ANYAMAN | Hasil daripada satu proses menjalinkan helaian atau jaluran daun, lidi, rotan, akar, buluh dan beberapa jenis tumbuhan lain dengan cara menyusun dan menyusupkannya antara satu sama lain. Bahan asas ini dikeringkan dan dibentuk (memanjang, halus, nipis) terlebih dahulu sebelum proses anyaman dimulakan. | BUDAYA | Kraf Tangan |
RAYON | Rayon ialah sejenis serat yang dibuat di kilang. Serat rayon ini diperbuat daripada kayu atau kapas. Ia digunakan dengan meluas dalam pembuatan bahan industri serta tekstil anyaman dan tenunan untuk pakaian dan perhiasan fabrik. Sesetengah fabrik yang diperbuat daripada rayon diolah khas supaya kalis haba dan digunakan dalam bahagian tertentu pesawat angkasa lepas. | UMUM | |
KELARAI | KELARAI, corak anyaman tikar. Kegiatan menganyam tikar di Malaysia merupakan satu seni tertua. Ini dibuktikan dengan kesan arkeologi yang dijalankan di Gua Cha di Kelantan. Daripada taksiran awal, kegiatan ini telah diusahakan lebih daripada 1000 tahun yang lalu. | BUDAYA | Kraf Tangan |
TIKAR | TIKAR, sejenis anyaman yang boleh digunakan sebagai alas duduk dalam masyarakat Melayu. Tikar luas penggunaannya dalam kehidupan masyarakat lama Melayu. Betapapun bersihnya lantai atau telah sedia ada alas di lantai, namun bagi memenuhi adat resam, apabila sesuatu ruang atau tempat hendak digunakan sebagai tempat duduk, lazimnya akan dibentangkan tikar terlebih dahulu. Maka itu umumnya rumah orang Melayu mempunyai tempat khas menyimpan tikar yang digulung dengan kemas. Tikar yang baik mutunya akan dibalut dengan kain apabila menyimpannya. | BUDAYA | Alat/Alatan |
ALAS KAKI | ALAS KAKI, pakaian kaki seperti selipar, sepatu, kasut kayu, kasut rumput (selipar daripada anyaman rumput), capal, terompah, sandal dan lain-lain. | BUDAYA | Konsep |
AFRIKA SELATAN, SENI | Afrika Selatan, Seni. Seni di Afrika Selatan telah bermula sejak beribu-ribu tahun yang lalu dengan karya seni orang San. Mereka mengukir batu-batu tongkol dan melukis dinding-dinding gua serta tempat perlindungn mereka yang diperbuat daripada batu (lihat Khoisan ). Seni suku kaum primitif Afrika Selatan menerima pengaruh yang kuat daripada suku kaum kulit hitam Afrika yang berhijrah masuk dari utara. Suku kaum tersebut meneruskan tradisi kuno dalam seni pahat/ukir, seni anyaman bakul, seni tembikar, dan membuat manik. | UMUM | |
SENI KHAT | Seni khat ialah seni tulisan huruf Jawi yang mengandungi nilai keindahan dan gaya estetik. Seni khat dibentuk menjadi memanjang, memendek, membulat, membujur, merentang, menegak, bersegi, condong dan sebagainya. Ayat- ayat al-Qur’an, hadith-hadith nabi dan kata-kata hikmat sering kali dipetik dan dijadikan penulisan khat. Keindahan seni khat bukan sahaja dirakamkan atas kertas seperti tulisan al-Qur’an, kitab dan surat tetapi juga atas kain, kulit, logam, tembikar, kaca, batu nisan, kayu, mimbar, mahkota dan plastik. Seni khat ini boleh dirakamkan dalam bentuk sulaman, anyaman, tekatan, lukisan, dan sebagainya. Penemuan terawal seni khat di Malaysia ialah yang terdapat pada batu bersurat Terengganu pada tahun 1303. | UMUM | |
BAKUL | BAKUL, bekas untuk mengisi barang, yang dianyam daripada bahan yang senang dilengkung dan dijalin seperti rotan, buluh, mengkuang, purun, bemban dan lain-lain. Menganyam bakul bermula dari dasar membawa ke atas bagi semua reka bentuk. Apabila selesai ukuran yang dikehendaki, anyaman dikemaskan dan dimatikan dengan jalinan rotan halus atau bemban, ataupun diapit dengan gelang rotan atau buluh di mulut bakul dan kemudian dijalin untuk meneguhkannya. | BUDAYA | Kraf Tangan |
GILA | GILA, suatu keadaan mental yang tidak sihat atau tidak waras. Gila melambangkan tiga suasana atau keadaan. Suasana pertama, menggambarkan keadaan kesihatan iaitu seseorang itu dikatakan tidak sihat atau tidak waras fikirannya ekoran kerosakan yang berlaku pada otaknya, misalnya otak miring atau tiga suku dan gila isim. Suasana kedua, menggambarkan suatu keadaan yang lain daripada biasa ataupun yang tidak mengikuti kelaziman, misalnya seperti anyam gila iaitu suatu bentuk anyaman yang tidak menentu coraknya. Suasana ketiga, menggambarkan suatu keadaan yang asyik, sayang atau cinta yang amat sangat, misalnya gila bayang, gila talak, gila judi, gila pangkat dan gila perempuan. | BUDAYA | Penyakit |