ANEURISME | Aneurisme ialah bonjol bak belon yang terbentuk di kawasan dinding arteri atau vena yang lemah. Aneurisme yang paling berbahaya adalah yang berlaku dalam arteri, terutamanya arteri otak dan aorta, arteri utama dari jantung. Kebanyakan aneurisme terhasil daripada aterosklerosis , penyakit yang disebabkan oleh timbunan kolesterol pada dinding arteri. Sebab-sebab lain aneurisme termasuk gangguan genetik atau kecacatan lain yang wujud semasa lahir. | UMUM | |
ARTERI | Arteri ialah nama tiub atau salur darah yang melaluinya darah dipam keluar dari jantung ke berbagai-bagai bahagian tubuh. Darah yang dibawa oleh kebanyakan arteri itu merah terang kerana darah ini telah mengambil oksigen semasa melalui paru-paru. Akan tetapi darah yang mengalir melalui arteri yang menghubungkan ventrikel sebelah kanan jantung dengan paru-paru belum lagi mengambil oksigennya. Darah ini berwarna kecoklat-coklatan. Jika arteri itu terpotong, darah akan memancut keluar secara bersamaan dengan degupan jantung. Vena berbeza daripada arteri oleh sebab vena membawa darah balik ke jantung, bukannya membawa darah keluar dari jantung. Jika vena terpotong maka darah mengalir daripadanya dalam aliran yang sekata. | UMUM | |
ARTERIOSKLEROSIS | Arteriosklerosis ialah sejenis penyakit arteri. Penyakit ini selalu dikenali sebagai “pengerasan arteri” kerana ia melibatkan pengerasan, penebalan, dan kehilangan kekenyalan pada dinding arteri. | UMUM | |
NADI | Nadi disebabkan oleh regangan arteri yang berlaku selepas setiap denyutan jantung. Ia boleh dirasa dengan meletakkan jari tangan pada pergelangan tangan atas dari ibu jari, pada arteri radial. Nadi juga boleh dirasa dengan menyentuh pelipis tempat terletak arteri temporal, dan di lain-lain tempat pada badan tempat arteri berhampiran dengan permukaan kulit. | UMUM | |
TALI PUSAT | Tali pusat ialah satu struktur berupa tali yang menghubungkan janin (bayi yang belum dilahirkan) kepada plasenta (uri). Tali pusat mengandungi dua arteri dan satu vena. Arteri membawa darah yang mengandungi hasil sisa daripada janin ke plasenta. Vena pula membawa darah yang mengandungi oksigen dan bahan makanan daripada darah ibu kepada janin. Apabila bayi itu dilahirkan, doktor akan memotong tali pusat kira-kira 5 sentimeter daripada abdomen bayi, dengan berhati-hati. | UMUM | |
TEKANAN DARAH | Tekanan darah ialah tekanan yang dikenakan oleh darah terhadap dinding arteri. Jumlah tekanan ini bergantung pada kekuatan dan kadar kontraksi jantung, isi padu darah dalam sistem peredaran darah, dan keanjalan arteri. | UMUM | |
AORTA | Aorta adalah arteri yang paling besar dan paling panjang dalam tubuh. Cabangnya yang banyak mengedarkan darah tulen ke seluruh tubuh. | UMUM | |
ANGIOPLASTI | Angioplasti ialah teknik membuka arteri yang tersumbat oleh mendapan kolesterol, kalsium, dan bahan-bahan lain. Mendapan sedemikian dinamakan plak . | UMUM | |
PERDARAHAN | Perdarahan ialah keadaan keluarnya darah dari pembuluh darah. Perdarahan berlaku apabila arteri, vena, atau kapilari pecah. Pecah mungkin disebabkan oleh kecederaan, hakisan , atau kehausan, yang terhasil melalui proses tak normal seperti ulser, keradangan, atau kanser. Doktor menamakan perdarahan yang teruk hemoraj. | UMUM | |
STETOSKOP | Stetoskop ialah sejenis alat yang digunakan oleh doktor untuk mendengar bunyi yang dihasilkan oleh organ tertentu dalam tubuh, seperti jantung, paru-paru, usus, vena, dan arteri. Stetoskop dapat mengesan bunyi daripada organ ini serta menahan bunyi lain daripada mengganggu. Kaedah mendengar ini, yang dikenali dengan istilah auskultasi, dapat membantu doktor mengenal pasti penyakit. Doktor boleh mengesan perubahan bunyi organ yang disebabkan oleh penyakit yang berlainan jenis. | UMUM | |