantai semasa air sedang surut. Pasang surut air juga menandakan waktu bermula atau berakhirnya bagi nelayan menangkap ikan kerana nelayan memerlukan air pasang untuk keluar atau masuk pelabuhan. | UMUM | |
TAUFAN AIR | Taufan air ialah sejenis puting beliung yang berlaku di atas permukaan tasik atau lautan. Taufan air bermula apabila satu pusat tekanan udara rendah terjadi, menyebabkan angin berpusar. Awan tebal, hitam dan berputar-putar terbentuk, dengan satu gumpalan udara yang berputar-putar mengunjur di bawah awan ke permukaan air. Gumpalan udara ini menjadi kelihatan apabila wap air dalam atmosfera memeluwap dalam gumpalan itu dan air di permukaan disedut naik daripada dasar gumpalan itu. | UMUM | |
TASIK NASSER | Tasik Nasser, terbentuk apabila air Sungai Nil disekat oleh Empangan Tinggi Aswan di Mesir. Tasik ini dinamakan sempena nama presiden Mesir, Gamal Abdel Nasser. Empangan yang mula beroperasi pada tahun 1968 itu terletak 684 kilometer ke selatan Kaherah. Tasik tersebut dipenuhi air sepenuhnya pada tahun 1981. Tasik Nasser meliputi kira-kira 4014 kilometer persegi. Air dari tasik tersebut digunakan untuk mengairi tanah ketika kekurangan air dan untuk menjana kuasa hidroelektrik. Kuil Abu Simbel yang dibina oleh firaun Ramses II, dipotong dari cenuram di sepanjang Sungai Nil dan dialihkan ke tanah yang lebih tinggi bagi mengelak daripada air yang naik (lihat Kuil Abu Simbel ). Lihat juga Empangan Tinggi Aswan. | UMUM | |
SERBUK PENAIK | Serbuk penaik ialah serbuk putih yang digunakan untuk menjadikan kek dan biskut naik . Tukang masak menambahkannya kepada adunan tepung sebelum membakarnya. Bahan kimia dalam serbuk penaik bertindak balas dengan udara dan cecair (biasanya air atau susu) untuk membentuk gas karbon dioksida. Gelembung karbon dioksida terperangkap dalam adunan tepung. Gelembung ini mengembang apabila ia dipanaskan dan menjadikan adunan naik. | UMUM | |
TEAL | Teal ialah nama bagi kira-kira 15 spesies itik kecil yang suka bermain di air. Teal memakan tumbuhan akuatik dan biji-bijian dengan memilihnya melalui perbuatan mengunggis dengan paruhnya. Ia juga boleh terbalik untuk makan. Teal membiak di kolam dan tasik air tawar yang cetek yang disempadani tumbuhan yang tebal. Ia terbang laju dengan kibasan sayapnya yang cepat, dan apabila ia cemas ia boleh naik secara menegak dari permukaan air. Kebanyakan teal mempunyai bulu keperangan yang diselangi dengan tanda berwarna cerah dan gelap. | UMUM | |
TEGANGAN PERMUKAAN | Tegangan permukaan ialah daya yang menyebabkan permukaan cecair berkelakuan dengan cara tertentu. Ia menyebabkan cecair berkelakuan seolah-olah sebagai tipisan nipis, anjal meliputi permukaannya. Misalnya, permukaan air boleh menyokong jarum atau bilah pisau cukur jika ia diletakkan di atasnya dengan teliti. Tegangan permukaan juga menyebabkan cecair naik dalam tiub halus apabila tiub ini dicelupkan ke dalam cecair. Tindakan ini dikenali sebagai kererambutan. | UMUM | |
SUP SARANG BURUNG | Sup sarang burung ialah makanan orang Cina yang terkenal. Sup luar biasa ini dibuat daripada sarang burung swiflet, iaitu burung tertentu di Asia Tenggara yang tergolong dalam famili burung layang-layang. Sarang burung ini dikukuhkan dengan air liur yang telah keras daripada burung swiflet jantan. Apabila dimasak, sarang burung ini menjadi kenyal yang menjadikan tekstur sup kelihatan menarik. Rasa sup datangnya terutamanya daripada jenis air rebusan sarang burung dimasak. Dalam jenis sup sarang burung yang terkenal, sarangnya dimasak dalam air rebusan ayam pekat yang dicampurkan dengan ayam lembut (putih telur yang dipukul hingga naik dan ayam dicincang halus). Lain-lain jenis sup sarang burung termasuk sup masin yang dihidang sebagai pembuka selera dan sup pencuci mulut yang manis yang dibuat dengan tembikai. | UMUM | |