SHARBINIY, SYAMS AL-DIN AL- | Sharbiniy, Syams al-Din al ( ? – 977 H. / ? –1569 M.), ahli fiqh mazhab Syafi‘i, ahli tafsir dan juga pakar nahu. Nama penuhnya ialah Muhammad ibn Ahmad al-Sharbiniy al-Qahiriy yang lebih dikenali dengan nama al-Khatib al-Sharbiniy Syams al-Din. Dia lahir di Kaherah dan berguru dengan para sarjana Mesir pada zamannya. Dia mengeluarkan fatwa dan mengajar ilmunya semasa guru-gurunya masih hidup. Orang sezamannya memperakui kebaikan, kelebihan dan kezuhudannya dalam hal keduniaan. Antara buku karangannya ialah al-Siraj al-Munir fi al-I‘anah ‘ala Ma‘rifat ba‘du Ma‘aniy Kalam Rabina al-Hakim al-Khabir, al-Fath al-Rabbaniy fi Hilliy Alfaz Tasrif ‘Izz al-Din al-Zanjaniy dan Sharh Minhaj al- Din li al-Jurjaniy fi Sha‘biy al-Iman. | UMUM | |
NASA'IY, ABU 'ABD AL-RAHMAN AL- | Nasa’iy, Abu ‘Abd al-Rahman al- (215–303 H/ 830–915 M), salah seorang imam hadith yang menonjol dan penghafaz hadith yang diyakini riwayatnya serta sarjana terkenal. Nama sebenarnya ialah Abu ‘Abd al-Rahman Ahmad ibn Shu‘ayb ibn ‘Ali al-Khurasaniy al-Nasa’iy al-Kabir, seorang kadi, imam dan Shaykh al-Islam. Dia menjelajah beberapa buah negeri dalam usaha mencari ilmu daripada ulama-ulama seperti di Khurasan, Iraq, Hijaz, Mesir, Sham, al-Jazirah dan lain-lain. Dia berpindah ke Qutaybah ketika berumur 15 tahun. Al-Hakim berkata: “Al-Nasa’iy ialah ulama yang mempunyai ilmu yang mendalam di Mesir pada zamannya, dan merupakan yang paling arif di kalangan ulama mengenai hadith-hadith yang sahih dan hadith-hadith yang ditolak berserta dengan perawinya”. Al-Nasa’iy banyak mengarang kitab, antaranya ialah al-Sunan al-Kubra dalam bidang hadith; al-Mujtaba, iaitu al-Sunan al-Sughra; Khasa’is ‘Ali; Musnad ‘Ali dan al-Du‘afa’ wa al- Matrukun bi Musnad Malik . | UMUM | |
HAKIM, TAWFIQ AL- | Hakim, Tawfiq al- (1316–1410 H./1898–1989 M.), penulis Mesir dan pelopor dalam bidang penulisan novel, sastera dan teater | UMUM | |
MU'ALLIMIY AL-YAMANIY, AL- | Mu’allimiy al-Yamaniy, al- (1313 H.–1386 H./ 1895 M.– 1966 M.), pengarang kitab. Nama penuhnya ialah ‘Abd al-Rahman ibn Yahya, Abu Bakar al-Mu’allimiy al-Yamaniy. Dia lahir di sebuah kampung bernama al-Muhaqarah, di daerah ‘Utmah, Yaman. Selepas itu, al-Mu’allimiy al- Yamaniy berpindah ke Jazan pada tahun 1329 H. dan terus tinggal di sana sehingga dilantik oleh Gabenor Jazan, Muhammad al-Idrisiy sebagai ketua hakim di samping sibuk dengan urusan pengajaran. Dia juga diberi gelaran Shayikh al- Islam. | UMUM | |
ABDUL JALIL HASSAN, TAN SRI (1914–1990), | Abdul Jalil Hassan, Tan Sri (1914-1990), pendakwah dan pendidik Malaysia. Abdul Jalil memberikan sumbangan penting dalam tilawah al- Qur’an. Dia dilantik sebagai Ahli Pengerusi Jemaah Hakim dari tahun 1965 hingga tahun 1970. Pada tahun 1969, dia dilantik sebagai Ahli Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam di Jabatan Agama Islam, Jabatan Perdana Menteri. Pada tahun 1970, dia dipilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan di bawah Majlis Raja-raja Melayu. Abdul Jalil juga dikenali kerana keanggotaannya dalam badan-badan Islam Antarabangsa. Dia dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi Rabilah Alam Islam oleh kerajaan Arab Saudi pada tahun 1966 dan dilantik oleh kerajaan Mesir pada tahun 1973 sebagai Ahli Majlis Tertinggi Majma al-Buhuth al-Islamiyah. | UMUM | |
