METAFORA | Metafora, iaitu kiasan, ialah ungkapan yang diambil daripada satu bidang pengalaman dan digunakan untuk mengatakan sesuatu dalam bidang lain. Misalnya, apabila kita berkata, “He’s a sly fox,” kita menggunakan metafora, iaitu kita menggunakan nama haiwan untuk menerangkan manusia. Metafora menyatakan perbandingan tanpa menggunakan kata “like” atau “as”. Penyataan “He is like a sly fox” or “He is sly as a fox” ialah perumpamaan (lihat Perumpamaan). | UMUM | |
AHLI SUNNAH | Ahli Sunnah ialah golongan yang mengikut dan berpegang pada Sunnah yang terdiri dari kalangan sahabat dan sesiapa yang mengikut mereka dengan baik sehingga hari kiamat. Ibn Rajab berkata: “Al-Sunnah ialah perjalanan Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya yang bersih daripada syubahat dan hawa nafsu”. | UMUM | |
SAKSI | Saksi ialah orang yang memberi testimoni semasa prosiding kehakiman, perundangan atau pentadbiran. Testimoni ini diberi sesudah saksi mengangkat sumpah, atau sekiranya agama saksi melarang amalan mengangkat sumpah, saksi bolehlah berikrar berkata benar. Orang yang menandatangani surat cara undang-undang, contohnya surat wasiat atau surat ikatan, yang disempurnakan di hadapan saksi, juga merupakan saksi. | UMUM | |
MUGHNIY AL-LABIB | Mughniy al-Labib ialah kitab karya Ibn Hisyam al-Ansariy. Ia dianggap sebagai kitab nahu yang penting dan baik. Nama lengkap kitab ini ialah Mughniy al-Labib ‘an Kutub al-A’arib . Ibn Khaldun berkata: “Kami tidak pernah menjumpai seorang yang pakar dalam bidang nahu selepas Sibawayh melainkan Ibn Hisyam dan kami tidak pernah jumpa kitab yang lebih baik daripada kitab al- Mughniy”. | UMUM | |
BURUNG NURI | Burung nuri adalah satu daripada famili besar burung yang berwarna-warni. Kebanyakan spesies (jenis) burung nuri terdapat di kawasan tropika. Burung nuri merupakan haiwan kesayangan yang popular kerana ia mudah dijinakkan dan dapat diajar berkata-kata. | UMUM | |
SANDBURG, CARL | Sandburg, Carl (1878–1967) ialah penyair, penulis biografi dan ahli sejarah Amerika. Dua tema utama menguasai karyanya. Salah satunya ialah usaha mencari erti sejarah Amerika. Satu lagi melibatkan keghairahannya terhadap manusia biasa Amerika. Dengan memetik kata-kata Rudyard Kipling, Carl Sandburg berkata tentang dirinya: “Aku akan menjadi jurubicara rakyat. Mulutku akan berdarah dan dari mulut itulah sumpalnya diragut. Aku akan mengatakan apa sahaja.” | UMUM | |
PARIS | Paris dalam mitologi Yunani ialah anak lelaki Priam, raja Troy. Ibu Paris, Hecuba, bermimpi bahawa anak yang dikandungnya itu merupakan obor yang akan membakar negara. Seorang tukang tilik berkata mimpi itu bererti bahawa anak itu akan menyebabkan kemusnahan Troy. Priam menyerahkan Paris kepada seorang abdi dan menyuruh abdi itu membunuh bayi tersebut. | UMUM | |
PYRRHUS | Pyrrhus (318? S.M.–272 S.M.) ialah raja Epirus di Greece . Daripada namanya wujud ungkapan “Kemenangan Pyrrhic”. Ungkapan ini digunakan untuk menunjukkan situasi sesuatu kemenangan yang tidak berbaloi. Ungkapan ini timbul daripada pernyataan Pyrrhus selepas pertempuran Asculum. Dalam pertempuran tersebut, dia kehilangan hampir semua askarnya. Dia berkata, “Satu lagi kemenangan sebegini maka hancurlah saya.” | UMUM | |
SURAH AL-IKHLAS | Surah al-Ikhlas adalah salah satu daripada surah Makkiyyah, surah yang ke-112 mengikut susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi empat ayat. Surah ini dinamakan dengan al-Ikhlas (ikhlas) kerana ia menceritakan tentang kebenaran iman yang tidak diselit oleh sifat riya’. Diriwayatkan bahawa golongan musyrikin datang bertemu Rasulullah s.a.w., lantas berkata: “Wahai Muhammad, gambarkan kepada kami tentang Tuhan kamu. Adakah ia daripada emas ataupun perak, atau batu delima ataupun batu jed? Maka turunlah ayat yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) bahawa Allah itu Maha Esa. Allah tempat bergantung”. (Surah al-Ikhlas 112:1–2) | UMUM | |
NOVEMBER | November ialah bulan ke-11 dalam satu tahun mengikut kalendar Gregory, yang digunakan hampir seluruh dunia hari ini. Ia mendapat namanya daripada novem, perkataan Latin bagi sembilan . Dalam kalendar awal orang Rom, November ialah bulan kesembilan. Oleh sebab Julai dinamakan sempena Julius Caesar dan Ogos bagi Augustus Caesar, Senat Rom menawarkan bulan ke-11 sempena Tiberius Caesar. Dia dengan hormat menolaknya, dengan berkata, “Apakah yang anda akan lakukan jika anda mempunyai 13 orang maharaja?” Pada asalnya bulan November mempunyai 30 hari, kemudian 29, dan 31. Sejak zaman Augustus, ia telah mempunyai 30 hari. | UMUM | |