MUHAMMAD FU'AD, 'ABD AL-BAQI | Muhammad Fu’ad, ‘Abd al-Baqi (1299 H. – 1388 H./1882 M.–1968 M.) ialah tokoh ilmuwan Mesir. Dia banyak menghabiskan masa dalam menyusun dan membuat susunan indeks hadith. Dia lahir di Qalyubiyah, Mesir, dan membesar di Kaherah serta pernah belajar di beberapa buah sekolah di sana. ‘Abd al-Baqi pernah berkhidmat sebagai penterjemah bahasa Perancis di Jabatan Pertanian pada sekitar tahun 1905 dan 1933. Dia berhenti menulis disebabkan oleh matanya yang kabur dan menjadi buta sebelum kematiannya. | UMUM | |
NABI HUD A.S. | Nabi Hud a.s. ialah salah seorang daripada utusan Allah. Nabi Hud a.s. diutuskan kepada kaum ‘Ad iaitu kaum Arab yang paling awal yang diketahui. Dalam al-Qur’an diceritakan bahawa terdapat kaum ‘Ad I dan kaum ‘Ad II. Kaum ‘Ad I ialah ‘Ad Irm yang tinggal di dalam khemah. Manakala kaum ‘Ad II ialah penduduk negeri Yaman dari keturunan Qahtan, Saba ’ dan keturunan dari keduanya. Zaman kehidupan kaum ‘Ad ini tidak diketahui dengan tepat. Ini disebabkan al-Qur’an sendiri dan hadith- hadith tidak menyebutkan tentang tarikh kewujudan mereka. Selain itu, tidak terdapat bukti dari kesan- kesan yang ditinggalkan sama ada berbentuk tulisan-tulisan sejarah yang mungkin boleh dibuat sandaran berhubung dengan tarikh kewujudan mereka. | UMUM | |
SURAH AL-AHQAF | Surah al-Ahqaf ialah salah satu daripada surah Makkiyyah, surah yang ke-46 mengikut susunan surah-surah al-Qur’an al-Karim dan mengandungi 35 ayat. Surah ini dinamakan dengan al-Ahqaf kerana ia merupakan tempat tinggal kaum ‘Ad yang dibinasakan oleh Allah S.W.T. disebabkan kezaliman dan keangkuhan mereka. Tempat tinggal mereka di al-Ahqaf ini terletak di Yaman. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Dan ingatlah peristiwa(Nabi Hud) saudara kaum ‘Ad, tatkala dia memberi peringatan kepada kaumnya yang tinggal di lembah al-Ahqaf.” (Surah al-Ahqaf 46:21) | UMUM | |
SAM'ANIY, AL- | Sam’aniy, al- (506–562 H./1113–1167 M.) ialah pakar sejarah, salasilah dan keturunan serta ahli geografi. Nama penuhnya ialah ‘Abd al-Karim ibn Muhammad ibn Mansur al-Tamimiy al-Sam’aniy al- Maruziy. Dia juga dipanggil Abu Sa‘ad. Dia terkenal kerana telah banyak mengembara untuk menuntut ilmu dan mempunyai ramai guru. Ada pendapat yang mengatakan bahawa bilangan gurunya melebihi 5000 orang. Dia sangat tekun dalam pembacaan dan membuat kajian sehingga berjaya menghasilkan 50 buah buku. Antara hasil karangannya ialah Kitab al-Ansab, Tarikh Maru yang mengandungi lebih daripada 20 jilid, Kitab Tadhyil Tarikh Baghdad li al- Khatib, Tarikh al-Wafat li al- Muta’akhkhirin min al-Ruwat dan lain-lain. Dia juga amat mahir dalam bidang salasilah dan keturunan sehingga menulis buku Al-Ansab yang mencatatkan biografi tokoh-tokoh terkenal sama ada dari segi sejarah atau ilmiah. Dia menyusun nama mereka menurut susunan abjad. | UMUM | |