RAJA HAJI ABDULLAH RAJA HASSAN | RAJA HAJI ABDULLAH RAJA HASSAN ( ? - 1926), hakim, kadi dan penulis. Dia berketurunan bangsawan dari Kepulauan Riau-Lingga, Indonesia. Raja Haji Abdullah ialah anak Raja Hassan (m. 1882), cucu kepada Raja Ali Haji, serta sepupu Raja Khalid Hitam (m. 1914). Di Pulau Penyengat, Raja Haji Abdullah lebih dikenal sebagai Engku Haji Lah. Dia menggunakan nama pena Abu Muhammad Adnan Haji Abdullah al-Naqsyahamdi al-Khalidi dalam kebanyakan karyanya. | SASTERA | Tokoh |
HAJI WAN SULAIMAN WAN SIDEK | HAJI WAN SULAIMAN WAN SIDEK (1874 – 1935), ulama dan pendidik. Dia lahir pada tahun 1874 di Mukim Padang Kerbau, Kota Setar, Kedah. Dia mendapat pendidikan di Sekolah Melayu (1882-1885) di samping belajar mengaji al-Qur’an dan agama. Pada tahun 1889, dia melanjutkan pelajarannya ke Makkah untuk mendalami bidang bahasa Arab, fikah, tafsir (Ulum al-Qur’an) dan ilmu falak. Antara gurunya termasuklah Syekh Mohamad al-Bukhari dan Syekh Mohamad al-Khayar. Sekembalinya dari Makkah pada tahun 1910, dia dilantik sebagai kadi dan kemudian Kadi Besar (1916). Dia juga dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan di Mahkamah Syariah Kedah di samping mengajar al-Qur’an kepada pegawai kerajaan, guru agama dan orang ramai di Masjid Zahir, di Madrasah Limbong Kapal, Alor Setar. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
SAWDAH BINT ZAM'AH | Sawdah bint Zam’ah ( ? –55 H. / ? –675 M.) ialah salah seorang daripada isteri Rasulullah s.a.w. Sawdah bint Zam‘ah berasal dari kalangan bangsawan Quraisy ‘Amiriyyah. Dia pernah berhijrah ke Habsyah bersama-sama bekas suaminya al-Sakran ibn ‘Amru yang juga seorang Muslim yang bersaudara dengan Suhayl ibn ‘Amru. Kemudian mereka pulang ke Makkah dan setibanya di sana, suaminya meninggal dunia. Baginda mengahwininya tiga tahun sebelum Hijrah, iaitu selepas kematian Khadijah bint Khuwaylid. Sebenarnya, Khawlah bint Hakim, iaitu isteri Uthman ibn Maz’un yang mencadangkan kepada Baginda Rasulullah s.a.w. dan meminang Sawdah bagi pihak nabi. Baginda Rasulullah s.a.w. pernah berhasrat untuk menceraikannya bahkan menurut sesetengah riwayat lain, Baginda telah menceraikannya, tetapi dia memohon agar dirujuk kembali kerana ingin dibangkitkan di akhirat kelak bersama-sama para isteri Baginda yang lain. Menurut riwayat lain, dia adalah wanita yang menjadi sebab turunnya ayat yang memerintahkan kaum wanita Islam memakai hijab. Dia meninggal dunia di Madinah. Lihat juga Isteri-isteri Nabi Muhammad s.a.w. | UMUM | |