METANOL | Metanol ialah sejenis alkohol yang digunakan untuk banyak tujuan perindustrian. Ia juga dinamakan metil alkohol atau alkohol kayu. Metanol ialah sebatian organik yang jernih, tidak berwarna, ia mudah terbakar dan sangat beracun. Meminum atau menyedut wasapnya untuk tempoh yang lama, boleh menyebabkan buta atau kematian. Ia juga berbahaya kepada kulit. | UMUM | |
ALKOHOL | Alkohol merujuk kepada suatu kelas sebatian kimia, yang kesemuanya terdiri daripada ikatan kimia antara atom karbon, hidrogen dan oksigen. Kesemua molekul alkohol mengandungi sekurang- kurangnya satu kumpulan hidroksil . | UMUM | |
SYELEK | Syelek ialah cecair yang terbentuk daripada kepingan resin yang dilarutkan dalam alkohol. Ia digunakan sebagai varnis. Kepingan ini adalah bentuk kering suatu bahan melekit yang dinamakan resin lak (lihat Lak). Apabila syelek disapu pada sesuatu permukaan, alkohol dalam larutannya menyejat, meninggalkan kemasan yang berkilat. Kepingan resin syelek berwarna kuning, jingga, atau kemerahan, tetapi boleh dilunturkan menjadi putih. Syelek juga digunakan dalam pembuatan gula-gula, ubat, dakwat percetakan, dalam bahan penebat, dan sebagai pengeras. Lihat juga Lakuer; Resin; Varnis. | UMUM | |
SIDER | Sider ialah minuman beralkohol yang dibuat daripada jus epal. Di Amerika Syarikat ia dikenali sebagai sider keras. Kebanyakan sider mengandungi 5 peratus hingga 7 peratus alkohol. Sider dihasilkan dengan mengisar epal dan memerah jusnya dengan penekan mekanikal. Jus ini kemudiannya dibiarkan menapai . Dalam proses ini, jus disimpan sehingga yis menukarkan gula dalam jus menjadi alkohol. Sider boleh dibuat cuka sider dengan membiarkan bakteria menukarkan alkohol menjadi asid asetik. Asid ini menjadikan cuka berasa masam. Lihat Cuka. | UMUM | |
NATION, CARRY AMELIA MOORE | Nation, Carry Amelia Moore (1846–1911), terkenal kerana usaha kerasnya untuk memberhentikan penjualan alkohol di Amerika Syarikat dari tahun 1880-an sehingga dia meninggal dunia. Walaupun dia selalu ditangkap kerana mengganggu ketenteraman, namun ramai orang yang tertarik dengan keikhlasan dan keberaniannya. Sesetengah orang menganggapnya sebagai tidak bertolak ansur. Dia mengetengahkan perjuangan yang sederhana itu daripada peringkat pendidikan kepada tingkat tindakan, dan seterusnya membantu mewujudkan larangan penjualan alkohol peringkat kebangsaan pada tahun 1919. (Lihat Larangan ). | UMUM | |
MINUMAN RINGAN | Minuman ringan ialah minuman tanpa alkohol, berperisa, yang disediakan dengan air bergas. Minuman ini dinamakan ringan untuk membezakannya daripada minuman keras (beralkohol). Minuman ringan juga dinamakan sebagai pop soda, soda, atau pop. Kola adalah minuman ringan yang paling banyak digunakan. Perisa lain termasuk lemon, limau nipis, oren, anggur, dan air halia. Minuman ringan popular di banyak negara di dunia. | UMUM | |
MINUMAN BERALKOHOL | Minuman beralkohol ialah minuman yang mengandungi alkohol etil. Minuman beralkohol dihasilkan terutamanya daripada bijirin seperti barli, jagung dan sekoi, ataupun diperoleh daripada buah anggur atau buah-buahan yang lain. | UMUM | |
MEMBRU | Membru ialah proses yang digunakan untuk membuat sesetengah minuman alkohol, terutamanya bir. Ramuan utama yang digunakan untuk membuat bir yang biasa ialah barli, hop, ragi, dan air. Kadang-kadang bijian yang lain juga digunakan. Semua pembuat bir menggunakan proses asas yang sama, iaitu mempelbagaikan ramuan atau masa membru dan suhu untuk memperoleh beberapa jenis bir. Enam langkah pertama ialah: (1) membuat malt, (2) melecek, (3) merebus, (4) penapaian, (5) pematangan, (6) proses akhir. | UMUM | |
KEMABUKAN | Kemabukan ialah suatu keadaan apabila badan mengalami keracunan akibat toksin atau narkotik, alkohol, ataupun dadah yang lain. Bahan tersebut diserap ke dalam darah dan dibawa ke seluruh bahagian badan. | UMUM | |
MOLASES | Molases ialah sirap yang pekat, manis, melekit. Warnanya kekuningan atau perang tua. Molases digunakan untuk membru, memasak, membuat gula-gula, menyuling alkohol, dan sebagai makanan haiwan ternakan. | UMUM | |