TAHAYUL | Tahayul ialah kepercayaan tradisi bahawa sesuatu tindakan atau peristiwa boleh mengakibatkan atau menjadi alamat bagi sesuatu peristiwa akan datang yang tidak berkaitan. Sebagai contohnya, mereka yang percaya kepada tahayul akan percaya bahawa membawa kaki arnab akan membawa tuah. Ada pula yang percaya bahawa jika seekor kucing hitam melintasi laluan mereka, sesuatu musibah akan menimpa. Ada juga yang percaya bahawa tetamu akan tiba jika pisau atau garpu terjatuh ke lantai. Kepercayaan begini merupakan tahayul kerana setiap kali tindakan dan peristiwa yang diramalkan akan berlaku mengikut adat lama, dianggap berkaitan. Umpamanya kaki arnab dikaitkan dengan kesuburan. | UMUM | |
MAKAM | Makam ialah tempat menguburkan mayat. Sesetengah makam dibina dengan menebuk batuan, dan sesetengahnya dibina di atas tanah. Manusia purba menggunakan makam untuk menjaga mayat agar selamat. Orang Mesir percaya bahawa roh orang yang sudah meninggal akan datang mengunjungi makamnya. Mereka mendirikan Piramid, iaitu makam paling besar di dunia, untuk raja-raja mereka . | UMUM | |
MUTASI | Mutasi ialah perubahan bahan keturunan dalam sel sesuatu organisma. Dengan mengubah bahan ini, mutasi mengubah ciri-ciri tertentu. Sesetengah mutasi menghasilkan perubahan yang ketara. Misalnya, jenis anggur yang dinamakan Concord adalah hasil daripada mutasi. Mutasi ini menyebabkan pokok anggur liar menghasilkan anggur yang lebih besar dan lebih manis daripada sebelumnya. Mutasi boleh diturunkan kepada generasi akan datang. | UMUM | |
MAGINAKAN | MAGINAKAN, upacara keagamaan kaum Dusun-Kadazan di Sabah sebagai cara menyatakan kesyukuran dan penghargaan kerana rezeki yang diberikan oleh tuhan Kinorohingan, di samping memohon kepadanya supaya menurunkan rezeki dan menyuburkan tanaman pada musim akan datang. | BUDAYA | Agama/Fahaman/Aliran/Ideologi |
PANDAK ENDUT | PANDAK ENDUT ( ? -1877), penentang penjajah British. Dia adalah ipar Dato' Maharaja Lela dan orang kanan dalam pakatan membunuh J.W.W. Birch, Residen British Perak. Pandak Endut menghadiri mesyuarat yang diadakan di rumah Dato' Maharaja Lela. Dalam mesyuarat tersebut, Dato' Maharaja Lela memaklumkan yang Sultan Abdullah, Laksamana Wan Muhammad Amin dan Syahbandar Uda Mahamor memberitahu bahawa dalam beberapa hari lagi J.W.W. Birch akan datang ke Pasir Salak dan mereka ditugaskan untuk membunuhnya. Pandak Endut dilantik sebagai wakil Dato' Maharaja Lela dalam tindakan membunuh J.W.W. Birch. Sebagai tanda kuasa ini, dia dianugerahi satu persalinan yang terdiri daripada baju, tengkolok dan pedang. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
SUNGAI GANGES | Sungai Ganges ialah jalan air yang terbesar di India dan salah satu sungai yang terpanjang di dunia. Sungai ini sangat penting kepada rakyat India kerana peranannya dalam agama Hindu. Orang Hindu menganggap sungai itu sebagai sungai yang paling suci di India. Setiap tahun, beribu-ribu penganut Hindu berkunjung ke bandar suci seperti Varanasi dan Allahabad di sepanjang tebing Sungai Ganges untuk mandi-manda dan membawa pulang airnya. Kuil dan ghat (anak tangga) yang menuju ke sungai didirikan di tebing sungai itu. Sesetengah penziarah datang untuk mandi-manda di sungai itu semata-mata untuk menyucikan diri daripada dosa. Mereka yang sakit dan cacat datang dengan harapan sentuhan air itu dapat menyembuhkan penyakit. Terdapat juga yang datang kerana mahu mati di sungai itu. Mengikut kepercayaan Hindu, sesiapa yang mati di Ganges akan dimasukkan ke syurga. Nama sungai ini dalam bahasa Hindu, bahasa utama orang India, ialah Ganga. | UMUM | |
SCRIBE, AUGUSTIN EUGÉNE | Scribe, Augustin Eugéne (1791–1861), penulis drama Perancis. Dia merupakan penulis yang berjaya dalam bentuk drama realistik yang dinamakan, the well-made play . Drama seperti itu bergantung pada kesan dan pada penerangan yang teliti tentang peristiwa lalu, sedangkan pada masa yang sama, menunjukkan peristiwa yang akan datang. Drama yang baik mengandungi suatu babak wajib pada klimaks apabila rahsianya didedahkan. Hasil daripada pendedahan rahsia, watak-watak itu akan menerima ganjaran atau denda. | UMUM | |
TALENT | Talent ialah unit lama yang terkenal, digunakan untuk berat dan nilai. Orang Ibrani, Babylon, Yunani, dan Rom menggunakannya. Duit syiling dalam jenis mata wang ini tidak pernah dibuat kerana duit syiling itu akan menjadi terlalu besar. Sebaliknya beberapa keping syiling lain bersamaan satu talent. Talent perak orang Ibrani bersamaan dengan 3000 shekel perak. Talent emas mempunyai berat dan nilai yang berbeza di tempat-tempat yang berbeza. Penggunaan perkataan talent sekarang yang bermakna kebolehan yang istimewa , mungkin datang secara simboliknya dari sebuah cerita dalam Bible (Matthew 25:14–30). | UMUM | |
MUZANNIY, AL- | Muzanniy, al- (175 H.–264 H./791 M.–878 M.), pakar dalam bidang usul fiqh. Nama penuhnya ialah Isma‘il ibn Yahya ibn Isma‘il al-Muzanniy al-al- Syafi’i. Dia lahir di Mesir dan mendampingi Imam al-Syafi’i ketika dia datang ke Mesir serta belajar darinya dan merupakan salah seorang murid Imam al-Syafi’i yang paling hampir dengannya. Imam al- Syafi’i mengiktiraf kekuatan hujah-hujahnya dengan berkata, “Sekiranya al-Muzanniy berbahas dengan syaitan, nescaya syaitan pun akan dikalahkannya”. | UMUM | |
AZAN | Azan adalah satu cara pemberitahuan dalam Islam. Ia berfungsi sebagai peringatan supaya menunaikan sembahyang lima waktu. Azan dari segi bahasa bermakna seruan dan pemberitahuan. Makna ini terdapat dalam firman Allah Taala yang bermaksud: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dengan menunggang berjenis-jenis unta kurus, yang datangnya dari pelbagai jalan (dari ceruk rantau) yang jauh”. | UMUM | |