| PERWAKILAN BERKADAR | Perwakilan berkadar ialah satu sistem memilih anggota dewan perundangan. Sistem ini dirangka untuk memberi parti politik dalam dewan perundangan kerusi menurut kadar bahagiannya daripada jumlah keseluruhan undi dalam pemilihan. Sistem ini juga menawarkan peluang kepada calon parti minoriti supaya dapat dipilih. Perwakilan berkadar mempunyai tiga ciri asas: (1) tiga orang atau lebih ahli dewan perundangan dipilih dari tiap-tiap daerah pada waktu yang sama; (2) kertas undi dikira dengan cara khas untuk memberikan setiap parti politik bahagian undi yang dibuang; dan (3) biasanya terdapat lebih daripada dua buah parti politik yang aktif. Unsur- unsur ini terdapat dalam Sistem Senarai dan Sistem Hare . | UMUM | |
| MUARA PENTLAND | Muara Pentland ialah laluan laut yang sempit di utara Scotland. Muara ini memisahkan Kepulauan Orkney dengan Wilayah Tanah Tinggi di tanah besar Scotland. Di bahagiannya yang paling sempit, iaitu di antara Tanjung Duncansby dan Brough Ness, muaranya hanya selebar kira-kira 10 kilometer. | UMUM | |
| SIFON | Sifon ialah alat ringkas untuk menyalurkan cecair dari satu paras ke paras yang lebih rendah. Ia terdiri daripada hos atau tiub yang dibengkokkan supaya satu bahagiannya lebih panjang daripada bahagian yang satu lagi. Untuk mula berfungsi, sifon mesti diisi dahulu dengan cecair sepenuhnya. Jika bahagian sifon yang pendek dimasukkan dalam bekas cecair, cecair itu akan mengalir naik ke bahagian tiub yang pendek dan mengalir turun dan keluar dari bahagian tiub yang panjang. | UMUM | |
| SIGNUS | Signus ialah buruj yang terletak di Hemisfera Utara. Ciri buruj ini yang paling menonjol ialah Palang Utara yang terbentuk daripada lima buah bintangnya yang paling terang. Bintang Deneb, iaitu bintang yang paling terang, menandakan bahagiannya yang paling atas yang menghala ke timur laut. Bintang berpasang Albireo pula menandakan bahagian bawahnya yang menghala ke barat daya. | UMUM | |
| SOLANUM | Solanum ialah sekumpulan tumbuhan yang tergolong dalam famili nightshade. Lebih daripada 1000 spesies herba dan pokok renek tergolong dalam kumpulan ini. Ia tumbuh di seluruh dunia, tetapi ia terutamanya banyak terdapat di kawasan tropika utara dan Amerika Selatan, Afrika dan Australia. Sesetengahnya ditanam untuk bunga yang menyerlah, yang lain ditanam untuk bahagiannya yang boleh dimakan. | UMUM | |
| PSIKOLOGI GESTALT | Psikologi Gestalt merupakan satu aliran psikologi yang menekankan kajian tentang pengalaman sebagai suatu kesatuan yang menyeluruh. Ahli psikologi Gestalt percaya bahawa pola , atau bentuk merupakan bahagian pengalaman yang paling mustahak. Menurut mereka, keseluruhan pola memberi makna kepada setiap unsur pengalaman. Dengan kata lain, keseluruhan pola adalah lebih penting daripada jumlah bahagian-bahagiannya . Gestalt berasal daripada bahasa Jerman yang bermaksud pola, bentuk atau susuk . | UMUM | |
| BOWATER INDUSTRIES PLC | Bowater Industries plc ialah kumpulan syarikat antarabangsa yang beribu pejabat di London . Ia dikenali khususnya kerana beberapa bahagiannya yang menghasilkan keluaran pembungkusan dan keluaran yang berkaitan di United Kingdom, barat laut Eropah, dan Amerika Syarikat. | UMUM | |
| BORNEO | Borneo ialah pulau yang ketiga terbesar di dunia. Hanya Greenland dan New Guinea lebih besar daripadanya. Borneo terletak kira-kira 640 kilometer timur Singapura. Kira-kira satu perempat bahagian daripada Borneo terdiri daripada Brunei dan sebahagian Malaysia. Kira-kira tiga per empat bahagiannya adalah sebahagian daripada Republik Indonesia (lihat Indonesia [peta]). | UMUM | |