TERRACOTTA | Terracotta ialah sejenis barang tembikar yang keras dan tahan lama. Seperti barang tembikar yang lain, terracotta dibuat daripada sejenis tanah liat yang dibakar. Warnanya berbagai-bagai, iaitu daripada warna kuning pucat dan warna coklat hinggalah kepada berbagai-bagai warna merah. Terracotta biasanya tidak diglis. Terracotta digunakan dengan meluas untuk membuat pasu bunga, air pancut, jubin, hiasan seni bina, dan arca hiasan taman. Oleh sebab terracotta mudah dibentuk, ramai pengarca menggunakannya untuk membuat model awal. Terracotta berkembang pada zaman prasejarah. Orang Yunani dan Rom purba menggunakan bahan ini untuk membuat objek hiasan, di samping talang, paip, dan bahan binaan lain. Perkataan terracotta berasal daripada perkataan Itali yang bermaksud “tanah masak”. | UMUM | |
SENAPANG ELEKTRON | Senapang elektron ialah nadi bagi berbagai- bagai peranti elektron. Ia termasuk tiub televisyen, tiub osiloskop, mikroskop elektron dan mesin sinar-x. Dalam tiub televisyen, senapang elektron menghasilkan alur elektron yang tajam seperti pensel, yang dipecut ke arah skrin pendarfosfor. Elektron mengenai fosfor pada skrin dan menyebabkan ia berkilau. Alur “menulis” gambar pada skrin sama caranya seperti pensel menulis pada kertas. Semakin tinggi halaju elektron, semakin terang imej pada skrin. Dalam penerima televisyen, senapang elektron menulis ratusan garis mendatar bagi setiap gambar. Ia menulis setiap garis dalam masa satu per 60 juta saat. | UMUM | |
KUPU-KUPU | Kupu-kupu ialah satu daripada berbagai-bagai jenis serangga yang berkait rapat dengan rama- rama. Kesemua rama-rama dan hampir semua kupu-kupu mempunyai dua pasang sayap - sepasang sayap hadapan yang besar dan sepasang sayap belakang yang lebih kecil. Kupu-kupu dan rama-rama, kedua-duanya membentuk kumpulan serangga Lepidoptera. Nama Lepidoptera berasal daripada perkataan Yunani: lepis yang bermaksud sisik dan pteron, bermaksud sayap. Nama tersebut merujuk kepada sisik yang berserbuk halus yang melitupi sayap rama-rama dan kupu-kupu. | UMUM | |
MINDA | Minda. Ahli psikologi, ahli psikiatri, dan ahli falsafah mempunyai berbagai-bagai pandangan tentang sifat semula jadi minda. Sehingga kini, mereka masih belum mencapai persetujuan tentangnya. | UMUM | |
TELEMETRI | Telemetri bermakna mengukur dari jauh. Ahli sains dan jurutera menggunakan telemetri dalam berbagai-bagai cara. Ahli sains menghantar belon cuaca setinggi 30 kilometer atau 50 kilometer ke udara untuk mengukur suhu, tekanan, dan kelembapan udara di bahagian atas bumi. Pemancar radio yang dipasang pada belon menghantar semula maklumat tersebut ke bumi. | UMUM | |
PSIKOSIS | Psikosis ialah istilah yang digunakan untuk menerangkan penyakit mental yang teruk. Psikosis dicirikan dengan berbagai-bagai gejala yang dianggap tidak normal oleh kebanyakan orang. Gejala ini termasuk halusinasi , seperti mendengar suara sedangkan tiada sesiapa pun di sekitarnya, dan delusi , seperti perasaan sedang diseksa atau ada orang sedang membuat rancangan jahat terhadapnya (liha t Delu si; Halusinasi ). | UMUM | |
AUTOMASI | Automasi ialah penggunaan mesin untuk melakukan kerja yang memerlukan keputusan dibuat. Automasi digunakan untuk berbagai-bagai jenis kerja yang sangat membosankan, kompleks atau berbahaya untuk dilakukan oleh manusia. | UMUM | |
KUARZA | Kuarza ialah sejenis mineral yang biasa didapati dalam berbagai-bagai jenis batuan. Kuarza tulen tidak berwarna dan lut sinar. Ia terdiri daripada silikon dioksida dan formula kimianya ialah SiO2. Kuarza mempunyai banyak kegunaan penting dalam bidang sains dan industri. | UMUM | |
TABIK | Tabik ialah gerak isyarat untuk menyapa yang biasanya untuk menyatakan rasa hormat atau sopan santun. Berbagai-bagai jenis tabik dalam tentera menunjukkan rasa hormat kepada pegawai, bendera atau negara. Tabik lain meliputi berjabat tangan dan gerakan yang rencam dengan senjata yang dibuat oleh pemain pedang. | UMUM | |
ASIDOSIS | Asidosis ialah keadaan apabila bendalir tubuh mempunyai kandungan asid lebih tinggi daripada normal. Tubuh mempunyai berbagai-bagai cara untuk mengimbangi asidosis yang sederhana teruk. Tetapi asidosis yang berlanjutan boleh menyebabkan kelemahan, sakit kepala, dan pernafasan sukar atau cepat. Asidosis yang teruk boleh membawa kepada asidemia, iaitu peningkatan asid dalam darah. Asidemia boleh menyebabkan koma dan kematian. | UMUM | |