PERSATUAN LINGUISTIK MALAYSIA (PLM) | Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), pertubuhan bahasa. Pertubuhan ini memperjuangkan bahasa melalui kegiatan bahasa dan mengeratkan perhubungan antara pengkaji dengan peminat bahasa. Antara kegiatan yang dijalankan oleh PLM ialah Hadiah Bahasa, Forum Remaja, Syarahan Raja Ali Haji, seminar, bengkel, ceramah, kursus bahasa dan penerbitan buku dan jurnal linguistik. | UMUM | |
W.S. RENDRA | W.S. RENDRA (1935 - ), penyair Indonesia. Dia lahir pada 7 November 1935 di Solo, Indonesia. Nama sebenarnya ialah Willibrordus Surendra Broto. Selepas memeluk agama Islam, dia menukar namanya kepada Wahyu Sulaiman. Rendra mendapat pendidikan di Fakulti Sastra, Universitas Gadjah Mada, Indonesia dan American Academy of Dramatical Arts, Amerika Syarikat. Setelah kembali ke Indonesia pada tahun 1968, dia menubuhkan Bengkel Teater. Antara muridnya ialah Putu Wijaya. Melalui Bengkel Teaternya, Rendra menghasilkan teater yang lain daripada drama biasa. | SASTERA | Tokoh |
JARATAN | JARATAN, kota pelabuhan di Jawa Timur pada abad ke-17. Jaratan merupakan pelabuhan kedua penting selepas Gresik. Pelabuhan Jaratan mempunyai dermaga dan bengkel membaiki kapal. Kapal yang berat muatannya antara 40 tan hingga 100 tan dapat berlabuh di sini. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Bandar/Negeri/Negara/Tempat |
MURDOCK, WILLIAM | Murdock, William (1754–1839), pereka cipta Scotland yang membuat beberapa pembaikan penting enjin kuasa stim dan juga menjumpai cara mendapatkan gas daripada batu arang. Dia turut mencipta simen-besi. Dia digaji oleh Matthew Boulton dan James Watt untuk memasang enjin pam ke lombong Cornish (lihat Boulton, Matthew; Watt, James). Pada tahun 1785, dia mencipta dengan jayanya sebuah model enjin untuk menarik kereta kuda. Dia memasang lampu menggunakan gas di rumahnya di Redruth. Pada tahun 1802, dia memasang gas di bengkel majikannya. Dia menyedari bahawa jet gas lebih terang apabila gas itu dipecahkan kepada beberapa jet kecil. Penggunaan gas untuk lampu jalan raya telah dimajukan secara persendirian oleh Murdock, dan banyak pengusaha syarikat menuduh bahawa dia mencuri idea daripada mereka. Murdock dipercayai mencipta alat untuk membuat pengaturan gear matahari dan planet untuk mendapatkan pergerakan putaran daripada enjin-rasuk. Ciptaan ini membolehkan binaan enjin kuasa wap memutarkan roda. Murdock lahir di Auchinlek, di daerah Strathclyde, Scotland. | UMUM | |
SHARIFF MEDAN | SHARIFF MEDAN (1910-1997), pelakon bangsawan, filem dan drama radio. Dia lahir pada 2 Jun 1910 di Banda Aceh, Kampung Penayung, Sumatera, Indonesia. Nama sebenarnya ialah Muhammad Shariff bin Muhammad Ismail. Dia mendapat pendidikan dasar di Hollandsch Inlandsche School di kampungnya. Pengajiannya tidak tamat kerana terpaksa menyara hidup dengan bekerja di kilang atap dan di bengkel besi milik syarikat Belanda. | BUDAYA | Tokoh |
PUTU WIJAYA | PUTU WIJAYA (1944 - ), penulis Indonesia. Dia lahir pada bulan April 1944 di Puri Anom, Tabanan, Bali, Indonesia. Nama sebenarnya ialah I Gusti Ngurah Putu Wijaya. Putu mula bergiat dalam bidang sastera semenjak di Sekolah Menengah Atas Singaraja, Bali. Kemudian dia semakin aktif menulis semasa di Fakultas Undang-Undang, Universitas Gadjah Mada, Yogyakarta. Di Yogyakarta, Putu menganggotai Bengkel Teater Rendra (1967 – 1969). Di Jakarta, dia mula menganggotai Teater Kecil Ariffin C. Noer dan Teater Popular Teguh Karya (1969 – 1972), sebelum mendirikan kelompok Teater Mandiri. Pengalaman teaternya diperkaya dengan pengalaman yang diperoleh dari luar negara. | SASTERA | Tokoh |
ZAINI OJE @ OZEA | ZAINI OJE @ OZEA (1951- ), penulis, aktivis kesusasteraan dan kesenian. Dia lahir pada 12 Februari 1951 di Kampung Rajang, Sarikei, Sarawak. Dia mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Abang Galau, Kampung Rejang, Sarikei dan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kerajaan Three Rivers, Mukah. Kemudian dia menyambung pelajarannya di Kolej Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang, Miri. Pada tahun 1973, dia memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Malaya dalam bidang kesusasteraan Bahasa Inggeris. Dia juga memperoleh Diploma In Applied Linguistics dari RELC, Singapura pada tahun 1984/1985. Di samping itu, dia pernah menghadiri Kursus Intensif Penulis dan Pengarah Drama TV (1975), Kursus Pengadilan Drama dan Tarian (1977) dan Bengkel Tradisi Lisan dan Kem Teater (1984). | SASTERA | Tokoh |