SEMIKONDUKTOR | Semikonduktor ialah bahan yang mengalirkan elektrik lebih baik daripada penebat seperti kaca, akan tetapi tidak sebaik konduktor elektrik seperti tembaga. Bahan seumpama itu menghasilkan komputer yang moden dan peranti elektronik lain yang penting. Transistor yang digunakan dalam radio saku yang kecil ialah peranti semikonduktor. Begitu juga sel suria yang membekalkan kuasa elektrik pada satelit tiruan. Silikon ialah bahan semikonduktor yang paling meluas digunakan. Bahan semikonduktor lain termasuk kuprus oksida, germanium, galium arsenida, galium fosfida, indium arsenida, plumbum sulfida, selenium, dan silikon karbida. | UMUM | |
POSKAD BERGAMBAR | Poskad bergambar menjadi popular sebagai alat untuk berkomunikasi yang pantas dan murah selepas tahun 1900. Pada tahun 1869, poskad bergambar tidak berwarna yang pertama dikeluarkan di Austria, akan tetapi tidak ada tarikh diberikan pada poskad bergambar yang pertama itu. Ini disebabkan poskad bergambar beransur- ansur berkembang. Pada sebelah poskad itu diberikan ruang kosong. Pada asalnya, sebelah kad itu digunakan untuk menulis dan sebelah lagi untuk alamat dan setem. | UMUM | |
DECATUR, STEPHEN | Decatur, Stephen (1779–1820) ialah pegawai yang amat berani dalam Tentera Laut Amerika Syarikat semasa pembentukan awalnya. Dia diingati kerana minum ucap selamatnya: Negara kita: Dalam hubungannya dengan negara luar semoga negara kita sentiasa benar; akan tetapi negara kita juga, benar atau salah.” | UMUM | |
ARTERI | Arteri ialah nama tiub atau salur darah yang melaluinya darah dipam keluar dari jantung ke berbagai-bagai bahagian tubuh. Darah yang dibawa oleh kebanyakan arteri itu merah terang kerana darah ini telah mengambil oksigen semasa melalui paru-paru. Akan tetapi darah yang mengalir melalui arteri yang menghubungkan ventrikel sebelah kanan jantung dengan paru-paru belum lagi mengambil oksigennya. Darah ini berwarna kecoklat-coklatan. Jika arteri itu terpotong, darah akan memancut keluar secara bersamaan dengan degupan jantung. Vena berbeza daripada arteri oleh sebab vena membawa darah balik ke jantung, bukannya membawa darah keluar dari jantung. Jika vena terpotong maka darah mengalir daripadanya dalam aliran yang sekata. | UMUM | |
SALIM II | Salim II (930–982 H./1523–1574M.), sultan ke-11 dalam kerajaan Uthmaniyyah atau putera Sultan Sulayman I. Baginda lahir di Istanbul dan mewarisi takhta pemerintahan daripada ayahandanya pada tahun 974 H./1566 M. Selepas kemangkatan Sultan Sulayman I, kerajaan ini tetap mengamalkan polisi peluasan negara sebagaimana tradisi kerajaan Uthmaniyyah sejak dahulu. Akan tetapi secara beransur-ansur kerajaan Uthmaniyyah mengalami zaman kelemahan sejak diperintah oleh sultan ini. Baginda merupakan antara sultan yang tidak pernah turun ke medan perang. Walau bagaimanapun, kerajaannya mengalami banyak peristiwa penting; antaranya penaklukan pulau Cyprus dari tangan orang Bonodochia. Kemenangan tersebut disebabkan adanya beberapa tokoh terkemuka semenjak zaman ayahandanya seperti Muhammad Suqlili, Mufti Besar Abu Sa’ud dan Nasyanji Muhammad Dibyali al-Qibtan Pasha. Pada zamannya juga, Yaman dapat diambil semula selepas pemberontakan yang dicetuskan oleh puak Syi’ah al-Zaydiyyah. | UMUM | |
