Aerial atau disebut juga antena, ialah suatu alat  yang memancar dan menerima isyarat radio,  televisyen dan radar. Isyarat ini dibawa oleh   gelombang elektromagnet (lihat Gelombang  elektromagnet ). Gelombang elektromagnet beredar  menerusi angkasa pada kelajuan cahaya.  Gelombang elektromagnet mempunyai jarak  gelombang berbeza-beza, yang ada kaitan terus  dengan frekuensinya (kadar getaran). Stesen radio,  televisyen, dan radar memancar pada panjang  gelombang yang berlainan dan tidak akan  menyebabkan gangguan isyarat antara satu sama  lain. Terdapat dua jenis pancaran bunyi menerusi  stesen radio, iaitu, modulasi amplitud (AM), dan  modulasi frekuensi (FM). Secara amnya, stesen AM  menggunakan panjang gelombang dalam jarak 10  meter hingga 2000 meter, sementara stesen FM dan  televisyen menggunakan jarak gelombang tiga  meter dan kurang. Isyarat radar menggunakan  panjang jarak gelombang yang hanya beberapa  sentimeter panjang.  |