BUKIT SILBURY | Bukit Silbury di Wiltshire, England ialah anak bukit terbesar yang dibuat oleh orang zaman purba di Eropah. Bukit itu terletak bersebelahan dengan jalan Bath, 10 kilometer ke barat Marlborough. | UMUM | |
MENARA KUALA LUMPUR | Menara Kuala Lumpur ialah menara komunikasi yang tertinggi di Asia Tenggara. Menara setinggi 421 meter ini terletak di atas Bukit Nanas, Kuala Lumpur. Menara ini dibina berasaskan seni bina yang menggabungkan ciri-ciri ketimuran dan kebaratan serta bersesuaian dengan kebudayaan Malaysia dan reka bentuk Islam. Menara ini telah dirasmikan pada 1 Oktober 1996 oleh Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad. Menara ini dimiliki sepenuhnya oleh Menara Kuala Lumpur Sendirian Berhad (MKLSB), iaitu sebuah anak syarikat TELEKOM Malaysia. | UMUM | |
SUNGAI | Sungai ialah kumpulan air yang banyak, yang mengalir di atas bumi dalam bentuk terusan yang panjang. Kebanyakan sungai bersumber dari gunung atau bukit. Hulu sungai mungkin terjadi daripada padang salji atau glasier yang mencair, mata air, atau tasik yang airnya melimpah. Ketika sungai mengalir, sungai itu menerima lebih banyak air daripada anak sungai dan sungai lain, serta daripada air hujan. Di hujung sungai ialah muara, tempat air sungai mengalir masuk ke sungai yang lebih besar, tasik, atau lautan. | UMUM | |
AVEBURY | Avebury, sebuah kampung di tengah-tengah Wiltshire, terkenal sebagai tapak beberapa struktur prasejarah paling lama di England. Kampung ini terletak di Sungai Kennet, 11 kilometer ke barat Marlborough. Di sana tersergam sebuah bulatan tanah besar yang membentuk sebahagian daripada kubu Zaman Besi. Avebury mempunyai batu-batan dalam bentuk bulatan kira-kira 305 meter lebar. Kebanyakan batunya kira-kira dua meter tinggi, tetapi ada yang setinggi enam meter. Bukit Silbury yang terletak berhampiran adalah tumulus (anak bukit tiruan) yang terbesar di Eropah. | UMUM | |
OASIS | Oasis ialah kawasan subur yang mempunyai tumbuh-tumbuhan di gurun, tempat air bawah tanah berada sangat hampir dengan permukaan tanah bagi mewujudkan telaga dan mata air. Air yang terdapat di oasis asalnya turun sebagai hujan atau salji di gunung atau bukit yang berjauhan. Selepas meresap ke dalam tanah, air ini secara perlahan-lahan meresapi batu-batan yang terdapat di bawah tanah, lalu mengalir ke kawasan rendah di gurun. Ia kemudian timbul semula di permukaan bagi membentuk mata air atau cukup cetek untuk memenuhi telaga. Kawasan yang mempunyai tumbuh-tumbuhan di sepanjang anak sungai yang sentiasa mengalir di gurun, juga dipanggil oasis. | UMUM | |
WAN MUHAMMAD WAN IDRIS | WAN MUHAMMAD WAN IDRIS (1825-1919), pembesar dalam kerajaan Pahang. Dia lahir di Bukit Kota, Pahang. Wan Muhammad telah dilantik oleh Bendahara Seri Wak Raja Wan Ahmad sebagai orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai yang keenam (Tun Raja) pada tahun 1882, menggantikan ayahnya Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai Wan Idris bin Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai Wan Muhammad. Dia adalah anak sultan daripada empat orang adik-beradik. Ibunya ialah isteri kedua Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai Wan Idris. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
LONG JAAFAR | LONG JAAFAR ( ? -1858), pentadbir daerah Larut, Krian dan Bagan Tiang, Perak. Tarikh dan tempat lahirnya tidak diketahui. Long Jaafar dipercayai daripada keturunan Aceh, yang pernah memerintah Perak hampir lebih kurang seratus tahun pada pertengahan abad ke-16 hingga awal abad ke-17. Long Jaafar ialah cucu Pandak Jamaluddin, Orang Besar Enam Belas Perak yang pertama dengan gelaran Dato’ Paduka Setia, dan anak Alang Allaidin, Orang Besar Lapan. Long Jaafar mula dikenal pada zaman pemerintahan Sultan Abdullah Muazzam Shah (m.m. 1819-1930) memegang jawatan Dato’ Panglima Bukit Gantang dan berkahwin dengan sepupunya, Ngah Pura, anak Dato’ Alang Alaidin. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
RAJA ALI KELANA RAJA MUHAMMAD YUSUF | RAJA ALI KELANA RAJA MUHAMMAD YUSUF (? – 1927), penulis dan tokoh agama. Tarikh dan tempat lahirnya tidak diketahui. Nama sebenarnya ialah Raja Ali. Dia ialah anak Raja Muhammad Yusuf, Yang Dipertuan Muda Riau yang ke-10. Gelaran ‘Kelana’ ditambah di hujung nama Raja Ali sebagai tanda dia telah dilantik sebagai calon Yang Dipertuan Muda. Walau bagaimanapun, jawatan itu akhirnya disandang oleh Raja Abdul Rahman (saudaranya berlainan ibu) akibat campur tangan Belanda. Di Riau, Raja Ali Kelana dikenal sebagai Engku Ali Johor, manakala di Johor dan Singapura, dia dikenal sebagai Engku Ali Riau. Di Pulau Penyengat, dia digelar Engku Ali Bukit. | SASTERA | Tokoh |
PAYAKUMBUH | PAYAKUMBUH, kotamadya dan ibu kota kabupaten Lima Puluh Kota di bahagian timur Propinsi Sumatera Barat, Indonesia. la terletak di sekitar pergunungan Bukit Barisan. Luas wilayahnya ialah 8042 km persegi. Kotamadya Payakumbuh dilintasi oleh Sungai Agam, Batang Lampasi dan anak Sungai Sinaman. Menurut sejarahnya, perkataan payakumbuh berasal daripada bahasa Minangkabau 'kumbuah nan payau' yang bermaksud 'kumbuh yang subur'. Kumbuh adalah sejenis tanaman yang tumbuh di paya. Tanaman ini dahulu banyak terdapat di Koto Nan Gadang. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Bandar/Negeri/Negara/Tempat |