AULD LANG SYNE | Auld lang syne ialah dialek orang Scotland yang bererti old long since (sejak lama dahulu) atau hari telah berlalu. Perkataan ini menjadi judul sebuah lagu yang digemari oleh semua orang yang dapat bertutur dalam bahasa Inggeris. Robert Burns menyatakan bahawa dia mencatat perkataan ini apabila mendengar seorang lelaki tua menyanyikannya akan tetapi orang menganggap Burns yang mencipta kata-kata tersebut. Lagu ini dinyanyikan dengan melodi Scotland lama. Ia adalah lagu tradisi untuk menyambut ketibaan Tahun Baru, terutama di Scotland. Lihat juga Burns, Robert. | UMUM | |
MU‘AWIYAH IBN YAZID | Mu‘awiyah ibn Yazid (41 H.–64 H./661 M.–684 M.), khalifah Bani Umayyah di Syam, cucu kepada pengasas Kerajaan Bani Umayyah, iaitu Mu‘awiyah ibn Abu Sufyan. Nama penuhnya Mu‘awiyah ibn Yazid ibn Mu‘awiyah ibn Abu Sufyan juga dikenali sebagai Mu‘awiyah al-Thani (Mu‘awiyah Kedua). Dia dilantik sebagai khalifah selepas kematian bapanya akan tetapi dia melepaskan jawatan tersebut selepas 40 hari atau-kira-kira tiga bulan memegang tampuk pemerintahan. Mu‘awiyah telah menyerahkan urusan melantik khalifah yang baru kepada kaum muslimin sendiri dan menyarankan agar mereka melantik penggantinya yang tersebut dalam bentuk syura atau kemuafakatan suara. Dia telah mengasingkan diri di rumahnya dengan beribadat kepada Allah S.W.T. sehinggalah dia meninggal dunia ketika berusia 23 tahun. Oleh sebab usianya yang masih muda, Mu‘awiyah tidak sempat meninggalkan zuriat | UMUM | |
SURAH AL-AHZAB | Surah al-Ahzab ialah salah satu daripada surah Madaniyyah, surah yang ke-33 dalam susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi 73 ayat. Surah ini dinamakan dengan al-Ahzab (pasukan-pasukan tentera yang bergabung) kerana orang musyrikin mengepung orang Islam dari setiap penjuru Madinah. Orang-orang kafir Makkah bergabung dengan Bani Ghatfan, Bani Qurayzah dan golongan penghasut Arab untuk memerangi orang Islam. Akan tetapi, Allah S.W.T. menghalau mereka secara hina. Oleh sebab itu, orang-orang Islam memenangi peperangan tersebut dengan mukjizat yang diturunkan oleh Allah S.W.T. yang penuh gemilang. | UMUM | |
ROMANOV, GRIGORIY VASILYEVICH | Romanov, Grigoriy Vasilyevich (1923– ), tokoh terkemuka Parti Komunis Kesatuan Soviet. Parti Komunis menguasai kerajaan Kesatuan Soviet sehingga tahun 1991. Romanov telah berkhidmat sebagai ahli penuh Politburo parti tersebut dari tahun 1976 hingga tahun 1985, dan sebagai ahli Urusetia Jawatankuasa Pusat Parti tersebut dari tahun 1983 hingga tahun 1985. Dia juga merupakan ahli Presidium dari tahun 1970 hingga tahun 1985. Politburo merupakan badan yang menentukan dasar parti dan urusetia mengurus pentadbiran hariannya. Presidium ialah sebuah badan penting bagi kerajaan Soviet. Pada tahun 1985, Romanov memohon untuk bersara dari semua jawatan, disebabkan kesihatannya yang tidak mengizinkan. Akan tetapi ramai pemerhati berpendapat bahawa dia telah digugurkan kerana dia telah kehilangan pengaruh dalam parti. | UMUM | |
KAILAN | Kailan ialah sayur seakan-akan kubis tetapi mempunyai daun bercerai-cerai dan keriting. | UMUM | |