RIGA | Riga (pend. 875 000) ialah ibu negara dan bandar terbesar di Latvia. Riga ialah pusat perkapalan yang penting, dan lebih separuh keluaran industri Latvia dihasilkan di bandar ini. Bandar ini juga menjadi pusat kebudayaan dan politik Latvia selama beratus-ratus tahun. Bandar ini terletak di hujung selatan Teluk Riga, dan melalui bandar inilah Sungai Dvina Barat (Daugava) mengalir masuk ke teluk tersebut. Untuk lokasi, lihat Latvia (peta). Di bandar ini, kompleks perumahan moden membangun di sekeliling gereja dan rumah-rumah saudagar yang cantik, yang dibina pada Zaman Pertengahan. | UMUM | |
PERANCANGAN BANDAR | Perancangan bandar ialah proses mengawal pertumbuhan bandar dan pekan. Perancang bandar – orang yang mengendalikan proses ini, menasihati kerajaan mengenai cara memajukan komuniti. Mereka juga menasihati kerajaan dan pemaju hartanah yang merancang untuk memajukan komuniti yang baru. | UMUM | |
THEBES | Thebes ialah bandar purba di Boeotia, kawasan di tengah Yunani. Pada suatu masa, Thebes ialah negara kota paling berkuasa di Yunani, dan merupakan ketua persekutuan bandar-bandar yang dikenali sebagai Liga Boeotia. Bandar ini terletak di bahagian tenggara Boeotia, kira-kira 48 kilometer ke utara Athens. Menurut legenda purba, Cadmus, putera dari Phoenicia, mengasaskan Thebes. Bandar ini muncul dalam legenda Oedipus, yang hampir sama terkenal dengan kisah Troy (lihat Oedipus ). | UMUM | |
SPLIT | Split (pend. 235 398 ) ialah bandar di selatan Croatia yang membangun daripada bandar purba Rom. Bandar ini terletak di pantai Lautan Adriatik (lihat Croatia [peta]). Namanya dalam bahasa Itali ialah Spalato. Bandar Split pada asalnya didirikan pada sekitar tahun 295 M. dan ia termasuk dalam lingkungan tembok kota batu yang mengelilingi istana Maharaja Rom, Diocletian. Tinggalan istana ini masih lagi ada yang kini menjadi pusat bandar Split. Tinggalan bangunan Rom purba ini memberikan satu contoh yang paling baik tentang seni bina Rom. Hari ini, Split merupakan pelabuhan penting dan juga pusat bagi perindustrian – terutama sekali industri pembinaan kapal. Sebuah loji janakuasa hidroelektrik yang besar terletak tidak jauh dari bandar ini. | UMUM | |
SPA | Spa ialah bandar-bandar yang terletak di kawasan mata air semula jadi atau telaga. Di Eropah, spa menjadi popular semasa pemerintahan Rom. Orang ramai percaya bahawa sulfur, nitrat atau air garam yang terkandung dalam air spa dapat menyembuhkan pelbagai penyakit. Orang Rom telah membina tempat mandi di Bath dan St. Albans di England. | UMUM | |
SALEM | Salem (pend. 38 264) ialah bandar di Massachusetts, Amerika Syarikat. Bandar ini merupakan salah sebuah bandar yang penuh sejarah di New England serta tempat pengadilan tukang sihir pada tahun 1690-an. Pada sekitar tahun 1850-an, Salem menjadi pusat industri kapas. Kini keluaran bandar ini meliputi kabel, mentol denyar, permainan, lampu, plastik, dan keluaran kulit. Salem State College terletak di Salem. Banyak rumah yang bersejarah terletak di bandar ini termasuk rumah tempat lahir Nathaniel Hawthorne dan House of Seven Gables. | UMUM | |
SEATTLE | Seattle (pend. bandar–516 259; kawasan metropolitan–1 972 961) ialah bandar raya terbesar di Washington, Amerika Syarikat. Bandar raya ini merupakan pusat pengeluaran, perdagangan, dan pengangkutan yang penting di Barat Laut Pasifik. Bandar raya ini terletak di pantai timur Selat Puget, kira-kira 200 kilometer dari Lautan Pasifik melalui Selat Juan de Fuca. Kedudukan Seattle telah membantunya menjadi pintu masuk ke Alaska dan Timur Jauh. Lebih kurang dua per lima penduduk Washington tinggal di kawasan metropolitan Seattle. | UMUM | |
NEW PLYMOUTH | New Plymouth (pend. 48 519) ialah sebuah bandar di Pulau Utara, New Zealand. Bandar ini merupakan bandar utama dan pelabuhan Taranaki, yang pernah satu masa dahulu dinamai <i> provinsi New Plymouth i>. New Plymouth menjadi pangkalan pengeluar gas luar pantai yang amat besar. Bandar yang terletak di bawah cerun utara Gunung Egmont ini mempunyai beberapa pantai. Taman Pukekura, adalah salah satu taman yang mempunyai pemandangan yang paling indah di New Zealand. Muzium Taranaki dan balai seni lukis terletak berhampiran pusat bandar. Gereja St. Mary, yang dibuka pada tahun 1846, merupakan salah satu gereja batu tertua di New Zealand. | UMUM | |
SUSSEX | Sussex ialah kaunti yang besar di pantai barat daya England. Ramai orang bercuti mengunjungi bandar-bandar tepi pantainya pada musim panas. Kebanyakan penduduk Sussex tinggal berdekatan dengan kawasan pantai dan berulang-alik ke London kerana bekerja. Salah satu daripada pertempuran masyhur dalam sejarah Britain berlaku di Sussex berhampiran bandar Hastings pada tahun 1066. Pada pertempuran ini, Duke William dari Normandy mengetuai serangan yang berjaya menakluki England dan menjadi King William I (the Conqueror). | UMUM | |
PULAU HABA BANDAR | Peningkatan suhu di kawasan bandar berbanding dengan suhu di kawasan sekitarnya (luar bandar). Perbezaan suhu amat jelas pada waktu malam dengan perbezaan dalam lingkungan 6° hingga 12°C. | GEOGRAFI DAN GEOLOGI | Konsep |