| KOLESTEROL | Kolesterol ialah bahan lemak yang terdapat dalam semua tisu haiwan. Manusia biasanya menghasilkan kolesterolnya sendiri, tetapi ada juga yang memasuki badan melalui makanan. Mentega, telur, daging berlemak, dan organ-organ dalaman seperti otak dan hati mengandungi banyak kolesterol. | UMUM | |
| SINDROM LESCH-NYHAN | Sindrom Lesch-Nyhan ialah sejenis penyakit keturunan yang jarang ditemui dan boleh mengakibatkan rencatan mental. Sindrom ini berpunca daripada kekurangan hipoksanthinaguanina fosforibosil transferas, sejenis enzim yang terdapat dalam semua sel badan. Enzim ini biasanya terdapat pada paras kandungan yang tinggi di dalam bahagian basal ganglia otak. Basal ganglia ini membantu mengawal pergerakan badan yang tidak disedari. Selain terencat mental, gejala sindrom ini juga merangkumi pergerakan yang tidak terkawal serta kecenderungan mencederakan diri sendiri. | UMUM | |
| BUKAN BUNUH DIRI | BUKAN BUNUH DIRI, drama sebabak karya Dinsman yang ditulis pada tahun 1974. Drama ini dipentaskan kali pertama di Dewan Bandaraya, Kuala Lumpur pada bulan Ogos 1975 oleh Badan Keluarga Dewan Bahasa dan Pustaka, atas arahan penulis sendiri. Drama ini pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Rahmah Bujang bersama-sama Nur Nina Zuhra dalam jurnal Malay Literature (Vol. 1, Julai, 1988) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. | BUDAYA | Drama/Filem/Teater/Persembahan |
| PERTUBUHAN SUKARELA | PERTUBUHAN SUKARELA, badan yang keahliannya secara sukarela. Kebebasan berpersatuan dan kewujudan pertubuhan sukarela adalah satu ciri penting dalam sistem demokrasi. Sungguhpun kebebasan itu perlu disesuaikan dengan keperluan dan kepentingan setempat namun, pertubuhan jenis ini menjadi saluran terpenting bagi manusia memenuhi hasrat dan naluri semula jadi untuk hidup berkelompok atau berkumpulan. Sistem demokrasi menggalakkan kewujudan berbagai-bagai bentuk dan jenis persatuan atau pertubuhan sukarela kerana dengan demikian sahajalah tercapainya suatu bentuk keseimbangan dalam masyarakat yang boleh mengurangkan pula kemungkinan tercetusnya ketegangan yang boleh menggugatkan sistem itu sendiri. | BUDAYA | Persatuan |
| UNDANG-UNDANG TUBUH NEGERI | UNDANG-UNDANG TUBUH NEGERI, Undang-undang Tubuh Kerajaan atau Perlembagaan Negeri-Negeri (Constitution of The State). Kalau dahulunya ia biasa disebut sebagai Undang-undang Tubuh Kerajaan atau Undang-undang Tubuh Negeri tetapi kini ia lebih dikenal sebagai Perlembagaan Negeri. Perlembagaan itu sendiri bolehlah ditakrifkan sebagai suatu sistem undang-undang dan adat yang telah dibentuk dan/atau dibuat oleh suatu badan tertinggi sesebuah negeri bagi tujuan untuk digunakan sebagai garis panduan dalam serba perkara bagi negeri berkenaan. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Konsep |
| SURUHANJAYA PILIHAN RAYA | Kapsyen : Mengundi sebagai satu simbol demokrasi SURUHANJAYA PILIHAN RAYA, sebuah badan atau agensi bebas bertaraf perlembagaan dan menjadi pengawas serta penyelia satu proses dalam sistem demokrasi. Suruhanjaya ini ditubuhkan mengikut perintah Perlembagaan Malaysia (Fasal 114). Dalam menjalankan tugasnya, suruhanjaya bukan saja harus bersikap dan bertindak berkecuali, saksama dan adil, tetapi harus kelihatan demikian, kerana sifat-sifat itu sendiri sudah menjadi sebahagian daripada lunas-lunas demokrasi. Dalam mentadbirkan dan menjalankan fungsinya, Suruhanjaya Pilihan Raya dibekalkan dengan kuasa-kuasa berkanun seperti yang terdapat dalam Perlembagaan Malaysia (Bahagian VIII) serta Jadual Kedua Belas, akta-akta khusus, dan peraturan-peraturan terbitan. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |