Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) ialah pertubuhan yang dianggotai lebih daripada 150 buah negara yang berusaha untuk menubuhkan satu sistem pembayaran dan perdagangan antarabangsa yang cekap. IMF berusaha untuk membantu negara anggota mencapai pertumbuhan ekonomi yang pantas, tahap guna tenaga yang tinggi dan meningkatkan taraf hidup. IMF bertindak sebagai agensi perunding kewangan antarabangsa dan masalah hutang. Anggota pertubuhan ini bekerjasama untuk mengekalkan persetujuan pertukaran yang teratur antara negara. IMF ditubuhkan selepas Persidangan Bretton Woods pada tahun 1944. Ia mula beroperasi pada tahun 1947 dengan tabung kewangan bernilai AS$9 bilion dalam bentuk mata wang dan emas. IMF menggunakan tabung itu untuk membantu negara anggota untuk menyelesaikan masalah imbangan pembayaran. Pada tahun 1969, IMF mengadakan sejenis aset simpanan yang dikenali sebagai Hak Pengeluaran Khas (SDR – Special Drawing Rights) sebagai tambahan kepada simpanan mata wang dan emas antarabangsa. Sehingga awal tahun 1990-an, IMF mempunyai aset bernilai lebih kurang AS$120 bilion. |