PERANG TIGA PULUH TAHUN | Perang Tiga Puluh Tahun (1618–1648) ialah satu siri perang agama dan politik yang akhirnya melibatkan kebanyakan negara Eropah. Konflik bermula sebagai perang saudara antara Roman Katolik dengan Protestan di Empayar Rom Holy dan wilayah-wilayah lain di bawah pentadbiran Habsburg, keluarga diraja Austria. Tetapi akhirnya, peperangan ini menjadi perjuangan umum terhadap kuasa politik dan wilayah. | UMUM | |
SUHARTO | Suharto (1921– ) ialah jeneral tentera Indonesia yang akhirnya memegang tampuk pemerintahan negaranya daripada Presiden Sukarno antara tahun 1965 hingga tahun 1967. Suharto menjadi Pemangku Presiden Indonesia pada tahun 1967 dan menjadi presiden penuh pada tahun 1968. Kemudian dia melancarkan suatu program yang membawa kepada pembaharuan yang gemilang bagi ekonomi negara tersebut. | UMUM | |
KEMATIAN | Kematian bermakna berakhirnya kehidupan. Semua benda hidup akhirnya akan mati, tetapi barangkali hanya manusia yang boleh membayangkan kematian mereka. Kebanyakan manusia takut kepada kematian dan mencuba untuk tidak memikirkan tentangnya. Walaupun begitu, sikap berhati-hati terhadap kematian merupakan salah satu daripada dorongan utama yang membentuk tamadun manusia. Sepanjang peredaran sejarah, manusia tidak pernah berhenti mencari kaedah perubatan terkini untuk melambatkan kematian. Ahli falsafah dan ketua agama telah mencuba untuk memahami makna sebenar kematian. Sesetengah para cerdik pandai percaya bahawa perkembangan manusia ini ialah hasil daripada kemampuan manusia mengatasi kematian dan memperoleh keabadian hasil pencapaiannya yang berkekalan. | UMUM | |
PERJANJIAN VERDUN | Perjanjian Verdun ialah perjanjian yang membahagikan empayar Charlemagne kepada tiga bahagian. Cucu Charlemagne bertelagah untuk memerintah empayar ini selepas kematian bapa mereka pada tahun 840 dan akhirnya menandatangani perjanjian pada tahun 843. Dengan perjanjian ini, Charles the Bald menerima bahagian yang kini dikenali sebagai Perancis. Louis the Jerman menerima tanah di hampir semua kawasan di timur Rhine, yang akhirnya menjadi Jerman moden. Lothair pula mengekalkan takhta maharaja dan memerintah sejalur kawasan di bahagian tengah, dari Laut Utara hingga bahagian tengah Itali. | UMUM | |
KAUNDA, KENNETH DAVID | Kaunda, Kenneth David (1924– ), presiden Zambia dari tahun 1964 hingga tahun 1991. Pada tahun 1964, dia mengetuai gerakan yang akhirnya membawa kepada kemerdekaan Zambia daripada United Kingdom. Dia kemudiannya dipilih sebagai presiden. | UMUM | |
PERANG VIETNAM | Perang Vietnam ialah konflik besar yang berlaku di Asia Tenggara. Perang itu bermula daripada perang saudara untuk menentukan kerajaan Vietnam. Ia akhirnya menjadi konflik antarabangsa yang besar, melibatkan Amerika Syarikat dalam peperangan yang paling lama pernah disertai oleh rakyat Amerika. Ia bermula pada tahun 1957 dan berakhir pada tahun 1975. Vietnam , sebuah negara kecil di Asia Tenggara, telah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Vietnam Utara yang diperintah oleh kerajaan komunis dan Vietnam Selatan yang diperintah oleh kerajaan bukan komunis. Vietnam Utara dan pemberontak Vietnam Selatan yang dilatih oleh pihak komunis bertempur bersama-sama untuk menguasai Vietnam Selatan. Tentera Amerika Syarikat dan Vietnam Selatan cuba menghalang mereka tetapi gagal. | UMUM | |
SATURNALIA | Saturnalia ialah pesta Rom purba untuk menghormati Saturn, iaitu dewa pertanian. Pesta Saturnalia bermula pada 17 Disember. Pada mulanya, ia berlangsung selama dua hari, tetapi akhirnya dilanjutkan selama seminggu. Saturnalia mungkin bermula sebagai perayaan kesyukuran untuk mengingati penanaman musim sejuk. Walau bagaimanapun, lama-kelamaan ia kehilangan kepentingan pertaniannya dan menjadi pesta bersuka ria. Malah golongan hamba juga diberikan pelepasan sementara bagi merayakan hari ini. Pesta ini adalah dalam bentuk jamuan, lawatan dan pemberian hadiah. Hadiah yang paling popular dalam perayaan ini ialah lilin dan patung tanah liat yang kecil. Lihat juga Saturn (Dewa Rom). | UMUM | |
KAZAKSTAN | Kazakstan ialah negara yang terletak di bahagian barat-tengah Asia. Setelah lebih kurang 70 tahun menjadi sebahagian daripada Kesatuan Soviet di bawah pimpinan Rusia, akhirnya Kazakstan mencapai kemerdekaan pada tahun 1991 | UMUM | |
MÜLLER, PAUL HERMANN | Müller, Paul Hermann (1899–1965) ialah ahli kimia Switzerland, yang menerima Hadiah Nobel tahun 1948 untuk fisiologi atau perubatan kerana menemui sifat-sifat membunuh serangga pada DDT (dikloro-difenil-trikloroetana). Nama akhirnya dieja Mueller. DDT pertama kali dihasilkan di Austria pada tahun 1873, tetapi Müller menemui nilai DDT sebagai pembunuh serangga pada tahun 1939. DDT digunakan dengan meluas semasa Perang Dunia II (1939–1945) untuk membunuh kutu badan yang membawa penyakit tifus. Müller lahir di Olten, Switzerland. Lihat juga DDT. | UMUM | |
KESULTANAN JOHOR | KESULTANAN JOHOR, institusi kerajaan Johor. Kesultanan Johor bermula daripada Kesultanan Johor-Riau-Lingga yang wujud sekitar abad ke-16. Pusat kerajaannya bermula di tanah besar Johor atau disebut juga 'Hujung Tanah' kemudian beralih ke Riau dan akhirnya sebelum berpecah, sultan bersemayam di Lingga. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Kesultanan/Kerajaan/Pemerintahan |