MUMTAZ JAAFAR | Mumtaz Jaafar (1962– ), atlet Malaysia. Dia lahir pada tahun 1962 di Kuala Lumpur. Kerjaya awalnya ialah pegawai bank. Dia banyak memegang jawatan utama dalam organisasi sukan olahraga, antaranya Naib Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) dan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Wanita KOAM. Dia kini, menjadi jurulatih khas untuk pelari pecut negara, Watson Nyambek. Penglibatan awal Mumtaz dalam sukan olahraga terutamanya dalam acara lari 100 meter, 200 meter, 4 x 100 meter, dan 4 x 400 meter, bermula dengan menyertai kejohanan-kejohanan anjuran Majlis Sukan Sekolah-sekolah Selangor (MSSS) dan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM). Namanya terus menyinar apabila banyak meraih kejuaraan tempatan, antaranya juara Kejohanan Terbuka Kebangsaan, Kejohanan Antara Bank, dan Kejohanan MAKSAK. | UMUM | |
SCHELLING, FRIEDRICH WILHELM JOSEPH VON | Schelling, Friedrich Wilhelm Joseph von (1775–1854) ialah ahli falsafah Jerman. Karya awalnya difahamkan sebagai penyambung penting antara Immanuel Kant dengan Johann Gottlieb Fichte pada satu pihak, dan G.W.F. Hegel pada satu pihak lagi. Karya ini memaparkan idealisme dan romantisisme Jerman. System of Transcendental Idealism (1800), ialah karya Schelling yang utama pada zaman remajanya. Dia kemudian mengkritik karyanya yang awal dan falsafah Hegel sebagai “falsafah negatif”. Schelling cuba mengembangkan “falsafah positif” yang menekankan pendedahan dan pengaruh eksistensialisme. | UMUM | |
DEWAN MASYARAKAT | DEWAN MASYARAKAT, majalah bulanan bacaan umum, diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur sejak 15 September 1963. Majalah yang mengandungi 60 halaman ini berukuran 21 cm x 28 cm dan merupakan majalah kedua terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka selepas majalah Dewan Bahasa. Pada peringkat awalnya, majalah ini diterbitkan pada setiap 15 hari bulan, tetapi mulai keluaran Jun 1986, majalah ini diterbitkan pada setiap awal bulan. Pengarang pertamanya ialah Kamaluddin Muhammad (Keris Mas). Dia memegang jawatan itu hingga bulan Januari 1967. Mulai Februari 1967, jawatan pengarang dinaikkan tarafnya kepada ketua pengarang. Keris Mas terus memegang jawatan tersebut hingga bulan Julai 1975. Mulai bulan Ogos 1975, jawatan ini dipegang oleh M. Noor Azam. | SASTERA | Penerbitan |
SINGGORA | SINGGORA, kerajaan Melayu Islam yang pernah wujud pemerintahannya selama beberapa ratus tahun di selatan Thailand. Kini, ia merupakan salah sebuah wilayah Melayu-Islam dan lebih dikenal dengan sebutan Siam sebagai Songkhla. Sejarah awalnya dikaitkan dengan sebuah tempat yang dipanggil Chih’tu atau Tanah Merah dalam catatan tradisi awal China pada abad ke-6 M. dan abad ke-7 M. Singgora juga disebut dengan berbagai-bagai nama dan ejaan seperti Singor, Sangora, Sanjura, Senggora, Sung-kra dan Sung-k’a. Sejarah Melayu merakamkan serangkap pantun mengenai Singgora. “Telur itek dari Singgora”. Namun begitu, seperti juga nasib negeri-negeri Melayu yang lain di utara Semenanjung Tanah Melayu yang menerima pengaruh penjajahan Siam, nama Singgora dan budaya Melayunya semakin luput. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Kesultanan/Kerajaan/Pemerintahan |
UTUSAN MELAYU | UTUSAN MELAYU, akhbar bertulisan Jawi dan Rumi yang diterbitkan di Singapura oleh Singapura Free Press sejak 7 November 1907. Pada peringkat awalnya, Utusan Melayu diterbitkan tiga kali seminggu iaitu pada hari Selasa, Khamis dan Sabtu bermula dari 7 November 1907 hingga 21 September 1915. Dari tahun 1915 hingga tahun 1921, Utusan Melayu menjadi akhbar harian. Akhbar ini diberhentikan penerbitannya pada tahun 1921. Antara pengarang Utusan Melayu di peringkat awal ialah Mohd. Eunos bin Abdullah (1907-1909), Abdul Hamid bin Miskin (1909-1914), Mohd. Ismail bin Abdul Kadir (1914-1918) dan Syed Sadullah Khan (1918-1921). Pada 29 Mei 1930, Utusan Melayu diterbitkan semula hingga tahun 1938. | SASTERA | Penerbitan |