EJAAN DAN TULISAN RENCONG | EJAAN DAN TULISAN RENCONG, sistem ejaan dan tulisan asli peribumi Asia Tenggara. Tulisan ini masih kontroversi dari segi tempat asal dan namanya. Ada pengkaji yang mengatakan bahawa tulisan ini berasal daripada tulisan India, iaitu daripada tulisan Devanagari atau Pallava yang diubahsuai, sehingga membentuk satu jenis tulisan baharu yang berlainan daripada tulisan yang asal. Terdapat juga pengkaji yang mengatakan bahawa tulisan ini ialah tulisan asli peribumi Asia Tenggara, bukan pinjaman daripada tulisan India.
| BAHASA | Bahasa |
SAFAR | Safar adalah bulan kedua mengikut Takwim Hijrah. Nama tersebut mula digunakan sekitar tahun 412 M., iaitu pada zaman Kilab ibn Murrah; datuk Nabi Muhammad s.a.w. yang kelima. Terdapat beberapa pandangan tentang asal usul nama Safar. Ada yang berpendapat bahawa nama Safar diambil daripada nama sebuah kawasan, iaitu al-Safariyyah. Pendapat lain pula menyatakan bahawa ia diambil daripada nama pasar al-Safariyyah yang terletak di selatan Semenanjung Tanah Arab, iaitu di Yaman. Orang Arab sering berulang-alik ke pasar tersebut untuk menjalankan aktiviti perniagaan. | UMUM | |
AINU | Ainu ialah sekumpulan penduduk yang mungkin merupakan penduduk pertama Jepun. Kini terdapat 15 000 orang Ainu yang kebanyakannya tinggal di Hokkaido, salah sebuah pulau utama Jepun yang terletak paling utara. Sesetengah ahli antropologi berpendapat bahawa kaum Ainu ada hubungannya dengan orang Eropah. Ada ahli antropologi yang lain pula berpendapat bahawa orang Ainu ada kaitan dengan orang Asia atau Orang Asli Australia, penduduk asal Australia. | UMUM | |
SYAIR AGUNG | SYAIR AGUNG, puisi Melayu tradisional. Syair Agung merupakan syair Melayu bercorak romantis yang terpanjang di dunia. Jumlah rangkapnya ialah 9341. Naskhah asal syair ini ada tersimpan di Perpustakaan Universiti Malaya, Kuala Lumpur dengan nombor rujukan MS 20. Naskhah ini terdapat dalam tiga jilid. Jilid pertama mengandungi 408 halaman, jilid kedua 307 halaman dan jilid ketiga 281 halaman. Jumlah halaman keseluruhan ialah 996. Ukuran naskhah ialah 21 cm x 17 cm. | SASTERA | Konsep |
WAYANG KULIT | WAYANG KULIT, seni lakon yang menggunakan watak-watak patung yang digerak-gerakkan. Asal usul wayang kulit tidak diketahui dengan jelas. Mengikut Oto Spies, Sabri East Siya Siyavusyil dan William Ridgewary, wayang kulit berasal dari India. Berhold Lauter mencatatkan bahawa negara China merupakan tempat asal wayang kulit. Hazeu pula menjelaskan bahawa wayang kulit berasal dari Jawa kerana terdapat perkataan Jawa kuno dalam wayang kulit Purwa. Ada juga pendapat yang menjelaskan bahawa wayang kulit berasal dari India kerana wayang kulit di Asia Tenggara menceritakan tentang epik Hindu, iaitu Mahabrata dan Ramayana. | BUDAYA | Drama/Filem/Teater/Persembahan |
SYAIR AWANG SEMAUN | SYAIR AWANG SEMAUN, puisi Melayu tradisional. Syair ini ialah sebuah syair sejarah yang menceritakan permulaan sejarah Brunei dan asal usul rajanya. Syair ini hanya terdapat di Brunei. Dalam koleksi manuskrip Melayu yang tersimpan di Muzium Brunei tersimpan empat jilid syair ini bertaip dalam tulisan Rumi. Terdapat sembilan syair ini dalam koleksi Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei yang terdiri daripada beberapa versi yang lengkap dan tidak lengkap. Ada beberapa di antaranya yang merupakan versi otentik dalam tulisan Jawi, sementara yang lain adalah salinan dalam tulisan Rumi. | SASTERA | Konsep |
ENAPAN | Enapan ialah batu pelbagai saiz, pasir atau lumpur yang diangkut oleh agen hakisan dan dibawa ke tempat lain. Ia diangkut oleh air, angin atau glasier setelah batuan asal diluluh hawa dan dihakis, dan kemudian dilonggok pada dasar lembah takungan sama ada di sungai, tasik, lautan atau padang pasir. | GEOGRAFI DAN GEOLOGI | Proses/Tindak Balas |
AUSTRALIT | Australit ialah batu kecil, berbentuk kaca yang ditemui di bahagian selatan Australia. Para pelombong terdahulu menamainya batu butang, butang lelaki gelap, atau batu emu. Kebanyakan batu ini bergaris pusat kira-kira 2.5 sentimeter dan berwarna hitam atau hijau pekat. Batu yang sama telah dijumpai di bahagian lain di dunia ini. Ahli sains menamai batu ini sebagai tektit, tetapi mereka kurang pasti asal usul batu ini. Beberapa orang ahli sains percaya bahawa tektit ialah meteorit kecil. Ada pula yang percaya bahawa ia adalah hasil perlanggaran meteorit. Lihat Tektit. | UMUM | |
PERBILANGAN ADAT | PERBILANGAN ADAT, ungkapan yang dicipta dan diamalkan oleh masyarakat yang lazimnya duduk dalam lingkungan adat perpatih, sama ada di Negeri Sembilan dan sekitarnya, atau di negeri asal adat perpatih iaitu Minangkabau. Ungkapan ini mengandungi pengertian khusus. | SASTERA | Konsep |
KUTAI | KUTAI, kerajaan tertua di Indonesia. Kerajaan ini dipercayai tertubuh sekitar tahun 400 M. Lokasi sebenar kerajaan Kutai ialah sekitar Muarakaman, Martapura. Nama Muarakaman sebetulnya berasal daripada nama Mulawarman. Kerajaan Kutai mendapat pengaruh dari Jawa. Kutai juga pernah berhubung dagang dengan China. Ada yang berpendapat bahawa nama asal Kutai berasal daripada bahasa China ‘Kho Thay’ bererti sebuah kerajaan besar. Batu bersurat tertua ditemui di Muarakaman. Batu bersurat tersebut ditulis dengan huruf Pallawa dalam bahasa Sanskrit. Bentuk huruf Pallawa yang digunakan sama dengan huruf Pallawa pada tahun 400 M. di India Selatan. Batu bersurat ini menunjukkan bukti kemasukan pengaruh Hindu dalam kerajaan Kutai. Kuddungga ialah nama asli kerajaan Kutai, manakala Acvavarman dan Mulavarman ialah nama yang mendapat pengaruh Hindu. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Kesultanan/Kerajaan/Pemerintahan |