SUFYAN AL-THAWRIY | Sufyan al-Thawriy (97–161 H./716 –778 M.), hafiz, ahli fiqh, kuat beribadat dan ketua pendebat. Nama penuhnya ialah Sufyan ibn Sa‘id ibn Masruq al-Thawriy, Abu ‘Abdullah al-Kufiy daripada Bani Thawr ibn ‘Abd al Manat ibn Uddi ibn Tabikhah ibn Ilyas ibn Madh’ar ibn Nizar ibn Ma‘ad ibn ‘Adnan. Sufyan lahir dan dibesarkan di Kufah dan bapanya adalah seorang ulama Kufah. Mungkin bapanya seorang ulama yang menyebabkan dia menuntut ilmu hadith. Sufyan meriwayatkan hadith daripada al-Aswad ibn Qis, Abi Ishaq al-Subi‘iy, ‘Amru ibn Murrah, Mansur Ibn al-Mu‘tamir, Ayub al- Sakhtayaniy, Isma‘il ibn Abi Khalid dan lain-lain lagi. | UMUM | |
SA'ID IBN AL-MUSAYYAB (13–94 H. / 635–713 M. | Sa’id ibn al-Musayyab (13–94 H. / 635–713 M.), ketua ahli fiqh, ketua para tabi’in dan periwayat hadith. Nama penuhnya ialah Sa‘id ibn al-Musayyab ibn Hazn ibn Abi Wahab al-Makhzumi al-Qurashi. Bapa dan datuknya adalah dua orang sahabat nabi yang memeluk Islam pada hari pembukaan kota Makkah. Sa‘id mendengar hadith daripada ‘Umar ketika dia berkhutbah. Dia juga mendengar hadith daripada ‘Uthman ibn ‘Affan, ‘Ali ibn Abi Talib, Zaid ibn Thabit, ‘Aisyah, Sa‘ad ibn Abi Waqqas, Abu Hurairah (suami kepada anak perempuannya dan orang yang paling mengetahui tentang hadithnya) dan lain-lain lagi dari kalangan sahabat. | UMUM | |
SYEIKH HAJI MUHAMMAD SAID AL-LINGGI | Syeikh Haji Muhammad Said al-Linggi (1874–1926), ulama dan pengarang kitab. Dia terkenal sebagai ulama yang mengembangkan Tarekat Ahmadiah yang diasaskan oleh Syeikh Ahmad Idris ad-Dandrawi. Dia mengembara hingga Kemboja, Thailand dan Singapura, selain Semenanjung Tanah Melayu dalam usaha mengembangkan ilmu dan tarekat | UMUM | |
JALA' AL-QULUB BI DHIKR ALLAH | JALA’ AL-QULUB BI DHIKR ALLAH, kitab tasawuf. Kitab ini dikarang oleh Haji Abdul Samad bin Muhammad Salih yang dikenal Tuan Tabal. Kitab yang berbentuk risalah ini selesai dikarang pada tahun 1287H./1870 M. Di Kelantan. Kitab ini pernah dicetak di al-Matbaah al-Asasiah, Kota Baharu, Kelantan (edisi kedua 1354H.), berukuran 21cm x 14 cm setebal 26 halaman. | SASTERA | Karya |
ABU YUSUF, YA‘QUB | Abu Yusuf, Ya‘qub (113 H.–182 H./731 M.– 798 M.), sarjana Islam yang masyhur. Nama penuhnya ialah Ya‘qub ibn Ibrahim ibn Habib ibn Khanis ibn Sa‘ad ibn Habsyah al-Ansariy. Abu Yusuf ialah kadi, sahabat dan murid kepada Imam Abu Hanifah, dan merupakan orang yang mula-mula menyebarkan mazhab Hanafi. | UMUM | |
SA‘D IBN ‘UBADAH | Sa‘d ibn ‘Ubadah ( ? –14 H. / ?–635 M.) ialah salah seorang sahabat dari golongan Ansar Bani Sa’idah, berasal daripada al-Khazraj, sebuah bandar di antara Yathrib–Taibah. Dia salah seorang pemimpin pada zaman Jahiliyah dan juga Islam. Dia digelar sebagai al-Kamil kerana pengetahuannya dalam bidang penulisan, memanah dan berenang. Dia memeluk Islam di tangan seorang sahabat Mus‘ab ibn ‘Umayr r.a., di rumah As‘ad ibn Zurarah dan telah menyertai perjanjian ‘Aqabah Kedua. Sa‘ad ibn ‘Ubadah telah memberi pengakuan taat setia kepada Rasulullah s.a.w. tanpa pengetahuan orang kafir, dan dia dipilih salah seorang daripada 12 orang ketua. | UMUM | |