SANTA ANA | Santa Ana (pend. 135 186) ialah bandar kedua terbesar di El Salvador. Bandar ini merupakan pusat perdagangan yang penting, terutamanya untuk pengeksportan kopi. Kegiatan perindustrian lain yang penting di Santa Ana termasuk pembuatan gula, pembuatan bir, dan pembuatan tekstil kapas, alas kaki dan perabot. Santa Ana juga mempunyai sebuah teater kebangsaan dan sebuah sekolah kesenian. Untuk lokasi, lihat El Salvador (peta politik). | UMUM | |
PAWANG ANA | PAWANG ANA ( ? -? ), penglipur lara Melayu pada abad ke-19. Tarikh dan tempat lahirnya tidak diketahui. Pawang Ana berasal dari Perak. Dia ialah bapa mentua Mir Hassan, juga seorang penglipur lara. Cerita-cerita yang dituturkan oleh Pawang Ana dikumpul pada akhir abad ke-19 oleh R.O. Winstedt, seorang pegawai tadbir British di Tanah Melayu. Usaha pencatatan cerita-cerita ini dilakukan oleh Raja Haji Yahya dari Cendering, Perak. Antara cerita yang dituturkan oleh Pawang Ana termasuklah Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Hikayat Malim Dewa, Hikayat Malim Deman, Hikayat Raja Muda dan Hikayat Anggun Cik Tunggal. | SASTERA | Tokoh |
MIR HASSAN | MIR HASSAN ( ? - ? ), penglipur lara Melayu. Tarikh dan tempat lahirnya tidak diketahui. Dia ialah menantu Pawang Ana. Mir Hassan dan Pawang Ana merupakan tokoh penglipur lara Melayu awal yang mendapat perhatian pentadbir British di Tanah Melayu, terutamanya R.J. Wilkinson dan R.O. Wintedt yang berminat mengkaji kesusasteraan Melayu lama. Tiga buah cerita lipur lara yang dituturkan oleh Mir Hassan ialah Raja Donan, Hikayat Seri Rama dan Raja Ambung. Rangka cerita Raja Donan yang dituturkan oleh Mir Hassan menyerupai bentuk rangka cerita tuturannya yang lain. | SASTERA | Tokoh |
KOTAWARINGIN | KOTAWARINGIN, kerajaan Islam di Propinsi Kalimantan Tengah, Indonesia. Kerajaan ini didirikan oleh Pangeran Adipati Antakusuma, putera Sultan Banjarmasin, Musta’ana Ilah. Pangeran Antakusuma meninggalkan Banjarmasin setelah saudaranya ditabalkan sebagai Sultan Banjarmasin. Dia tiba di Kampung Pembuang. Keinginannya untuk mendirikan kerajaan disambut baik oleh penduduk kampung tersebut, kerana dia keturunan Sultan Banjarmasin. Untuk menjadi raja, harus dimusyawarahkan terlebih dahulu dengan Kiai Gede, pemimpin dari tanah jajahan Hindu-Jawa yang tinggal di Tanjung Pangkalan Batu dan juga para ketua suku Dayak. Dengan persetujuan para ketua suku Dayak dan Kiai Gede, Pangeran Antakusuma ditabalkan menjadi raja dengan gelaran Ratu Bagawan. Tempat bersemayam raja di tanjung Pangkalan Batu, disebut Kotawaringin. Ratu Bagawan juga dikenal dengan Ratu Kotawaringin atau Pangeran Ratu. Sejak itu gelaran Pangeran Ratu dipakai untuk raja-raja yang memerintah kerajaan Kotawaringin. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Kesultanan/Kerajaan/Pemerintahan |
SUARA TUJUH | SUARA TUJUH, antologi puisi. Antologi ini mengandungi 49 buah puisi karya tujuh orang penyair iaitu Usman Awang, Kassim Ahmad, Baha Zain, Kemala, Mokhtar Yassin, Sri Ana (Salleh Haji Yusof) dan Ma’arof Sa’ad. Suara Tujuh disusun oleh Usman Awang bersama-sama Ma’arof Sa’ad dan diterbitkan oleh Syarikat Wijaya, Johor Bahru pada tahun 1969. setiap penyair menyumbang tujuh buah puisi yang ditulis antara tahun 1958 hingga tahun 1969. Antologi ini diberi kata pengantar oleh Syed Husin Ali. | SASTERA | Karya |