LINGKUNGAN BULAN | LINGKUNGAN BULAN, akhbar mingguan. Akhbar ini diterbitkan pada 30 April 1900 di Pulau Pinang. Pengarang akhbar ini ialah Mohd Ali bin Harun al-Kindi. Akhbar yang diterbitkan pada setiap hari Isnin ini dalam huruf Jawi dan dicap batu. Akhbar ini mempunyai empat halaman dan berukuran 29 cm lebar dan panjangnya 48 cm. Moto akhbar ini ialah ‘Berseteru olehmu dengan orang yang berakal dan jangan bersubahat dengan orang yang jahil’. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Penerbitan |
KEBEBASAN AKHBAR | Kebebasan akhbar ialah hak untuk menerbitkan fakta, idea, dan pendapat tanpa gangguan daripada kerajaan atau daripada kumpulan persendirian. | UMUM | |
MURDOCH, RUPERT | Murdoch, Rupert (1931– ), penerbit kelahiran Australia yang memiliki banyak syarikat akhbar dan majalah di Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan negara-negara lain. Penerbitannya berbagai-bagai, daripada The Times di London, iaitu akhbar harian British yang amat berpengaruh, hinggalah kepada New York Post, iaitu akhbar mingguan yang sensasi di Amerika Syarikat. Dia juga memiliki sepenuhnya atau sebahagian daripadanya studio filem dan beberapa stesen televisyen dan syarikat penerbitan buku. Dia juga terkenal kerana berjaya memulihkan syarikat yang menghadapi masalah kewangan sehingga berjaya mendapat keuntungan. | UMUM | |
LEMBAGA MALAYA | LEMBAGA MALAYA, akhbar Melayu. Akhbar ini diterbitkan pada tahun 1934 oleh Onn bin Ja’afar dan Syed Omar Albar. Lembaga Malaya ialah akhbar mingguan dan diterbitkan pada setiap hari Isnin, di North Bridge Road, Singapura. Akhbar ini mempunyai 36 halaman dengan menggunakan tulisan Jawi. Pengarang utamanya ialah Onn bin Ja’afar dan dibantu oleh Syed Ja’afar Albar, sebagai penolong pengarang bahagian agama Islam. Akhbar ini menjadi salah satu bahan bacaan yang penting bagi masyarakat Melayu di selatan Tanah Melayu pada waktu itu. | SASTERA | Penerbitan |
PERKHIDMATAN BERITA | Perkhidmatan berita ialah organisasi yang mengumpulkan dan mengedarkan berita. Kebanyakan akhbar dan stesen radio serta televisyen bergantung pada perkhidmatan berita untuk mendapat berita dalam negara dan antarabangsa. Beberapa buah akhbar dan stesen menghantar wartawannya sendiri untuk memperoleh berita dalam negara dan luar negara. Perkhidmatan berita berkembang dari organisasi yang diwujudkan di Eropah pada tahun 1820-an dan tahun 1830-an untuk membekalkan berita ekonomi kepada klien persendirian. Perkhidmatan berita pada suatu masa dahulu dikenali sebagai perkhidmatan wayar kerana wartawan menghantar laporan mereka melalui wayar ke alat percetakan yang disebut sebagai telemesin taip. | UMUM | |
ALAMAT LANGKAPURI | ALAMAT LANGKAPURI, akhbar yang diterbitkan pada 13 Jun 1869 di Colombo, Ceylon oleh Baba Ounus Saldin, yang berasal dari Madura, Indonesia. Dia juga merupakan pengarang dan penerbit akhbar ini. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Konsep |
JAJAHAN MELAYU, | JAJAHAN MELAYU, akhbar mingguan. Akhbar ini diterbitkan di Taiping, Perak, pada 4 November 1896 oleh Sayid Abul Hassan bin Burhan yang berasal daripada keturunan Jawi Peranakan. Sebelum ini, Sayid Abul Hassan menerbitkan akhbar Seri Perak. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Karya |
SAUDARA | SAUDARA, akhbar tulisan Jawi. Akhbar ini mula diterbitkan pada 29 September 1928 di Pulau Pinang. Mulai tahun 1936, akhbar ini diterbitkan pada hari Rabu dan Sabtu. Moto akhbar ini ialah “Warta Am, Pelajaran-Pengetahuan, Perkhabaran”. Pada bahagian atas akhbar ini ditulis “Majulah Ke hadapan Wahai Saudara.” | SASTERA | Penerbitan |
CAHAYA PULAU PINANG | CAHAYA PULAU PINANG, akhbar mingguan Melayu. Akhbar ini diterbitkan dalam huruf Jawi oleh Criterion Press, Pulau Pinang, pada setiap hari Sabtu sejak 13 Oktober 1900. Akhbar ini berukuran 51 cm panjang dan 32 cm lebar, berjumlah empat halaman setiap keluaran dan dijual dengan harga 15 sen senaskhah. Pengarangnya ialah Abdul Ghani bin Mohd. Kassim yang juga menjadi penerbit/pengarang akhbar Bintang Timur. Dia juga bekas pengarang akhbar Jawi Peranakan. | SASTERA | Kitab |
BERITA MINGGU | BERITA MINGGU, akhbar mingguan berbahasa Melayu yang dicetak dan diterbitkan oleh The New Straits Times Press (M’sia) Bhd., Kuala Lumpur. Akhbar ini adalah sebahagian daripada akhbar Berita Harian dan diterbitkan pada hari Ahad sahaja. Keluaran pertamanya ialah pada 10 Julai 1960, mengandungi lapan halaman dan dijual dengan harga 15 sen senaskhah. Akhbar ini menggunakan tulisan Rumi. Dalam keluarannya yang terawal, akhbar ini memuatkan berbagai-bagai berita termasuklah iklan, rencana umum, sastera, filem, sukan dan berita semasa. | SASTERA | Kitab |