ARKIB | Arkib ialah koleksi maklumat sejarah. Saiz arkib berbeza-beza daripada arkib negara yang besar sehingga kepada koleksi fail di sekolah dan kolej atau di premis syarikat swasta. Banyak organisasi kerajaan mempunyai arkib. Contohnya, di England dan Ireland, arkib dikenali sebagai pejabat rekod kaunti . Pejabat ini merekodkan topik seperti perbicaraan mahkamah tempatan; mesyuarat badan-badan kerajaan tempatan; pembangunan jalan raya, jambatan dan landasan kereta api; pasar tempatan dan perincian mengenai keluarga tempatan. | UMUM | |
ARKIB NEGARA MALAYSIA | Arkib Negara Malaysia ialah organisasi pentadbiran yang bertanggungjawab terhadap penyimpanan dan pemeliharaan khazanah persuratan yang berkaitan dengan sejarah negara. Arkib juga membekalkan maklumat bagi kepentingan masyarakat. Arkib Negara ditubuhkan pada 1 Disember 1957 dengan nama Pejabat Rekod Awam Malaya. | UMUM | |
MEMORIAL TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA | Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, memorial yang menyimpan dan mempamerkan barang-barang milik Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Ia ditubuhkan untuk mengingati dan mengenang jasa dan sumbangan Tunku Abdul Rahman Putra kepada negara. Memorial ini menjaga, menyimpan, dan memulihara segala bahan-bahan arkib, muzium dan perpustakaan milik Tunku Abdul Rahman Putra dan hal-hal yang berkaitan dengannya, mempamerkan kepada pelawat bahan-bahan miliknya dan yang berkaitan dengannya,dan menyediakan kemudahan rujukan kepada penyelidik tentang sejarah perjuangan, jasa serta sumbangan Tunku Abdul Rahman Putra kepada negara. Memorial ini turut berperanan menimbulkan kesedaran dan nasionalisme kepada generasi sebagai monumen yang kekal sebagai peninggalan sejarah, dan untuk menjadikannya sebagai salah satu tarikan kepada pelancong. | UMUM | |
ZAKIAH HANUM HAJI ABDUL HAMID, DATO' | ZAKIAH HANUM HAJI ABDUL HAMID, Dato’ (1937- ), Ketua Pengarah Arkib Negara yang pertama. Dia lahir pada 15 September 1937 di Alor Setar, Kedah. Dia mendapat pendidikan di Kampung Baru Girl’s School, Alor Setar, Sekolah Sultanah Asma, Alor Setar (1947-1955) dan Methodist Boy’s School, Pulau Pinang (1956-1957). Zakiah Hanum berkelulusan Pengajian Melayu dari Universiti Malaya Singapura dan Kuala Lumpur. Dia juga merupakan salah seorang daripada beberapa anak Melayu yang berjaya ke universiti pada waktu itu. | BUDAYA | Tokoh |
MUZIUM TANAMAN | Muzium tanaman, gedung simpanan dan arkib pokok-pokok tanaman yang mempamerkan data-data lengkap seperti rekod geografi, ekologi, sejarah, keterangan etnobotani dan data penyelidikan. | PERTANIAN | Institusi/Organisasi |
PERPUSTAKAAN NEGARA MALAYSIA | PERPUSTAKAAN NEGARA MALAYSIA, perpustakan induk yang menyimpan khazanah ilmu dalam pelbagai bentuk dan jenis dan memberi perkhidmatan kepada pembaca, penyelidikan dan pengguna am. Perpustakaan Negara terletak di jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Perpustakaan Negara bermula sebagai sebuah perpustakaan negeri di Arkib Negara pada tahun 1966 dan kemudian menjadi sebuah Perpustakaan Persekutuan pada tahun 1977. Ketua Pengarahnya yang pertama ialah Paul C. Ratchaga. Pada tahun 1990, Perpustakaan Negara diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan. Tujuan dan maksud Perpustakaan Negara termaktub dalam Akta Perpustakaan Negara (pindaan) 1987. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |
PANDURANGA | PANDURANGA, sebuah negeri dalam kerajaan Campa. Majoriti penduduknya orang Cam daripada rumpun Melayu. Mereka beragama Islam dan ada juga penganut Hindu. Panduranga, khususnya kawasan Cana, terkenal sebagai kawasan garam terbesar di Campa. Panduranga juga tempat tinggalan candi seperti Po Kluang Garay dan Po Rome, dan arkib dalam bentuk manuskrip bertulisan huruf Cam, Nom dan Cina. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Bandar/Negeri/Negara/Tempat |
AUSCHWITZ | Auschwitz ialah pusat buruh paksa dan penghapusan yang dilakukan oleh Nazi Jerman semasa Perang Dunia II (1939–1945). Lebih kurang satu juta orang mati di Auschwitz dari bulan September 1941 hingga bulan Januari 1945. Nazi menggunakan bilik gas dan cara lain untuk membunuh hampir kesemua mangsa. Manakala buruh paksa yang lain mati kerana kebuluran atau penyakit, dan sebahagian yang lain pula dipaksa berkerja di kilang-kilang berhampiran hingga mereka mati. Kebanyakan mangsa di Auschwitz ialah orang Yahudi. Nazi membunuh mereka sebagai sebahagian daripada rancangan mereka untuk membunuh semua orang Yahudi di Eropah. Auschwitz terletak di Poland, berhampiran sebuah tempat yang kini dikenali sebagai Oswiecim. Pusat ini terdiri daripada tiga buah kem tahanan, dibina antara tahun 1940 hingga tahun 1942. Kini, Auschwitz ialah sebuah muzium dan arkib yang dikekalkan oleh kerajaan Poland. | UMUM | |