PETROLEUM | Petroleum adalah salah satu daripada sumber semula jadi yang paling berharga di dunia. Sesetengah orang menamakan petroleum emas hitam , tetapi lebih baik sekiranya ia diperikan sebagai nadi negara perindustrian. Bahan api yang dibuat daripada petroleum membekalkan kuasa kepada kereta, kapal terbang, kilang, kelengkapan ladang, trak, kereta api, dan kapal. Bahan api petroleum juga menjana haba dan tenaga elektrik untuk rumah dan premis perniagaan. Keseluruhannya, petroleum membekalkan hampir separuh daripada tenaga yang digunakan di dunia. | UMUM | |
MENCIUS | Mencius (390? S.M.–305? S.M.) ialah ahli falsafah Cina yang utama. Dia merupakan salah seorang tokoh yang paling berpengaruh dalam perkembangan falsafah Cina yang dikenal sebagai Konfusianisme. Mencius paling terkenal kerana keyakinannya bahawa sifat semula jadi manusia adalah baik. Dia juga percaya bahawa rakyat sesebuah negara mempunyai alasan apabila menggulingkan atau malahan membunuh raja yang zalim. Mencius mentakrifkan raja yang zalim sebagai orang yang mengabaikan kebajikan rakyat dan memerintah mereka dengan tidak bertimbang rasa. Kebanyakan gagasan Mencius terdapat dalam Mengzi (juga dieja Meng-tzu), buku yang mungkin merupakan koleksi ajarannya. | UMUM | |
ADAT PERKAHWINAN MINANGKABAU | ADAT PERKAHWINAN MINANGKABAU, adat perkahwinan yang diamalkan oleh masyarakat Minangkabau yang tinggal di Sumatera Barat, Indonesia. Adat perkahwinan Minangkabau mengikut pola sistem nasab ibu. Fungsi terpenting perkahwinan adalah untuk mengakrabkan hubungan antara kaum, atau menaikkan status dan prestij kaum atau keluarga. Perkahwinan yang paling baik adalah antara anak dengan kemenakan atau anak dengan bako (keluarga sebelah bapa), antara mereka yang telah punya hubungan kerabat dan antara mereka yang sekampung. Baik Islam mahupun adat, melarang perkahwinan sesuku, demi mencegah keterkongkongan suku. Orang yang melanggar adat di pulau atau diusir keluar dari ‘nagari’ (kampung). Satu lagi perkahwinan yang tidak direstui dan melanggar adat ialah perkahwinan dengan janda seorang kerabat, kaum atau tetangga. Orang Minangkabau juga mengamalkan perkahwinan yang unik ialah ganti lapik dan cina buta. Ganti lapik perkahwinan antara seorang duda atau janda dengan saudara pasangannya yang telah meninggal dunia. Perkahwinan ini bertujuan menyambung semula ikatan yang diputuskan oleh takdir. Cina buta disebut juga cendera buta. | BUDAYA | Konsep |
SHEPPARTON | Shepparton (pend. 31 171ialah bandar di Victoria, Australia. Shepparton terletak di Sungai Goulburn, kira-kira 180 kilometer ke utara Melbourne. Shepparton ialah bandar utama di Lembah Goulburn yang subur dan pusat Skim Pengairan Lembah Goulburn. Shepparton mempunyai beberapa buah industri, sebuah pusat membeli-belah yang sangat baik, dan pelbagai kemudahan sukan dan kebudayaan, termasuk sebuah pusat sivik dan galeri seni Shepparton pada asalnya dikenali sebagai McGuire’s Punt. Pada tahun 1853, bandar ini telah dinamakan semula sebagai Shepparton sempena nama perintisnya Sherbourne Sheppard, yang menetap di daerah itu pada tahun 1843. Ia telah diisytiharkan sebagai sebuah bandar pada tahun 1949. | UMUM | |
TIKUS BELANDA | Tikus belanda ialah mamalia kecil di Amerika Selatan. Ia adalah sejenis cavy liar yang dijinakkan. Ahli sains menggunakan haiwan ini dalam eksperimen yang banyak ubat. Tikus belanda juga digunakan untuk penyelidikan dalam bidang kelakuan, keturunan, dan pemakanan. Tikus belanda menjadi haiwan kesayangan yang baik kerana ia jarang menggigit dan mudah dijaga. Tikus belanda adalah rodensia, seperti beaver , tikus dan tupai. Tikus belanda panjangnya dari 25 sentimeter hingga 35 sentimeter dan beratnya lebih kurang 0.5 kilogram. Ia mempunyai kepala yang besar, telinga yang kecil dan kaki yang pendek. Kebanyakan tikus belanda yang semula jadi mempunyai bulu berwarna perang atau kelabu yang panjang, kasar. | UMUM | |
MOHAMMAD SANY ABDUL GHAFFAR, TAN SRI | MOHAMMAD SANY ABDUL GHAFFAR, Tan Sri (1926- ), Ketua Turus Angkatan Tentera yang keenam (1977-1981). Dia lahir pada 19 Januari 1926 di Kampung Pinang Baik, Selayang, Selangor. Dia mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu hingga Darjah Lima dan pendidikan menengah di Victoria Institution, Kuala Lumpur. Persekolahannya terganggu akibat Perang Dunia Kedua pada tahun 1941. Semasa pendudukan Jepun, dia bekerja di Jabatan Pelajaran Jepun dan ditugaskan sebagai Penjaga Kutub Khanah Kuala Lumpur. Semasa berkhidmat dengan Jepun, dia memasuki Marai Koa Kun Rengho di Melaka selama enam bulan. Apabila British kembali memerintah Tanah Melayu, dia menyambung semula persekolahannya di Victoria Institution, Kuala Lumpur hingga memperoleh Senior Cambridge. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |